Komited hasilkan produk teknologi penggalak fotosintesis, Qarbotech sasar status 'unicorn' ingin bantu ramai petani


  • Bizz
  • Isnin, 20 Jan 2025

Suraya (depan) tiga dari kanan bergambar bersama pasukan Qarbotech. — Facebook/Qarbotech

SEBAGAI penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Dr. Suraya Abdul Rashid, banyak menjalani pelbagai kajian seiring kepakarannya dalam bidang nano teknologi.

Kebiasaannya, kajian dilakukan memakan masa bertahun-tahun dan tempoh panjang itu tidak menjanjikan hasil diharapkan.

Bagaimanapun, selepas 10 tahun dalam bidang penyelidikan bahan nano, Suraya ditemukan dengan satu bahan termaju dikenali sebagai 'quantom dots' atau titik kuantum.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

"Bahan ini agak sukar dikendalikan kerana ia berbahaya, tetapi ia menarik sebab banyak aplikasi," katanya kepada Majoriti.

Ketika itu, Suraya yang merupakan graduan Kejuruteraan Kimia daripada University Nottingham, United Kingdom (UK) mendapati titik kuantum tersebut mempunyai sifat sama seperti klorofil.

Ini bermakna ia boleh menyerap dan mengeluarkan cahaya pada spektrum tertentu, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan fotosintesis tumbuhan lalu memberi kesan kepada jumlah hasil pertanian.

Pada 2016, Suraya kemudiannya menjumpai kaedah menggunakan bahan titik kuantum tersebut secara selamat dan berjaya mempatenkannya.

6080269275941160718

Teknologi penggalak fotosintesis dihasilkan menggunakan bahan kuantum titik. — Qarbotech

Dengan hasil kajian tersebut, beliau seterusnya menubuhkan syarikat pemula teknologi pertanian dan nano, Qarbotech pada 2018 bersama seorang lagi pengasas yang memegang peranan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Chor Chee Hoe.

Kini, selepas enam tahun beroperasi, Qarbotech yang menghasilkan teknologi penggalak fotosintesis atau dipanggil titik kuantum karbon bioserasi mula mengukuhkan tapaknya dalam sektor pertanian di rantau Asia Tenggara.

Menurut laporan The Edge, pengembangan tersebut dipacu oleh dana pusingan bernilai AS$1.5 juta (RM6.2) juta daripada pelbagai pelaburan termasuk 500 Global, Better Bite Ventures, ID Capital, EQT Foundation dan Epic Angels Ltd.

Pada Februari 2024, Qarbotech dilaporkan turut mendapat AS$700,000 (RM3 juta) dalam pengumpulan dana awal diketuai 500 Global dan termasuk geran daripada Yayasan Temasek, Singapura dan Khazanah Nasional.

Hampir tutup operasi

Di sebalik perkembangan positif ditunjukkan sejak dua tahun lalu, Suraya mengakui syarikatnya berdepan dengan cabaran cukup sukar ketika tempoh awal beroperasi.

Malah, katanya, Qarbotech juga hampir ditutup pada 2022 selepas kehabisan dana untuk beroperasi termasuk membayar gaji pekerja.

6080269275941160726

Tiga pengasas Qarbotech (dari kiri) Chee Hoe, Suraya dan Ketua Pegawai Operasi Qarbotech, Amirul Merican.

"Pada akhir 2022, kami hampir 'mati' kerana wang berbaki satu bulan sahaja lagi untuk bayar gaji CEO dan seorang staf. Pun begitu, kami enggan mengalah dan kekal berusaha.

"Alhamdulillah, waktu itu juga kami berjumpa angel investor (penyumbang labur) pada Januari 2023 yang suntik dana RM200,000. Selepas itu, kembali bernafas," ujarnya yang memegang peranan selaku Ketua Saintis Qarbotech.

Suraya berkata, 2023 turut menyaksikan syarikat itu mula mendapat perhatian daripada pelabur seperti Temasek Foundation dari Singapura, EQT Foundation (Sweden) dan Khazanah Nasional.

Sementara itu, beliau yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Institut Nanosains dan Nanoteknologi UPM, mengakui teknologi baharu seperti diperkenalkan Qarbotech sememangnya mengambil masa untuk diperluaskan penggunaannya dalam sektor pertanian.

"Berbanding teknologi baharu dalam bidang lain, untuk sektor pertanian memang agak perlahan dan ambil masa kerana bermain dengan pokok atau tumbuhan.

"Orang tak kenal apa itu penggalak fotosintesis. Jadi mereka mesti nak buat ujian dahulu yang biasanya memakan masa. Sebagai contoh, pokok sawit, kita tak boleh nampak hasil terus. Begitu juga padi.

"Sekarang ini kami juga sedang membuat ujian yang memakan masa dengan beberapa pihak. Ada yang mungkin penghujung 2025 baru selesai," ujarnya yang optimis terhadap kemampuan Qarbotech untuk mula mencatatkan keuntungan operasi bermula pada 2026.

Menurut Suraya, Qarbotech kini menjalankan ujian kira-kira di 13 negara termasuk Singapura, Indonesia, Vietnam, Filipina, Jepun, Afrika Selatan, Zambia, Namibia, Bangladesh, India dan China.

Menerusi ujian tersebut, beliau yang juga memiliki sarjana daripada Imperial College London, turut berjaya mengikat jualan bersama beberapa pengedar di negara terbabit.

Ujarnya, 80 peratus daripada jualan Qarbotech kini datang daripada luar negara manakala baki 20 peratus pula pasaran domestik.

Produk Qarbotech

6080269275941160720

Antara petani menggunakan produk Qarbotech. — Qarbotech

Teknologi penggalak fotosintesis dihasilkan Qarbotech iaitu titik kuantum karbon bioserasi daripada sisa buangan pertanian yang diproses menjadi bahan serbuk.

Ia digunakan dengan cara disembur ke daun atau melalui penyerapan ke dalam tanah dan akar.

Petani juga boleh mencampurkannya dengan input pertanian lain seperti racun perosak atau baja.

Ciri tersebut memudahkan petani untuk turut memasukkan produk Qarbotech ke dalam jadual semburan sedia ada yang sudah ditetapkan.

Ketika ini, Suraya berkata, dua produk penggalak fotosintesis keluaran syarikatnya ialah QarboGrow, dihasilkan bagi kegunaan industri manakala Harvast pula untuk aktiviti tanaman berskala kecil dan di rumah.

Beliau berkata, tanaman padi menunjukkan peningkatan hasil agak tinggi dalam ujian dilaksanakan iaitu antara 30 peratus hingga 60 peratus peningkatan hasil selepas menggunakan teknologi QarboTech.

Selain itu, penggunaan teknologi titik kuantum itu turut berupaya mengekalkan hasil ketika musim tengkujuh yang menyaksikan petani lazimnya mengalami kemerosotan tuaian sekitar 40 peratus.

Pada masa sama, Suraya berkata, penggunaan baja juga dilaporkan berkurang sebanyak 25 peratus selepas penggunaan penggalak fotosintesis.

Sementara itu, selepas enam tahun bertapak di UPM, Qarbotech pada Jun tahun lalu memindahkan operasinya di kilang yang terletak di Puchong, Selangor.

Suraya berkata, pengembangan operasi itu membolehkannya meningkatkan kapasiti untuk menghasilkan sebanyak 100,000 liter sebulan berbanding 2,000 liter sebulan sebelum ini.

Kongsinya, pasukannya kini turut bertambah kepada 20 kakitangan terdiri daripada pasukan penyelidikan, jualan dan termasuk seorang pengurus bagi memantau operasi di Indonesia.

Sasar jadi syarikat 'unicorn'

6080269275941160719

Qarbotech turut bekerjasama rapat dengan petani. — Qarbotech

Mengulas mengenai langkah seterusnya yang ditetapkan untuk Qarbotech, Suraya mahu melihat syarikat itu menjadi peneraju global teknologi nano dalam bidang pertanian.

Pada masa sama, berkongsi hasrat supaya Qarbotech tersenarai dan melalui proses tawaran awam permulaan (IPO), sekali gus membolehkannya mencapai status sebagai syarikat 'unicorn'.

Untuk rekod, Unicorn merujuk kepada syarikat pemula niaga yang mencatatkan nilai lebih AS$1 bilion (RM4.51 bilion).

"Kami hanya boleh capai itu dengan syarat berjaya membantu ramai orang di seluruh dunia.

"Jadi kami ada tanggungjawab sangat besar dan berharap dapat membantu ramai orang dalam bidang pertanian termasuk memastikan keterjaminan sekuriti makanan," ujarnya.

Meskipun setakat ini Qarbotech tidak memiliki pesaing dalam penghasilan teknologi penggalak fotosintesis terbabit, Suraya berkata, pihaknya sentiasa meneruskan penyelidikan agar inovasi sentiasa berlaku.

Jelasnya, bahan titik kuantum yang menjadi asas kepada produknya turut memiliki potensi lain boleh dikembangkan dalam sektor selain pertanian.

"Bahan ini sebenarnya boleh guna untuk banyak aplikasi lain contohnya tingkatkan aplikasi sel solar untuk serap cahaya ataupun buat teknologi penderia dan sebagainya cuma aplikasi ini lebih sukar.

"Sebab itu kami komersialkan dahulu penggunaannya dalam bidang pertanian yang mana lebih mudah diaplikasi. Pun demikian, pada masa sama ada juga industri lain yang boleh gunakan bahan tersebut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram