BERMULA sebagai inisiatif kecil untuk mengurangkan sisa pada 2016 kini berkembang menjadi perniagaan pengitaran semula yang kreatif bagi artisan tempatan, Lee Li Ghien.
Didorong oleh semangat untuk kelestarian alam sekitar, wanita berusia 46 tahun itu berjaya mengubah barang-barang terbuang menjadi karya seni fungsional yang menawan.
Beroperasi di muzium memorabilia Time Tunnel Ipoh, Ipoh, Perak, Li Ghien menghasilkan pelbagai produk, termasuk magnet peti sejuk, plakat diperbuat daripada papier-mache dan pasu yang dihasilkan daripada pelbagai jenis botol.
BACA LAGI: Katanya warga Singapura buat hal lagi, siap tukar nombor plat Malaysia sebelum isi minyak RON95
BACA LAGI: Kerajaan perhalusi kaedah harga 2 peringkat subsidi petrol RON95 — Rafizi
Tidak hanya itu, dia juga menggabungkan seni patung dalam rekaan bekas alat tulis dan cermin yang unik.
"Saya selalu rasa sukar untuk membuang barang-barang. Saya pernah mengumpul botol dan cuba melukisnya, tetapi tidak berpuas hati.
"Saya ingin memberi mereka kehidupan baharu dan itu mendorong saya untuk mengubahnya menjadi sesuatu yang berguna," katanya.
Antara hasil kreativiti Li Ghien yang dipamerkan di premisnya.
Penghasilan magnet peti sejuk daripada bahan kitar semula melibatkan proses merendam kadbod, membentuknya menggunakan teknik papier-mache dan membiarkannya kering di bawah sinar matahari selama satu hingga tiga hari, bergantung pada ketebalan bahan.
Li Ghien kemudian melukis dan membentuknya menjadi rekaan yang berbeza.
"Alam semula jadi adalah inspirasi utama saya dalam menghasilkan kraf tangan ini. Saya pernah membuat magnet berbentuk bukit kapur ikonik Ipoh, bunga Rafflesia, dan tapir serta pasu dengan rekaan kuda laut," tambahnya yang turut menggunakan barang-barang harian seperti kotak kadbod dan tin minuman untuk menghasilkan produk unik.
Wanita itu juga mengubah tin minuman menjadi anting-anting dan botol sos menjadi pasu yang menarik dengan karakter tambahan.
Pikat hati pelancong
Salah seorang pembeli, Inga Wang, 46, mengakui bahawa produk dihasilkan Li Ghien benar-benar menarik perhatiannya.
Ujar pelancong dari China itu, dia menyukai idea artisan itu dalam menggunakan bahan yang dikitar semula sebagai produk kreatif, selain warna-warnanya yang begitu menarik.
"Saya pernah cuba menghasilkan barangan daripada bahan kitar semula sebelum ini, tetapi ia sangat sukar.
"Karya ini benar-benar memikat hati saya,” katanya yang membeli magnet peti sejuk berbentuk ikan dan pasu yang diubah suai daripada botol wiski dengan rekaan kuda laut.
Chai Yuen menganggap pekerjaan dan bisnes yang dijalankan sebagai terapi buat dirinya.
Perjalanan terapeutik
Selain Li Ghien, terdapat juga artisan tempatan lain yang memanfaatkan bahan terbuang dalam perniagaan mereka.
Ini termasuk Leong Chai Yuen, 51, yang mengubah fabrik batik terbuang menjadi produk fungsional.
Katanya, perniagaan tersebut memberi ruang untuk kreativiti dan menjadi perjalanan terapeutik bagi dirinya.
Chai Yuen mengubah sisa fabrik batik menjadi produk fungsional seperti beg.
Kongsi Chai Yuen yang menjual beg batik buatan tangan, penanda buku dan kerongsang, dia memulakan perniagaan tersebut selepas mengumpul sisa fabrik dan berkeinginan untuk mencipta sesuatu yang berguna.
"Sebelum ini saya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran. Saya mengambil masa enam bulan untuk meneroka sisi kreatif diri.
“Perjalanan ini adalah satu terapeutik bagi saya,” jelasnya yang kini giat menghasilkan pelbagai produk seni daripada fabrik batik terbuang. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram