Pemasangan CCTV AI kurangkan longgokan sampah haram di Simpang Pulai


  • Massa
  • Rabu, 15 Jan 2025

(Dari kiri) Chung, Wong dan Tan berdiri di hadapan CCTV yang dipasang berhampiran pasar basah Gunung Rapat.

LONGGOKAN sampah di lima lokasi pembuangan sampah haram di Simpang Pulai, Perak menunjukkan pengurangan yang ketara selepas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Adun Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata, kawasan itu kini bebas daripada longgokan sampah domestik dan pukal selepas pemasangan CCTV Disember lalu.

Lima lokasi pemasangan CCTV itu berhampiran pasar basah Gunung Rapat, Halaman Ampang Mewah, Persiaran Wira Jaya Timur 50, Jalan Desa Ampang 25 dan Jalan Harilela A1.

“Kami menerima banyak aduan mengenai sampah yang dibuang sepanjang jalan serta dalam longkang di lokasi-lokasi berkenaan.

"Tetapi selepas kamera dipasang, boleh saya katakan jumlah sampah telah berkurangan lebih daripada 90 peratus," katanya ketika melawat lokasi pemasangan CCTV berhampiran pasar basah Gunung Rapat di Ipoh.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak toleh kiri kanan langsung', wanita seriau lihat budak sekolah muncul dari belakang bas berlari lintas jalan di Johor

BACA LAGI: Buat sistem pendaftaran kenderaan, kenakan caj sewa bulanan antara kaedah atasi isu 'cop' parkir di PPR

“Sebelum ini, terdapat banyak longgokan sampah di sana sini, tetapi kini hanya tinggal beberapa tempat,” tambahnya.

Wong berkata, lima kamera CCTV berharga kira-kira RM50,000 itu mempunyai keupayaan kecerdasan buatan (AI).

“CCTV berkenaan memaparkan imej yang jelas, membolehkan kami mengenal pasti plat kenderaan sama ada ketika hujan atau cuaca cerah.

“Ahli majlis yang bertanggungjawab ke atas Gunung Rapat, Chris Chung serta pusat khidmat saya juga boleh memantau kawasan tersebut secara langsung melalui telefon bimbit,” ujar Wong.

“Video boleh dimuat turun bersama butiran masa dan tarikh, lalu dihantar kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Seminggu selepas kamera dipasang, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 setiap satu kepada lima individu,” jelasnya.

Wong menambah, terdapat permintaan daripada kawasan parlimennya untuk memasang lebih banyak CCTV di kawasan lain.

"Jika penggunaan kamera ini terus berkesan, kami akan mempertingkatkan pemasangan di kawasan lain dalam kawasan parlimen Gopeng," katanya.

Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, yang turut hadir menyatakan bahawa kamera tersebut bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang cara pelupusan sampah yang betul.

Menurutnya, sistem pengurusan sisa MBI yang sedia ada kini sudah mencukupi dan masyarakat perlu bekerjasama dengan tidak membuang sampah secara sembarangan. — The Star/ IVAN LOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram