'Sumpah tak selamat di dunia dan akhirat', tauke kecewa kolam pancing dituba di Pelabuhan Klang


  • Tular
  • Selasa, 14 Jan 2025

Tangkap layar ikan di Sea Lion Fishing Park Kolam 3A (AAA) didakwa diracun oleh individu yang tidak dikenali pada Selasa.

SEORANG lelaki berdepan kerugian ribuan ringgit selepas kolam pancing ikan miliknya di Pelabuhan Klang, Selangor didakwa dituba oleh individu tidak dikenali pada Selasa.

Menerusi hantaran yang dipercayai dimuat naik oleh pemilik kolam Sealion Fishing Park Kolam 3A (AAA), Mohd Rizwan turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan individu terbabit.

BACA LAGI: Cinta terhalang punca anak menteri berkahwin di Thailand, sijil nikah sah — Ketua Polis Negara

BACA LAGI: [VIDEO] Pemuda Malaysia antara 7 cedera, bom meletup dekat balai polis di Pattani

"Banyak dosa nak kena tanggung ini. Dengan lafaz bismillah, demi ALLAH, demi Rasul, aku sumpah pada mereka yang khianat kolam 3A.

"Tidak selamat di dunia dan akhiratnya," tulisnya di laman Facebook miliknya pada Selasa.

Lebih memeritkan apabila Mohd Rizwan berkongsi bahawa hampir semua ikan di kolam Sea Lion Fishing Park Kolam 3A (AAA) mati angkara sikap tidak bertanggungjawab oleh individu tersebut.

Menjengah komen di media sosial, rata-rata kaki pancing bersimpati dengan nasib dialami pengusaha kolam terbabit dan menyarankan supaya segera membuat laporan polis bagi mendapat keadilan.

"Kalau betul kena tuba (racun) panggil polis siasat. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pun bersepah-sepah biar polis buat kerja ini. Bagi kena kena tangkap kalau betul ada nampk si pelaku," kata warganet, Sopi Lagend.

"Oh ini yang semalam (Isnin) banyak ikan yang mabuk rupanya ada khianat, ramai dapat dengan hasil tangguk," komen warganet, Jets Lee.

"Mesti geng-geng kolam juga ini. Kawasan-kawasan situ juga ini, apa pun ada dah bahagian masing-masing. Semoga terus tabah menghadapi ujian," kata warganet, Muhammad Izham.

Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang laporan polis dibuat dengan pemilik kolam terbabit juga masih tidak memberi apa-apa perkembangan berhubung kejadian khianat berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram