KEBAYA adalah pakaian tradisional yang dipakai tidak kira batas etnik, agama dan budaya.
Pakaian tradisional itu digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat menjadikannya simbol penyatuan yang serba guna dan kekal relevan sepanjang zaman.
Kebaya difahamkan mewakili warisan budaya daripada masyarakat Melayu, Peranakan (Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam, Kristang (Portugis-Eurasian)) dan komuniti lain di Malaysia serta negara-negara lain di Asia Tenggara.
Kebaya hadir dalam pelbagai rekaan daripada lace, sulaman hingga potongan yang lebih moden. — Foto Rizman Ruzaini
Baru-baru ini, pakaian tradisonal itu dimasukkan dalam Senarai Representatif Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu), yang merupakan satu pencapaian penting dalam dunia fesyen dan warisan Malaysia.
Keputusan itu dicapai selepas penamaan bersama oleh Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengumumkan kejayaan itu pada awal Disember dan ia disambut meriah oleh pihak-pihak yang terlibat dalam industri fesyen, budaya dan warisan.
Proses penamaan kebaya ke UNESCO
Proses itu bermula dengan keputusan untuk menamakan kebaya ke dalam Senarai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO.
Untuk diterima masuk, kebaya perlu memenuhi beberapa kriteria termasuklah bagaimana ia dapat meningkatkan kesedaran tentang warisan budaya dan bagaimana langkah perlindungannya dapat memelihara kebaya untuk generasi akan datang.
Semua negara yang terlibat bekerjasama sejak awal tahun 2022, dan akhirnya berjaya dengan pengisytiharan oleh UNESCO.
Tarikan kebaya moden
Kebaya dikenakan pada pelbagai acara baik kasual mahupun formal serta untuk persembahan kebudayaan dan teater.
Pembuatan kebaya pada asalnya adalah kemahiran yang diturunkan dari ibu ke anak perempuan.
Penggunaan zip menggantikan kancing tradisional pada busana kebaya memudahkan pemakai moden. — Maslea
Namun, kini kaum lelaki turut terlibat dalam pembuatan kebaya dari reka bentuk hingga sulaman dan latihan formal sudah menjadi perkara biasa di sekolah dan institusi pengajian.
Contoh seperti kebarung adalah adaptasi kebaya yang terhasil secara semula jadi dipengaruhi oleh kepelbagaian budaya Malaysia.
Pengarah Kreatif jenama Maslea, Suraya Sharifuddin berkata, setiap komuniti sudah memberi sentuhan mereka terhadap rekaan kebaya menjadikannya simbol silang budaya yang merayakan warisan bersama.
“Kebaya masih mengekalkan keasliannya tetapi ada perubahan praktikal seperti penggunaan zip menggantikan kancing tradisional memudahkan pemakai moden,” kata Suraya.
Perbezaan gaya kebaya
Kebaya mewakili warisan budaya bersama tetapi setiap versi mempunyai perbezaan kecil yang mencerminkan identiti budaya masing-masing.
Sebagai contoh, kebaya Melayu lebih sederhana dan panjang dengan sulaman yang lebih ringkas manakala kebaya Nyonya terkenal dengan sulaman goyang yang halus dan rumit.
Kebaya Indonesia pula dikenali dengan warna yang cerah dan reka bentuk yang lebih menonjol.
Di sebalik jenama Rizman Ruzaini, pereka fesyen Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil turut berkongsi pandangan mengenai cara untuk membezakan kebaya Melayu, Nyonya, dan Indonesia.
Kebaya yang direka khas selalunya lebih mahal kerana memerlukan masa dan kepakaran untuk disiapkan. — Salikin Sidek
“Yang membezakan kebaya yang dipakai oleh komuniti Melayu dan Peranakan Jawi ialah motif tumbuhan, manakala kebaya Peranakan Cina lebih menampilkan motif corak mencerminkan adat dan budaya masing-masing.
“Dalam dunia fesyen kini, siluet kebaya menjadi lebih ketat dengan kebaya Kota Baru yang dipengaruhi oleh reka bentuk Indonesia menampilkan identiti yang tersendiri pada bahagian depan baju yang kini menjadi popular di kalangan wanita di Kelantan,” kata Rizman Ruzaini.
Pereka kebaya Nyonya, Kenny Loh berharap keindahan dan sulaman kebaya Nyonya dapat dikenali di seluruh dunia.
Beliau mempelajari teknik sulaman goyang daripada ibu saudaranya untuk memelihara warisan keluarga Peranakan mereka.
Kebaya hadir dalam pelbagai rekaan daripada lace atau renda, sulaman hingga potongan yang lebih moden dan boleh dibeli dalam bentuk sedia pakai atau direka khas mengikut cita rasa individu.
Kebaya Nyonya terkenal dengan sulaman goyang yang halus dan rumit. — Kenny Loh
Kebaya yang direka khas mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan bergantung kepada kesulitan rekaan.
Kebaya yang direka khas lebih mahal kerana proses pembuatan yang memerlukan kemahiran tinggi manakala kebaya sedia dipakai lebih murah dan dihasilkan pada skala lebih besar.
Pereka fesyen, Salikin Sidek berkata, kebaya sedia dipakai boleh berharga antara RM150 hingga RM450 manakala kebaya dengan sulaman rumit boleh mencecah RM1,500 atau lebih.
Kebaya yang direka khas selalunya lebih mahal kerana memerlukan masa dan kepakaran untuk disiapkan.
Kebaya adalah warisan dan fesyen yang kekal dan bukan sahaja pakaian yang cantik tetapi juga mempunyai makna budaya yang mendalam.
Sebagai pakaian yang selesa dan penuh dengan nilai sejarah, kebaya terus menjadi sebahagian penting dalam warisan budaya Malaysia memastikan ia tetap relevan dalam dunia fesyen pada masa hadapan. — The Star/NASA MARIA ENTABAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram