PULAU Pinang antara negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya yang sejak sekian lama menjadi destinasi pelancongan popular di Malaysia.
Namun, beralih ke 2025, usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang dipimpin oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Wong Hon Wai untuk memperluas dan memperkukuhkan sektor pelancongan negeri itu kini berada pada tahap yang lebih serius.
Justeru, peningkatan hubungan antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menjadi dua destinasi penting yang saling melengkapi dalam menarik lebih ramai pelancong asing.
BACA LAGI: Digelar sebagai 'penyakit pemisah', generasi muda titik mula lawan 'stigma' masyarakat tentang kusta
BACA LAGI: Setahun pencapaian, KKM terus maju tingkat industri perubatan Malaysia
Wong Hon Wai percaya bahawa Pulau Pinang mempunyai potensi tinggi untuk meneraju industri pelancongan di Malaysia.
Dengan adanya kemudahan penerbangan antarabangsa secara terus, para pelancong yang tiba di Kuala Lumpur dapat melanjutkan perjalanan mereka ke Pulau Pinang.
Hon Wai berkata, bukan itu sahaja, kerjasama antara kedua-dua bandar itu juga seiring dengan strategi Asean bagi meningkatkan saling hubungan antara negara luar di samping pada masa sama mengembangkan sektor pelancongan ke pasaran yang lebih luas termasuk Asia Tenggara, China, India, dan Timur Tengah.
"Kita melihat ini sebagai satu potensi untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat untuk pelancong merancang perjalanan mereka.
"Kita juga baru melancarkan penerbangan terus daripada Chennai, India ke Pulau Pindang dan itu bertujuan untuk mempelopori pasaran yang baharu.
"Ini supaya kita dapat mempelbagaikan kedatangan pelancong dari pelbagai sudut di seluruh dunia," katanya kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Kempen 'Not The Penang You Know' di Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu.
Pengenalan destinasi-destinasi menarik di Pulau Pinang menerusi kempen tersebut.
Katanya, selain daya tarikan yang sudah dikenali seperti George Town, makanan tradisional dan warisan budaya, Pulau Pinang kini menawarkan lebih banyak pilihan baharu buat para pelancong.
Beberapa tarikan baharu yang akan diperkenalkan termasuk kereta kabel di Penang Hill, taman biopendarfluor pertama di dunia di Entopia Penang Butterfly Farm serta Penang River Cruise yang menawarkan pengalaman unik untuk pelancong menikmati keindahan alam sekitar Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, kempen itu juga bertujuan memberi tumpuan kepada sektor perubatan, pendidikan serta perkahwinan yang semakin popular terutama dalam kalangan pasangan yang mencari destinasi perkahwinan yang unik dan indah.
"Kami juga ingin memperkenalkan lokasi lain di Pulau Pinang seperti Seberang Perai.
"Antara usaha yang kami lakukan sepanjang 2024 adalah dengan adakan program pelancongan besar-besaran iaitu Penang International Food Festival di Seberang Perai.
"Untuk kali pertama dalam sejarah juga kami mempunyai acara pelancongan yang ikonik aitu Penang Bridge International Marathon," jelasnya.
Pelbagai tarikan baharu diperkenalkan buat para pelancong.
Jelasnya, bersama dengan aktiviti-aktiviti tersebut, beliau yakin bahawa Pulau Pinang mempunyai banyak lokasi yang berpotensi besar untuk dikembangkan di mata dunia.
Seiring dengan perkembangan pesat dan strategi yang jelas, masa depan Pulau Pinang dalam industri pelancongan global kelihatan cerah, dengan lebih banyak peluang dan pengalaman menarik menanti para pengunjung.
"Untuk masa hadapan Pulau Pinang, kami komited untuk mencipta pengalaman yang mengimbangi kelestarian dan inovasi.
Sama ada mempromosikan budaya kebaya yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), meningkatkan kesalinghubungan melalui laluan udara baharu, atau melancarkan tarikan berinovatif, visi kami adalah menjadikan Pulau Pinang sebagai peneraju global dalam pelancongan dan kreativiti," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram