MESKIPUN menghadapi pelbagai cabaran kesihatan, Zulkifli Sahak, 62, kekal tenang dan optimis.
Zulkifli ternyata menghidap polisitemia atau kanser darah jarang berlaku, kegagalan buah pinggang, gout dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.
Menjalani kehidupan itu juga bukanlah sesuatu yang mudah bagi bekas tenaga pengajar teknikal di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching, Sarawak.
BACA LAGI: Bebas kritik isu sosial dan semasa, buku zine buka peluang penulis sampaikan mesej
BACA LAGI: [VIDEO] Simen taman rekreasi di Bandung dicungkil-cungkil remaja taksub aplikasi buru syiling
Diorama membolehkan imaginasinya hidup dengan mengubah idea menjadi dunia kecil. — The Star
"Masalah kesihatan adalah di luar kawalan saya. Tetapi, saya memilih untuk fokus pada perkara yang boleh diuruskan, menerima perkara-perkara positif dan memanfaatkan setiap saat," katanya.
Namun, Zulkifli enggan membiarkan cabaran itu menjatuhkannya dan masih berpandangan positif terhadap kehidupan.
Berpengalaman lebih 40 tahun sebagai jurulatih seni di IKM dan mempunya latar belakang dalam bidang pertukangan, rasanya wajar bagi dirinya untuk mengembangkan kreativiti untuk menghasilkan model panorama miniatur atau lebih dikenali sebagai seni diorama.
Diorama adalah sejenis binaan tiga dimensi (3D) yang mengandungi pelbagai objek untuk menggambarkan situasi atau pemandangan yang realiti.
Komposisi situasi tersebut hendaklah diletakkan di dalam satu kotak atau bekas yang ditebuk satu hingga tiga permukaan supaya dapat dilihat dari hadapan atau sisi.
"Saya hasilkan diorama kerana ia memberi kegembiraan dan tujuan buat saya.
"Saya belajar kraf itu dengan menonton tutorial video di platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan Instagram," katanya.
Mencipta diorama juga membawa kegembiraan kepadanya. — The Star
Dalam masa tiga tahun sahaja, Zulkifli berjaya menyiapkan lebih 100 diorama dan kebanyakannya adalah projek tempahan.
Ia termasuk bangunan lama ikonik di sepanjang Kuching's Waterfront yang menghadap ke sungai Sarawak, bangunan kerajaan dan kilang memproses padi.
"Saya dapat inspirasi daripada keindahan bangunan-bangunan lama terutama rumah kedai warisan di sekitar kawasan Waterfront.
"Bangunan ini menyimpan kisah dan sejarah bermakna. Memelihara mereka adalah penting untuk membantu orang menghargai kepentingan dan belajar tentang sejarah mereka," jelasnya.
Memelihara minda
Bapa kepada tiga anak itu juga berazam untuk terus aktif sepanjang waktu persaraannya, sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Tengok Tun M, dia masih aktif dan mempunyai fikiran yang tajam walau pada usia 100.
"Saya mahu mengikut jejaknya dengan makan makanan sihat dan kekal cergas," ujarnya.
Pada 1990-an, Zulkifli dipilih oleh IKM untuk mengikuti kursus lukisan di Politeknik Carrington di Auckland, New Zealand.
Diorama adalah miniatur adegan berskala kecil tiga dimensi dengan latar belakang terperinci. — The Star
Zulkifli juga percaya bahawa warga emas boleh kekal aktif dengan melakukan hobi yang mereka minati, sama ada memasak, berkebun, menjahit, melancong atau sebagainya.
"Saya suka idea menghasilkan diorama sejak awal lagi. Saya rasa puas dan bangga bila dapat ubah bahan mentah menjadi sesuatu berguna dan cantik.
"Sungguh menggembirakan melihat visi saya menjadi nyata," tambahnya.
Sentuhan artistik
Pembuatan diorama mungkin agak baharu bagi masyarakat di Malaysia, tetapi komuniti itu kini semakin berkembang.
Kata Zulkifli, dia mula menceburi bidang itu pada 2022 sebagai satu bentuk terapi selepas pembedahan pintasan jantungnya.
"Tetapi, sebagai seorang yang aktif, saya berasa resah di sekitar rumah.
"Saya memutuskan untuk membuat diaroma kerana ia kelihatan menarik.
"Saya memuat turun perisian bantuan komputer dan membeli mesin pemotong laser mini 3D dengan harga RM1,000 dan mula belajar melalui Google dan YouTube," jelasnya.
Mencipta diorama menjadi hobi yang membuatkan Zulkifli aktif dan kekal sihat. — The Star
Katanya, membuat diorama juga melibatkan beberapa langkah utama.
Zulkifli perlu menentukan tema atau adegan seperti peristiwa bersejarah, alam semula jadi atau landskap bandar.
Proses itu juga mengambil masa kira-kira tiga jam sekali gus membantunya menentukan saiz keseluruhan sebelum beralih kepada butiran teknikal.
Dia kemudian membina tapak menggunakan bahan seperti buih, kayu atau kadbod.
"Membina diorama seakan mencipta dunia kecil dan imaginasi saya menjadi realiti," katanya.
Zulkifli juga mengambil masa tiga hari hingga seminggu untuk menyiapkan sebuah bangunan kecil dengan harga diorama buatan tangannya bermula sekitar RM300.
Katanya, ia bergantung pada keadaan dirinya.
"Jika saya mendapat inspirasi, saya boleh menghabiskan masa berjam-jam di studio saya.
"Kadang-kadang, saya akan membuat diaroma sehingga pukul 3 pagi sambil mendengar muzik penyanyi kegemaran saya seperti Lionel Ritchie, Kenny Rogers dan Jamal Abdillah.
"Bagi saya, ia adalah tentang berjaga-jaga dari segi mental sambil sibuk semasa saya menguruskan masalah kesihatan saya," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram