'Untung dibesarkan dengan ilmu,' anak mufti jadi saintis wanita pertama Malaysia terlibat projek NASA kini pulang berbakti demi negara


  • Bizz
  • Khamis, 07 Nov 2024

Wan Wardatul memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana bidang kejuruteraan mekanikal dari University of Minnesota di Minneapolis.

PADA 2014, saintis negara, Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim mencipta fenomena apabila mencatat sejarah menjadi wanita pertama Malaysia terbabit dalam program di bawah Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat (AS).

Pada ketika itu, beliau yang berusia 36 tahun dan masih bekerja sebagai saintis di Purdue University, West Lafayette, Indiana diberi tugas membuat reka bentuk dan membina nanosatelit biopenderia untuk melakukan kajian mengenai kesan graviti terhadap tumbuh-tumbuhan.

Peluang untuk terbabit dalam penyelidikan terbabit hadir selepas beliau ditawarkan berada di posisi berkenaan oleh seorang ketua jabatan di NASA dan juga mentornya, D Marshall Portefield.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Kajian yang disertai oleh Wan Wardatul pada ketika itu adalah bagi menilai secara terperinci pengujian bagaimana sel hidup akan bertindak balas kepada kekurangan graviti.

Projek tersebut akhirnya dilancarkan sebagai nanosatelit bersama sebuah roket SpaceX yang merupakan sebahagian daripada perjalanan NASA dalam misinya ke Marikh.

Ketika di AS, dia turut menggapai ijazah sarjana muda dan sarjana bidang kejuruteraan mekanikal di University of Minnesota di Minneapolis.

Wan Wardatul berkata, perjalanannya untuk berada di kedudukan tersebut bermula ketika dia masih bergelar pelajar kejuruteraan elektrik.

Screenshot 2024-11-04 162149

Wan Wardatul menerima anugerah pada Unesco pada 2015. — Agensi

Pada waktu itu, dia menawarkan diri untuk menghabiskan masanya bekerja di makmal dan kerja pertamanya adalah mencuci slaid kaca dan slip penutup untuk mikroskop.

“Orang mungkin bertanya, ‘Siapa yang mahu membersihkan slaid kaca?’ Ia pekerjaan yang sangat membosankan bukan? Tetapi pekerjaan itu membawa saya ke NASA.

“Saya bekerja di makmal ini kerana saya ingin belajar, tetapi kerana saya melakukan kerja dengan baik, mereka mula membayar saya dan memberi saya peluang sampai ke tahap profesor mengesyorkan saya untuk membuat PhD (dalam bioperubatan di Purdue)," ujarnya dalam satu temu bual bersama media tempatan.

Dalam pada itu, menerusi satu temu bual berasingan, Wan Wardatul mengakui ketika kecil, dia langsung tidak mengetahui mengenai NASA mahupun bidang penerokaan angkasa lepas.

Bagaimanapun, beliau yang juga anak kepada bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengakui beruntung kerana dibesarkan dalam keluarga yang mengutamakan ilmu.

Malah katanya, waktu kecilnya turut sentiasa ditemani dengan ensiklopedia bagi menyerap semua maklumat yang boleh diperolehinya.

Selepas 20 tahun berkelana di AS, Wan Wardatul akhirnya kembali ke tanah air untuk berbakti kepada Malaysia dengan mengalihkan fokusnya terhadap menyelesaikan masalah di peringkat komuniti setempat.

GL2FXbTa4AAjFFF

Wan Wardatul (dua dari kanan) kini terlibat dalam keusahawanan teknologi. — Twitter

Antara projek awalnya selepas kembali ke Malaysia adalah mencipta penderia pengesan mudah yang membolehkan sesiapa sahaja untuk menguji sampel air mengesan sebarang bakteria berbahaya, terutamanya dalam keadaan banjir.

Dia bersama pasukannya, dilaporkan membina peranti boleh diguna semula, mampu milik dan bukan invasif untuk memantau kadar glukosa darah.

Sementara itu, Wan Wardatul, 46, pada waktu ini turut mula menceburkan diri dalam bidang keusahawanan teknologi dengan mengasaskan nanoSkunkWorkx (nSWX) berasaskan kepakarannya dalam bidang nanoteknologi, kejuruteraan bioperubatan, elektrik dan bahan.

nSWX merupakan syarikat pemula terlibat dalam pembangunan bahan berasaskan graphene, iaitu satu bahan teknologi tinggi yang semakin mendapat permintaan dan memiliki potensi cukup tinggi dalam industri penyelidikan dan pembangunan semikonduktor, elektronik, bateri elektrik dan komposit.

Lebih menarik, kajian dilakukan mendapati Malaysia mempunyai sumber bahan utama yang banyak bagi penghasilan graphene.

Ini graphene boleh dihasilkan daripada sabut isirung kelapa yang merupakan bahan buangan biasa dalam pengeluaran minyak biji sawit.

Dianggarkan, saiz pasaran bagi bahan tersebut akan mencecah AS$3.85 bilion (RM16.9 bilion) menjelang akhir 2034. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram