KUIH kapit tradisional buatan Kamsiah Tahir, 65, dari Kampung Seberang Tokpi di Kuala Perlis, Perlis merupakan hidangan yang sentiasa dinanti-nanti setiap kali tiba musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Resipi turun temurun daripada arwah ibunya, Puteh Che Pa, kuih kapit Kamsiah bagaikan tidak pernah gagal menambat hati ramai pelanggan.
Dikenali sebagai Mak Long Kamsiah, wanita ini terus setia pada resipi asal yang lazimnya akan melonjak tempahan menjelang Tahun Baharu Cina.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Selepas mendapat ilham daripada rakannya berbangsa Cina yang menggemari kuih berkenaan, ibu Kamsiah mula menjual makanan istimewa itu di pasar pagi Kuala Perlis pada 1984.
“Permintaan terhadap kuih kapit meningkat pada musim perayaan dengan pelanggan setia daripada pelbagai masyarakat memuji rasa aslinya,” kongsi Kamsiah ketika ditemui di rumahnya di Kuala Perlis.
Kamsiah turut dikenali sebagai Mak Long Kamsiah dalam kalangan para pelanggan.
Dia berkata, pelanggan Cina lebih suka kuih kapit yang tidak terlalu rangup, manakala terdapat permintaan untuk tambahan penggunaan telur bagi rasa lebih enak.
“Saya bersyukur kerana ia masih menjadi pilihan ramai dan saya akan terus mengekalkan rasa asli dan kualiti kuih kapit ini,” ujarnya.
Kamsiah berkata, dia menggunakan bahan seperti santan segar, tepung beras, gula dan telur Gred A untuk mendapat rasa konsisten dan tahan lama.
Pada musim perayaan, katanya jualan kuih kapit boleh melebihi 600 balang dengan setiap balang berisi 50 keping kuih yang dijual pada RM15.
Balang berisi kuih kapit dihasilkan Kamsiah.
Kamsiah berkata, dia mengambil masa hampir 10 jam untuk membuat satu kumpulan tempahan menggunakan adunan 2 kilogram (kg) tepung kerana pembuatan kuih kapit memerlukan ketepatan untuk mengelakkannya terbakar dan perlu dilipat secara teliti ketika membentuk.
Dalam pada itu, Kamsiah juga memastikan resipi rahsia itu diturunkan kepada empat anak perempuannya.
“Anak bongsu saya, Maizatul Izzati Musa, 24, membantu dan tidak sabar untuk meneruskan legasi keluarga kami,” katanya sambil menambah dia menjual kuih kapit dari rumah dan mempromosikannya secara dalam talian.
Eng Kiau, 58, pelanggan setia dari Kuala Perlis, menyatakan kegemarannya terhadap kuih kapit hasil Kamsiah terutama pada Tahun Baharu Cina.
“Kuih kapit Mak Long Kamsiah unik. Ia rangup, tidak cepat basi dan kaya rasa,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram