Keadilan buat Palestin, MAHAR komited salur 3 inisiatif bantuan selepas gencatan senjata Gaza


  • Massa
  • Khamis, 16 Jan 2025

Pelbagai bantuan dan inisiatif dilakukan bagi mengekalkan kesejahteraan rakyat terjejas di Gaza selepas gencatan senjata diumumkan. — Gambar hiasan/Agensi

MALAYSIAN Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyambut baik pengumuman gencatan senjata di Gaza, menandakan berakhirnya 467 hari konflik yang menghancurkan.

Perkembangan itu memberikan harapan baharu untuk keamanan dan kestabilan di wilayah yang sekian lama dirundung kekejaman.

Sepanjang konflik itu, MAHAR tetap teguh dalam usahanya menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terkesan termasuk pelarian, individu memerlukan rawatan perubatan dan golongan paling rentan.

BACA LAGI: Perang di Gaza berakhir, laungan takbir iringi perjanjian gencatan senjata

BACA LAGI: [VIDEO] Teka-teki rider terduduk, tangan kiri berbalut disyaki kena serang senjata tajam di Bangsar

3120063

Orang ramai berkumpul meraikan kejayaan rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza. Mereka mengibarkan bendera Lubnan dan Palestin ketika berhimpun di Berlin, Jerman. — Reuters

Pengumuman gencatan senjata itu sekali gus memberikan sinar harapan baharu, membuka ruang untuk proses pemulihan dan pembinaan semula dimulakan tanpa berlengah.

Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar, menegaskan seluruh rakyat Malaysia perlu teguh dalam harapan bahawa gencatan senjata yang rapuh merupakan permulaan baharu.

"Ketika kita merenung kembali 15 bulan penderitaan yang dilalui oleh rakyat Gaza, ini bukan hanya detik untuk berdiam diri.

"Tetapi juga peluang untuk menuntut keamanan yang sebenar dan berpanjangan.

"Satu keamanan di mana nyawa Palestin tidak lagi menjadi angka statistik dan keadilan perlu ditegakkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, jalan yang akan datang memerlukan kesatuan berterusan, tindakan serta komitmen teguh bagi memastikan gencatan senjata itu menjadi asas buat Palestin yang adil dan merdeka.

Jelasnya lagi, MAHAR menjalankan pelbagai inisiatif untuk memberikan bantuan kepada rakyat Gaza, termasuk Ops Ihsan dengan menyampaikan bantuan penting seperti bekalan makanan, kit perubatan dan sumber kecemasan kepada komuniti terjejas.

Bukan itu sahaja, Misi Bantuan Kasih Johor 2.0 dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dalam menyediakan makanan, barangan keperluan bayi dan keperluan asas kepada pelarian dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal turut dilakukan.

Manakala, inisiatif Dapur Ihsan pula bagi menyediakan hidangan harian kepada keluarga terjejas, memastikan akses kepada makanan berkhasiat dan membantu meringankan kelaparan serta memperbaiki kesejahteraan fizikal dan mental mereka.

Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, pihaknya kekal teguh dalam komitmen untuk menyampaikan bantuan kritikal kepada mereka yang terjejas akibat krisis tersebut.

"Melalui inisiatif seperti Ops Ihsan, Dapur Ihsan, dan yang terkini Misi Bantuan Kasih Johor 2.0, kami telah menyediakan makanan, bantuan perubatan, dan bantuan kecemasan kepada rakyat Gaza.

"Kami menyeru semua pihak untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan orang awam yang tidak bersalah dan berusaha ke arah keamanan yang berkekalan.

"Kami akan terus berdiri bersama rakyat Gaza untuk memastikan mereka menerima sokongan yang sangat diperlukan dalam tempoh kritikal ini," jelasnya.

MAHAR pada masa sama menegaskan komitmennya untuk terus memberikan sokongan jangka panjang dan menyeru kerjasama antarabangsa untuk memastikan rakyat Gaza menerima bantuan yang diperlukan bagi membina semula kehidupan, rumah, dan komuniti mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram