30 tahun percuma, tindakan DBKL caj parkir di kawasan perindustrian Kepong didakwa tak praktikal


  • Massa
  • Khamis, 16 Jan 2025

Yee (depan, baju biru) bersama pekerja kilang membantah caj parkir yang akan dikenakan di kawasan perindustrian Kepong. — YAP CHEE HONG/The Star

PEMILIK kilang yang beroperasi di sepanjang Jalan Metro Perdana 12 dan Taman Perindustrian Sri Edaran di Kepong, Kuala Lumpur tidak berpuas hati dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengenakan bayaran parkir di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Selepas 30 tahun tempat letak kereta tersebut percuma, mereka berpendapat keputusan DBKL mengenakan caj tidak wajar dengan alasan bahawa mereka telah membayar cukai taksiran kepada pihak berkuasa tempatan.

Mereka juga menyatakan bahawa jalan di hadapan kilang tidak sesuai untuk dijadikan tempat letak kereta kerana ia sering digunakan oleh jentera berat seperti forklift.

"Minggu lalu, saya melihat kontraktor DBKL memasang papan tanda untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa caj parkir akan dilaksanakan tidak lama lagi dan itulah cara kami mengetahuinya," kata S. Subramaniam, seorang kontraktor yang bekerja berhampiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Makin kritikal, hujan lebat berterusan punca Sandakan ditenggelami banjir kilat

BACA LAGI: [VIDEO] Pakcik 44 tahun pecah 2 cermin kereta guna batu dan pasu bunga di Kuching, positif dadah jenis syabu

“Tiada sebarang notis atau penjelasan diberikan. Ini tidak betul. Kami tidak pernah membayar parkir di sini selama berdekad-dekad,” tambahnya.

Seorang lagi pekerja yang telah bekerja di kawasan itu selama bertahun-tahun, KF Voon, menegaskan jalan perindustrian sering digunakan oleh jentera berat yang memerlukan ruang tanpa sebarang halangan untuk beroperasi.

"Tempat letak kereta tidak sesuai dan boleh mengganggu aktiviti ini, sekaligus berpotensi membahayakan keselamatan," kata Voon.

Seorang pemilik perniagaan, Jeffrey Tan, menegaskan bahawa jalan di zon perindustrian tidak direka untuk tempat letak kenderaan biasa.

“Mengubah kawasan ini menjadi tempat letak kereta akan mengurangkan fungsinya dan menjadikannya kurang sesuai untuk aktiviti perindustrian.

"Jentera yang digunakan di sini memerlukan ruang yang luas untuk bergerak, jadi langkah ini tidak praktikal," ujar Jeffrey.

Para pemilik perniagaan meminta bantuan daripada aktivis komuniti, Yee Poh Ping.

“Keputusan untuk mengenakan bayaran parkir di kawasan perindustrian ini bukan sahaja tidak praktikal, malah ia satu pembaziran wang pembayar cukai,” kata Yee.

“DBKL perlu membelanjakan sejumlah besar wang untuk tenaga kerja menguatkuasakan peraturan parkir dan melukis garisan untuk tempat letak kereta.

"Usaha sebegini lebih baik digunakan di kawasan komersial atau kediaman, bukan di zon perindustrian yang mana pemilik perniagaan sudah banyak menyumbang melalui cukai," tambahnya.

Sementara itu, jurucakap DBKL ketika dihubungi mengesahkan mereka akan melaksanakan caj parkir di kawasan itu.

“Sejak 2016, DBKL mempunyai kuasa untuk mengutip bayaran bagi mana-mana ruang letak kereta yang telah ditandakan mengikut Peraturan Pengangkutan Jalan (Penyediaan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

“Cuma ia tidak dikuatkuasakan sebelum ini dan orang ramai mengambil kesempatan daripada situasi itu.

“Oktober lalu, DBKL telah melantik empat pengendali parkir baharu untuk memasang kain rentang dan bunting di seluruh bandar bagi memaklumkan kepada pemilik perniagaan dan penduduk mengenai caj yang akan datang.

"Pengendali akan membuat pemantauan dengan mengimbas kenderaan, jadi pemandu perlu mematuhi undang-undang," kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa kontraktor akan dihantar untuk membuat garisan di jalan untuk tempat letak kereta yang telah ditetapkan. — The Star/ BAVANI M

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram