
BAGI Muhammad Faiz Abdul Halim, perniagaan menjual kasut sukan yang dimulakan secara sambilan ketika melanjutkan pengajian tinggi bagaikan sudah menjadi pekerjaan yang sukar ditinggalkan.
Malah, selepas dia mula bekerja sebagai jurutera mekanikal dalam bidang gas dan minyak bersama Petronas selama lima tahun dengan gaji agak selesa selama lima tahun, perniagaan itu tetap diteruskan kerana minatnya yang mendalam terhadap barangan tersebut.
"Waktu saya dah kerja dan pindah ke Miri (Sarawak) dan pendapatan agak baik, tapi saya tak boleh tinggalkan benda ini (menjual kasut sukan)," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Muhammad Faiz merupakan pemilik kepada perniagaan syarikat menjual kasut dan peralatan sukan, Faizjapanshop: FJ SPORTS PRO (Faizjapanshop) yang terletak di Cyberjaya, Selangor.
Pada 2010, anak jati Banting, Selangor itu pada awalnya menjual kasut futsal antaranya jenama Asics, Mizuno, Kelme dan Penalty yang dibawa dari Jepun ketika menuntut di Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI), Bangi, Selangor.
Muhammad Faiz ketika membawa masuk stok kasut futsal dari Jepun ketika masih belajar di peringkat pengajian tinggi.
Pada waktu itu, dia yang turut meminati sukan futsal membawa masuk barangan dari Negara Matahari Terbit tersebut sepenuhnya secara dalam talian dengan menggunakan ejen di Jepun untuk menguruskan penghantaran ke Malaysia.
"Jenama-jenama yang saya bawa memang mempunyai peminatnya dan permintaan tetapi sukar untuk didapati di Malaysia pada waktu itu," katanya.
Pada masa sama, dalam tempoh berkenaan juga abangnya yang sedang belajar di Jepun turut membantu menguruskan proses pengambilan barang peringkat awal bisnes.
Menurut Muhammad Faiz, dia boleh menjual sekitar 30 pasang kasut sebulan dan jumlah jualan mencecah sehingga RM2,000.
Kesemua barangan tersebut ketika itu dijual menerusi platform media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook.
Antara koleksi kasut futsal yang dibawa dari Jepun ketika tahun awal Muhammad Faiz memulakan Faizjapanshop.
Selepas memulakan kerjaya sebagai jurutera di Miri pada 2018, Muhammad Faiz tetap meneruskan perniagaan itu yang dilakukan secara sambilan dengan turut menambah variasi jenis barangan meliputi but bola sepak.
"Masa itu kalau hari bekerja. Saya akan buat urusan dengan pelanggan pada waktu malam," ujarnya.
Bagaimanapun, pada 2018, Muhammad Faiz terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas perlu mengikut isterinya yang bertugas sebagai doktor berpindah ke Lembah Klang.
Situasi itu mendorong anak kedua daripada lima beradik itu bagi menguruskan perniagaan kasut sukannya itu secara sepenuh masa.
Bermula daripada situ, Muhammad Faiz berkata, dia mula mengambil stok daripada pengedar kasut sukan tempatan dan tidak bergantung kepada barangan dari Jepun bagi meningkatkan jumlah jualan untuk menampung pendapatannya yang sudah tidak bekerja.
Pada masa sama, setahun kemudian, perniagaannya turut menarik minat pengedar rasmi jenama sukan terkemuka di Jepun, Asics di Malaysia untuk membolehkannya menjadi antara penjual terpilih di dalam negara.
Dapat keyakinan jenama sukan antarabangsa
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, 2020 menjadi titik perubahan dalam perniagaannya apabila mengubah model bisnes dengan mula menjual kasut larian.
Peralihan terbabit selari dengan trend negara ketika itu yang menyaksikan peningkatan aktiviti larian dalam kalangan rakyat Malaysia selepas pandemik.
Menurut Muhammad Faiz, keputusan syarikatnya beralih kepada sukan lari turut membuahkan hasil apabila jualannya meningkat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada 2021, Faizjapanshop juga dipilih menjadi penjual dan peruncit rasmi Asics Malaysia yang merupakan antara jenama popular dalam sukan lari peringkat global.
Ditanya mengenai bagaimana mendapat keyakinan daripada jenama besar, Muhammad Faiz berkata, hal tersebut berkemungkinan didorong oleh konsistensi ditonjolkan pihaknya dari segi jenama ditawarkan.
Muhammad Faiz (empat dari kiri) ketika menerima kunjungan daripada pengurusan tertinggi jenama sukan Jepun, Mizuno.
"Jadi walaupun kecil, kita berjaya duduk sebaris dengan kedai-kedai besar. Kedai kita juga waktu itu dianggap kedai kasut khusus untuk acara larian.
"Pada masa ini,pelbagai variasi kasut larian dapat kami tawarkan untuk pelbagai jenis pelari bermula dari golongan yang baru berjinak dalam bidang larian sehingga ke pelari elit. Malah ada yang mencecah sehingga lebih RM1000 sepasang," ujarnya.
Pada waktu ini, Faizjapanshop turut menjadi penjual dan peruncit rasmi bagi beberapa jenama sukan global lain termasuk Mizuno dan Lotto.
Muhammad Faiz memaklumkan, daripada kesemua kasut dijual, 80 peratus daripadanya adalah kasut lari manakala selebihnya but bola sepak dan futsal.
"Sekarang ini kasut lari kira jadi nombor satu. Permintaan itu memang tinggi, sebab walau sukan apa sekali pun, mereka pasti ada satu kasut lari," ujarnya.
Buka kedai pertama
Koleksi but bola sepak yang dijual di Faizjapanshop.
Selama kira-kira lebih 12 tahun, Muhammad Faiz berkata, dia menguruskan perniagaan tersebut secara bersendirian tanpa bantuan mana-mana pekerja.
Bagaimanapun, pada 2023, dia akhirnya membuat keputusan bagi mengambil dua orang pekerja bagi membantu operasi kedai pertamanya yang dibuka pada Julai tahun tersebut.
Di sebalik pembukaan kedai fizikal tersebut, Muhammad Faiz berkata, 70 peratus daripada jualannya masih datang daripada dalam talian di platform faizjapanshop.com.
Jika pada 2010, jumlah jualan kasutnya hanya sekitar 30 pasang sebulan, kini bilangan tersebut sudah bertambah berkali ganda dan mencecah kira-kira 800 pasang dalam tempoh sama.
Muhammad Faiz (kanan) ketika menghantar kasut lari kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mengulas mengenai faktor membezakan perniagaannya berbanding syarikat lain yang menjual kasut sukan, Muhammad Faiz percaya sentuhan peribadi yang ditawarkan dalam perkhidmatannya menjadi kelebihan yang menarik minat ramai pelanggan.
"Sebabnya pelanggan boleh WhatsApp kami untuk tanya. Kalau datang kedai pun staf kita boleh tolong.
"Jadi ramai pelanggan tetap yang yakin dengan kita sebab mereka bukan nak beli sahaja, tapi nak nasihat juga.
"Sebanyak kasut lari ini dia agak teknikal sikit. Kalau salah beli, dia boleh menyebabkan sakit kaki dan kecederaan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram