Ladang Satelit Ehsan Tani bakal angkat Kampung Sungai Kelambu jadi pengeluar cili terbesar di Kuala Langat


  • Berita
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Ladang Satelit Ehsan Tani di Kampung Sungai Kelambu dijangka mengeluarkan hasil keseluruhan sebanyak kira-kira 80 tan cili merah dengan nilai mencecah RM700,000 untuk musim pertama. — Facebook/Daus Feerdaus

KAMPUNG Sungai Kelambu di Kuala Langat, Selangor bakal menjadi antara pengeluar cili merah terbesar di daerah tersebut menerusi pelaksanaan program Ladang Satelit Ehsan Tani yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Ahmad Firdaus Abdul Halim berkata, seramai kira-kira 20 peserta dipilih daripada kalangan komuniti penduduk setempat bagi mengusahakan projek tersebut yang dijalankan di atas tanah berkeluasan 10 ekar.

Ujarnya, menerusi projek berkenaan, ia dijangka mengeluarkan hasil keseluruhan sebanyak kira-kira 80 tan cili merah dengan nilai mencecah RM700,000 untuk musim pertama.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Ahmad Firdaus berkata, proses semaian bagi tanaman tersebut bermula pada bulan ini dengan hasil dijadual boleh dituai pada Disember depan.

"Jadi sekarang ini peserta tengah lakukan semaian. Kemudian kita akan pindahkan tanaman ke polibeg pada Oktober dan November.

"Kemudian pertengahan Disember insyALLAH hasil musim pertama akan keluar," ujarnya.

Ladang Satelit Ehsan Tani melibatkan kerjasama tiga pihak iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Lembaga Pertubuhan Peladang dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

Ahmad Firdaus berkata, inisiatif tersebut antara lain menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan peserta terdiri daripada penduduk di kampung berkenaan.

Selain itu, tambahnya, ia turut diharapkan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai usahawan pertanian yang berpendapatan tinggi.

454516395_8825274427500653_3606331434273249820_n

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris (depan, dua dari kiri) mendengar penjelasan daripada Ahmad Firdaus (depan, tiga dari kanan) ketika hadir melawat Ladang Satelit Ehsan Tani di Kampung Sungai Kelambu baru-baru ini. — Facebook/Daus Feerdaus

"Sasaran kita di bawah program ini supaya peserta dapat pendapatan sekurang-kurangnya atas RM3,000.

"Kemudian kita juga mahu agar program ini dapat melahirkan usahawan yang berpendapatan tinggi.

"Jadi melalui program ini, kita harap bila dah sampai masa dan mereka dah ada modal dan pengalaman, mereka boleh buka ladang sendiri," katanya kepada Majoriti.

Ujarnya, sesuai dengan objektif, Ahmad Firdaus berkata, pemilihan peserta berdasarkan dibuat berdasarkan beberapa kriteria.

Antaranya belia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, golongan susah yang perlu dibantu dan mereka yang memiliki keinginan untuk bertani.

Ujarnya, pada waktu ini, peserta terdiri daripada individu berusia antara 25 hingga 60 tahun dengan kesemuanya akan berada di bawah program berkenaan selama empat musim atau kira-kira dua tahun.

457600233_8982814788413282_1742614852295972726_n

Petani yang menyertai insiatif Ladang Satelit Ehsan Tani di Kampung Sungai Kelambu. — Facebook/Daus Feerdaus

Ahmad Firdaus berkata, melalui inisiatif tersebut, peserta akan diajar sehingga pandai untuk menguruskan tanaman masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul.

Jelasnya, setiap daripada mereka diberikan 2,000 polibeg dan 0.5 ekar tanah untuk diusahakan.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus berkata, antara cabaran utama dalam menguruskan projek tersebut adalah untuk menangani aspek kecekapan petani untuk mengendalikan tanaman.

"Cabaran kami paling utama adalah isu 'human factor' seperti daripada segi disiplin peserta contohnya.

"Tapi dengan SOP lengkap yang kami sediakan, kami yakin insyALLAH perkara itu dapat diselesaikan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram