HIDUP dengan hanya RM600 sebulan, Jamil Zaman, 58, dan isterinya Fauziah Mat Nor terpaksa bijak mengatur kewangan mereka untuk meneruskan kehidupan.
Jamil, 58, yang telah kehilangan penglihatan hampir sepenuhnya sejak enam tahun lalu, berkata, mereka bergantung sepenuhnya pada elaun bulanan RM450 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen RM150 sebulan yang diterima sebagai bekas penjawat awam.
“Sebelum ini, saya menghidap glaukoma di mata kanan selama lebih 20 tahun, tetapi masih boleh bekerja kerana saya dapat melihat dengan mata kiri.
"Namun, pada 2018, mata kiri saya juga terjejas dan saya kehilangan penglihatan sepenuhnya,” kata Jamil ketika ditemui di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) mereka di Taman Desa Mutiara, Johor Bahru, Johor.
BACA LAGI: Berbasikal ke tempat kerja perlukan pengorbanan, bukan untuk orang yang lemah
BACA LAGI: Desak DBKL hapuskan 'jerangkap samar' di Jalan Sri Petaling 2
Jamil yang pernah berkhidmat dalam tentera di Kem Majidee pada 1987 hingga 1990, kemudian bekerja sebagai pekerja am di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pemandu lori itu tidak lagi dapat bekerja selepas kehilangan penglihatan.
“Saya menerima pencen RM150 sebulan sebagai bekas penjawat awam di MBJB. Dengan elaun bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, itulah sahaja sumber pendapatan kami,” ujarnya.
Menurut Jamil, isterinya Fauziah yang menjaganya sepenuh masa, juga menghadapi masalah kesihatan dan tidak dapat melakukan kerja berat. Pasangan ini turut dibantu oleh Yayasan Bandaraya Johor Bahru yang membantu mereka membayar sewa rumah.
Fauziah, 51, berharap mereka dapat dipindahkan ke unit PPR di tingkat bawah bagi memudahkan pergerakan mereka.
“Sekarang kami tinggal di tingkat empat yang sangat menyukarkan kami, terutamanya kerana suami saya tidak dapat melihat. Saya berharap kami dapat dipindahkan ke tingkat bawah,” katanya.
PPR Taman Desa Mutiara, Johor Bahru.
Fauziah juga meluahkan kebimbangan mereka terhadap kos ubat-ubatan Jamil yang menelan belanja sekitar RM800 sebulan.
“Beberapa ubat yang diperlukan tidak ada di hospital kerajaan dan kami terpaksa membelinya di farmasi dengan preskripsi doktor.
"Ubat-ubatan ini sangat mahal dan kami tidak mampu membelinya setiap bulan. Suami saya terpaksa skip beberapa ubat, berharap setiap batch dapat bertahan lebih lama,” tambah Fauziah.
Selain itu, pasangan ini menghadapi kesulitan untuk pergi ke hospital kerana kos pengangkutan.
“Kadang-kadang, orang yang baik hati membantu membawa kami ke hospital, tetapi kami tidak boleh selalu bergantung pada orang lain.
"Kami sering terlepas janji temu perubatan, dan ada kalanya suami saya terpaksa skip janji temu hampir setahun,” katanya.
Pasangan tersebut berkongsi kesulitan mereka semasa lawatan oleh Pengurus Besar Econsave Cash and Carry Sdn Bhd, Mas Imran Adam.
Dalam lawatan tersebut, Mas Imran menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan seperti makanan, bantal, tilam, dan peralatan elektrik kepada mereka. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram