Dua komuniti di Selangor buka kebun bantu anak muda berkeperluan khas jana pendapatan


  • Bizz
  • Isnin, 13 Jan 2025

Taman komuniti di Taman Rekreasi Taman Wawasan, Puchong, mempunyai pelbagai jenis tumbuhan.

BAGI kebanyakan golongan anak muda berkeperluan khas, mencari tempat kerja atau melakukan aktiviti secara berkumpulan sememangnya merupakan satu perjalanan yang mencabar.

Tetapi di dua taman komuniti di Selangor, sebahagian daripada kumpulan terbabit berjaya menemui tujuan dicari.

Kedua-dua ruang ini menjadi talian hayat buat mereka dengan menawarkan terapi, peluang pembelajaran dan mencari pendapatan.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Sokongan kerajaan

Seperti mana kebiasaan waktu pagi, kawasan Kebun Komuniti Perintis Hijau Anak-Anak Istimewa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan disinari dengan cahaya terik matahari.

Namun, itu sama sekali tidak mematahkan semangat sekumpulan anak berkeperluan khas di situ yang dilihat bersorak gembira sambil menjalankan tugas berkebun mereka seperti menyiram tanaman.

“Taman komuniti ini berfungsi sebagai satu bentuk terapi untuk OKU (orang kurang upaya) daripada pusat kami sambil menjana sedikit pendapatan untuk mereka.

“Kumpulan anak muda ini didiagnosis dengan gangguan perkembangan seperti autisme, sindrom Down dan gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD),” kata Pengerusi PPDK Sinar Harapan, Latifah Ahmad.

Kawasan dikenali sebagai Kebun Komuniti Perintis Hijau Anak-Anak Istimewa PPDK Sinar Harapan merupakan satu projek rintis yang terletak Kampung Melayu Subang, in Shah Alam, Selangor.

Inisiatif ini dimulakan oleh PPDK Sinar Harapan yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Shah Alam.

Taman komuniti itu terletak berhampiran pusat kendalian PPDK Sinar Harapan, yang menawarkan terapi dan pemulihan untuk kanak-kanak kurang upaya di bawah Program Pemulihan Berasaskan Komuniti JKM.

Feature on community garden run by people with disabilities (Kebun Komuniti OKU). This garden is managed by Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan, in collaboration with Petaling Social Welfare Department (JKM).— RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Latifah menunjukkan beberapa hasil tanaman roselle yang dituai dari kebun masyarakat Kampung Melayu Subang.

Pengurus projek, Perkas Rao Ramah mencetuskan idea dijalankan ketika ini selepas melihat keperluan memastikan golongan anak muda kurang upaya pembelajaran sentiasa sibuk dan mempunyai pekerjaan.

“Terdapat kebimbangan tentang apa yang akan berlaku kepada mereka selepas mereka menamatkan program pemulihan atau Program Pendidikan Khas Bersepadu yang serupa oleh Kementerian Pendidikan.

“Kebanyakan golongan anak muda kurang upaya tidak dapat bersaing dengan rakan seusia mereka dalam mencari pekerjaan.

"Mereka akan merasa sukar, malah tertekan, bekerja dalam realiti dunia sebenar dan terhad daripada segi perkara yang boleh mereka lakukan," katanya.

Perkas Rao berkata, PPDK Sinar Harapan mampu memperoleh tanah seluas 0.6 hektar untuk taman komuniti di bawah perjanjian tiga tahun dengan pemilik kepada tanah persendirian tersebut.

“Pemilik tanah bersetuju untuk memajakkan tanah itu kepada kami secara percuma, dengan syarat ia digunakan untuk tujuan kebajikan,” katanya sambil menambah bahawa perjanjian itu ditandatangani pada Jun 2023.

“Kami mengambil masa hampir dua bulan untuk membersihkan tapak untuk memulakan taman.

“Kami membelanjakan kira-kira RM14,000, disumbangkan oleh ahli jawatankuasa dan penderma yang murah hati, untuk mendapatkan peralatan berat bagi kerja pembersihan dan menjadikan bekas hutan sekunder itu sebagai ruang sesuai untuk berkebun,” ujarnya.

Peserta taman itu termasuk 17 orang bekerperluan khas berumur 16 hingga 31 tahun.

Latifah berkata, kumpulan anak muda itu dilatih untuk mengikut arahan diberikan.

Mereka berada di kebun pada pagi hari bekerja dan melakukan tugasan mengikut syif pada pagi Sabtu.

Feature on community garden run by people with disabilities (Kebun Komuniti OKU) .  —LOW LAY PHON/The Star

Kumpulan anak muda berkeperluan khas dan sukarelawan bekerjasama memunggah daun kering yang akan digunakan sebagai kompos dan untuk projek vermikompos di Puchong.

“Kami mendapatkan bantuan daripada pejabat daerah Jabatan Pertanian dan dinasihatkan menanam tembikai berdasarkan kesesuaian tanah.

“Beberapa pekebun tempatan juga mengajar kami cara menanam pokok bunga rosel.

“Kejayaan kami menanam pokok bunga ini membolehkan kami membuat jus, jem dan jeruk yang dibotolkan dan dijual ketika acara.

"Mengambil bahagian dalam acara menawarkan peluang kepada golongan muda berkeperluan khas ini untuk mempelajari asas menjalankan perniagaan, pemasaran dan interaksi pelanggan," katanya.

Hasil segar dan barangan dibotolkan juga dijual melalui pra-pesanan kepada penduduk berhampiran, komuniti tempatan dan pengunjung.

Dalam pada itu, kebun terbabit juga telah mengembangkan rangkaian hasilnya termasuk serai, ubi kayu, tebu dan kacang panjang.

Tugas harian peserta termasuk membaja, merumput dan menuai.

Ahli jawatankuasa PPDK Sinar Harapan dan sukarelawan dewasa membantu memotong, memasak dan membotolkan produk.

Selain itu, mereka juga membina struktur seperti bangsal dan katil taman serta tugas lain yang lebih rumit.

“Setiap OKU yang bekerja di taman komuniti itu diberi RM30 oleh PPDK Sinar Harapan dan RM450 oleh JKM di bawah elaun pekerja OKU setiap bulan.

“Hasil jualan juga diberikan kepada mereka, selepas ditolak perbelanjaan seperti bil utiliti, pembelian peralatan dan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kami telah mendaftarkan mereka untuk skim caruman sukarela i-Saraan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” kata Latifah.

Sementara itu, dia berharap untuk mengembangkan projek itu dengan merangkumi taman herba, rumah hijau dan menggabungkan sistem fertigasi.

Feature on community garden run by people with disabilities (Kebun Komuniti OKU) .  —LOW LAY PHON/The Star

Angie (kiri) bekerjasama dengan anaknya Ying Ze untuk menggemburkan tanah dan menyediakan batas tanaman di Puchong.

Antara pengunjung tetap taman itu ialah dua rakan baik dan yang mengalami masalah pembelajaran iaitu Amirul Hakim Mahyun dan Taashnuvarma Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Gopal.

“Saya seronok datang ke sini dan berbual dengan rakan-rakan.

“Saya selalunya menyerahkan wang yang saya perolehi kepada ibu saya. Tetapi saya juga telah menggunakannya untuk membeli seluar sukan baharu,” kata Amirul Hakim, 22.

Gopal berkata, dia gembira melihat hasil pertanian tumbuh daripada benih kepada sayur-sayuran.

“Saya suka menyiram tanaman, membaja dan memetik sayur.

“Saya menggunakan wang yang saya peroleh untuk membeli pakaian baharu atau membayar perbelanjaan perubatan saya,” kata Gopal yang berusia 21 tahun.

Lim Lee Pin menjadi sukarelawan di taman itu bersama anaknya Wong Ting Fong, 23, pada hujung minggu sebagai cara mengeratkan silaturahim dan menyumbang kepada masyarakat.

"Berada di taman membuatkan dia sibuk.

"Bagi kanak-kanak autisme seperti dia, unsur deria taman dan berada di kawasan lapang menenangkannya," katanya yang juga seorang pengurus yang sudah bersara.

Kebun baharu

Kebun Istimewa Anak Komuniti Puchong yang terletak di Taman Rekreasi Taman Wawasan di Puchong, Selangor, merupakan kawasan hijau baharu ditubuhkan untuk golongan anak muda berkeperluan khas.

Peserta di sini telah disahkan menghidap beberapa keadaan termasuk sindrom down, hiperaktif dan autisme.

Kebun itu dikendalikan Persatuan Ladang Komuniti Kanak-Kanak Istimewa Puchong (PKKAIP), sebuah persatuan yang terdiri daripada ibu bapa, penduduk dan sukarelawan dari kawasan sekitar.

Individu penting di sebalik projek itu ialah Presiden PKKAIP, Angie Ng; Naib Presidennya, Jasmine Lee dan Lily Loo.

Ketiga-tiga mereka merupakan ibu bapa kepada anak muda yang terlibat dalam taman komuniti.

Feature on community garden run by people with disabilities (Kebun Komuniti OKU) .  —LOW LAY PHON/The Star

Jasmine (kanan) bekerjasama dengan anak perempuannya Yi Min mengisi polibeg dengan tanah di taman Puchong.

“Kami mula-mula bertemu melalui kelas dihadiri anak-anak kami dan terus berhubung atas kecintaan bersama untuk berkebun.

"Kami juga memperkenalkan anak-anak kami kepada aktiviti berkebun pada usia muda," kata Jasmine.

Kumpulan itu kemudian dihubungkan bersama Lee Jen Uyin yang merupakan seorang Ahli Majlis dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Jen Uyin mencadangkan mereka mengambil alih sebuah taman komuniti terbiar di Taman Rekreasi Taman Wawasan dan menasihatkan kumpulan itu mengemukakan cadangan serta mendapatkan kebenaran daripada MBSJ, sebagai pihak yang menguruskan dan memiliki taman tersebut.

PKKAIP menerima kelulusan daripada MBSJ pada Mei 2024 sebelum mereka memulakan kerja-kerja pembersihan pada awal Jun 2024 dan mengadakan acara awam pertamanya untuk mewujudkan kesedaran mengenai taman itu pada bulan sama.

“Golongan muda berkeperluan khas sering menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan kerana banyak tempat kerja tidak mempunyai sumber atau sistem sokongan diperlukan untuk menampung keperluan mereka.

"Ini menyukarkan mereka untuk berkembang maju dalam persekitaran kerja biasa," kata Angie.

Feature on community garden run by people with disabilities (Kebun Komuniti OKU). This garden is managed by Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan, in collaboration with Petaling Social Welfare Department (JKM).— RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Lim (kanan) membimbing anaknya Ting Fong menuai rosel yang kemudiannya akan digunakan untuk membuat jus, jem dan jeruk.

Oleh itu, katanya, taman komuniti ditubuhkan sebagai ruang selamat yang mana golongan anak muda berkeperluan khas ini dapat mempelajari kemahiran baharu, memperoleh keyakinan dan membina pengalaman kerja dalam persekitaran yang menyokong.

"Peserta boleh melibatkan diri dalam aktiviti secara terus dan belajar mengikut kemampuan mereka sendiri," katanya sambil menambah bahawa peserta turut dibantu oleh ibu bapa dan sukarelawan dewasa.

Angie, yang merupakan presiden PKKAIP berkata, taman itu menyediakan ruang di mana peserta dapat menikmati alam semula jadi, belajar cara menanam dan menjaga tumbuhan serta mengajar mereka tentang pengurusan masa, kerja berpasukan dan tanggungjawab melalui senarai tugas ditetapkan.

Tanaman yang tumbuh di kebun itu termasuk bendi, keladi, betik, daun keledek, moringa, pisang, cili, bayam, bawang besar dan jagung.

"Hasil diperolehi dijual di tapak pertanian itu sendiri, biasanya pada hujung minggu apabila terdapat ramai pengunjung di taman serta di acara komuniti," katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu juga menganjurkan aktiviti atau bekerjasama dengan sukarelawan untuk mengadakan projek kitar semula atau kraf, permainan bola dan persembahan awam yang menawarkan golongan muda OKU peluang mempelajari kemahiran baharu dan berasa lebih selesa apabila berinteraksi dengan orang ramai.

“Aktiviti ini membantu mengembangkan kemahiran motor, kerja berpasukan dan keyakinan mereka, di samping memupuk persekitaran yang menyokong.

“Kami juga mahu membantu peserta kami mengembangkan lebih daripada sekadar kemahiran berkebun.

“Sebagai contoh, mempelajari cara melakukan rekaan risalah atau menggunakan media sosial untuk membuka peluang baharu kepada mereka,” kata Jasmine sambil menambah bahawa mereka mengalu-alukan sukarelawan untuk menjalankan program sebegitu bersama PKKAI.

Feature on community garden run by people with disabilities (Kebun Komuniti OKU). This garden is managed by Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan, in collaboration with Petaling Social Welfare Department (JKM).— RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Perkas Rao (berdiri) bersama sebahagian peserta dan sukarelawan di taman.

Beliau berkata, matlamat lain inisiatif digerakkan itu adalah untuk mendapatkan elaun JKM kepada golongan anak muda OKU.

Angie berkata, pihaknya kini sedang mencari cara untuk menambah baik taman tersebut antaranya dengan membaiki dan meningkatkan rumah hijaunya atau bereksperimen dengan penanaman pelbagai peringkat.

“Kami mengalu-alukan pakar dan penggemar pertanian untuk berkongsi pengetahuan mereka mengenai penanaman dan berkebun supaya kami dapat terus belajar.

"Kami telah memulakan projek vermikompos dengan sebuah universiti dan syarikat swasta," katanya.

Jasmine berkata, menerusi projek tersebut, beliau juga mendapati anak perempuannya yang merupakan penghidap autisme, Yap Yi Min, 20, lebih berdikari dan mampu mengimbangi aktiviti fizikal.

"Dia boleh bekerja sendiri dan mengendalikan tugas seperti menyiram tanaman, menggali tanah, menyapu dan merumput.

“Dia juga kini mampu mengendalikan kerja-kerja seperti menyapu di rumah.

“Interaksi sosial Yi Min telah bertambah baik. Dia lebih kerap bersembang dengan saya dan melibatkan orang ramai apabila melakukan jualan awam,” tambahnya.

Feature on community garden run by people with disabilities (Kebun Komuniti OKU). This garden is managed by Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan, in collaboration with Petaling Social Welfare Department (JKM).— RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Sukarelawan, Anissasnita Amrisal dan tiga anaknya Muhammad Al-Faten Mohd Saifullizan, 4, Ainul Mardhiah, 6, dan Ammar Muslim, 9, tampil membantu di taman komuniti pada pagi Sabtu di Kampung Melayu Subang.

Bagi Angie, taman itu menawarkan anak lelakinya Chang Ying Ze, 18, peluang untuk berada di luar rumah dan bersosial dengan rakan sebayanya.

“Ying Ze, yang menghidap sindrom Down, telah belajar untuk menjadi lebih yakin dari semasa ke semasa dan mencipta kandungan media sosialnya sendiri.

"Tugas hariannya termasuk menyiram tanaman, menanam anak benih, mengecat struktur dan merumput," kongsi Angie.

Jasmine dan Angie berkata, matlamat utama PKKAIP adalah untuk mencipta lebih banyak peluang dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menawarkan laluan inklusif serupa dalam membantu pertumbuhan kerjaya serta peribadi.

Jen Uyin berkata: “Projek ini selaras dengan seruan MBSJ untuk membina komuniti inklusif.

"Ia adalah tempat untuk golongan muda OKU meneruskan perjalanan hidup berdikari mereka, untuk latihan serta membina persahabatan dan kemahiran sosial," ujarnya.

Kebun Istimewa Anak Komuniti Puchong dibuka pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu pagi. — The Star/JADE CHAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram