POLIS mengesahkan bahawa anak seorang menteri Kabinet telah berkahwin sejak September lalu dan perkahwinan itu berlaku di selatan Thailand.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa mengesahkan sijil nikah yang disemak itu adalah sah dari negara jiran.
Menurut beliau, anak menteri dan seorang wanita itu saling mencintai, namun menghadapi pelbagai halangan untuk berkahwin.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemuda Malaysia antara 7 cedera, bom meletup dekat balai polis di Pattani
BACA LAGI: 'Fikir 2 kali sebelum buat jenayah', anggota polis auto kejung ketika demo 'taser gun' PDRM
Mereka menyembunyikan perkahwinan tersebut sehingga rakan-rakan terdekat mereka sendiri tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan.
"Mereka tidak mahu isu ini dibesar-besarkan bagi mengelakkan perasaan ahli keluarga mereka terluka," ujar Razarudin dalam sidang media yang diadakan pada Selasa selepas majlis penghargaan kepada pegawai dan anggota polis.
Mengenai perkembangan siasatan, KPN memaklumkan bahawa siasatan berhubung kes ugutan jenayah yang melibatkan anak menteri itu telah selesai. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
"Kami masih menunggu arahan lanjut mengenai perkara ini," katanya.
Kes tersebut mula tular di media sosial apabila anak menteri tersebut didakwa mengugut seorang wanita yang mendakwa telah dihamilkan olehnya. Ugutan tersebut dilaporkan berlaku pada 24 Disember lalu di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Razarudin menambah bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada 6 Januari untuk tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada.
"Kami tidak berkompromi dalam mengambil tindakan dan tidak melindungi mana-mana pihak yang telah melakukan kesalahan," jelasnya.
Siasatan awal mendapati bahawa anak menteri itu telah berkahwin dengan wanita berkenaan, yang dikatakan telah hamil sejak September tahun lalu. Polis kini menunggu pengesahan sijil perkahwinan tersebut.
"Siasatan polis adalah telus dan kami akan memastikan bahawa pesalah dibawa ke muka pengadilan, tanpa melindungi mana-mana pihak, walaupun ia melibatkan seorang menteri atau ahli keluarga mereka," tambahnya.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram