SHEIKH Mohamad Azrul SM Nasimuddin, datang daripada latar belakang dunia arkitek.
Namun minatnya terhadap seni bina dan reka bentuk mendorongnya bagi memulakan perniagaan perabotnya, dikenali sebagai Joy Design Studio Sdn Bhd, pada tahun 2014.
Kini perniagaan diusahakan jejaka berusia 35 tahun itu semakin berkembang selepas lebih sedekad beroperasi.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Joy Design Studio menawarkan reka bentuk perabot eksklusif, mewah dan terkini pada harga berpatutan.
Sheikh Mohamad Azrul berkata, untuk memenuhi kehendak dan keinginan pelanggan, beliau perlu sentiasa mengikuti trend semasa terutamanya dalam bidang hiasan dalaman rumah.
Berkongsi pandangan, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, rata-rata masyarakat Malaysia cenderung memilih gaya minimalis dengan pemilihan warna bumi untuk dekorasi kediaman.
Konsep
Joy Design Studio menawarkan reka bentuk perabot eksklusif, mewah dan terkini pada harga berpatutan. — Joy Design Studio
"Sebenarnya pilihan dekorasi masyarakat di negara ini sangat subjektif. Saya mengambil contoh penduduk di sekitar Lembah Klang, kebanyakan mereka yang pertama kali membeli rumah gemarkan elemen minimalis.
"Sementara itu, daripada segi warna pula nuansa bumi menghiasi ruang kediaman untuk tampak lebih trendy," jelasnya.
Bukan itu sahaja, Sheikh Mohamad Azrul juga menjelaskan, konsep dekorasi dipilih turut bergantung pada keluasan dan jumlah isi rumah.
Jelas beliau, Joy Design Studio yang turut menawarkan perkhidmatan hiasan dalaman di bawah jenama Joy Interior Design sentiasa menjadi rujukan pelanggan untuk khidmat nasihat.
"Perkara pertama perlu diambil kira sebelum menata rias rumah adalah mengenal pasti jenis ruang akan digunakan.
"Ini adalah kerana pemilik kediaman terdiri daripada pelbagai status iaitu bujang, pasangan baru mendirikan rumah tangga dan keluarga bersama anak-anak. Kepada yang mempunyai anak ramai, maka ruang diperlukan adalah lebih terbuka.
Sheikh Mohamad Azrul berkata, rata-rata masyarakat Malaysia cenderung memilih gaya minimalis dengan pemilihan warna bumi untuk dekorasi kediaman. — Joy Design Studio
"Rata-rata saiz kediaman di Malaysia, minimum berkeluasan 1,200 meter persegi. Jadi, perabot digunakan tidak boleh terlalu banyak dan bersaiz sederhana. Warna-warna pula perlu lebih semula jadi supaya ruang rumah kelihatan luas," tambahnya.
Begitu juga dengan golongan bujang, Sheikh Mohamad Azrul menyarankan agar tidak meletakkan perabot yang keterlaluan, sebaliknya menerapkan sentuhan minimalis bagi menyuntik mood tenang dan santai.
Di Joy Design Studio, pelanggan berpeluang memilih lebih daripada 10,000 perabot yang menjadi pilihan utama penduduk di negara ini iaitu minimalis, Scandinavian dan kontemporari untuk dekorasi kediaman ideal.
Warna gelap
"Konsep perabot minimalis, Scandinavian dan kontemporari ditawarkan adalah berdasarkan kriteria dan pilihan paling digemari masyarakat tempatan,
"Keunikan Joy Design Studio terletak pada pilihan rekaan mengikut trend semasa seperti sofa, set meja makan, kabinet televisyen dan katil.
"Kira-kira 50 peratus perabot adalah buatan Malaysia manakala selebihnya diimport dari China, Thailand dan Indonesia," jelasnya.
Sheikh Mohamad Azrul tidak menolak segelintir pemilik kediaman gemar bermain dengan warna-warna gelap termasuk perabot.
Menurutnya, tidak salah menerapkan warna tersebut, tetapi ia perlu dibantu dengan sistem pencahayaan seimbang di dalam rumah.
Joy Design Studio yang turut menawarkan perkhidmatan hiasan dalaman di bawah jenama Joy Interior Design sentiasa menjadi rujukan pelanggan untuk khidmat nasihat. — Joy Design Studio
"Sesetengah pemilik kediaman sukakan perabot warna-warna gelap seperti hitam, malah saya sendiri gemarkannya kerana menyerlahkan sisi maskulin.
"Pemilihan palet gelap sebenarnya menarik jika kena dengan gaya dan sistem pencahayaan yang betul sama ada menerusi sumber cahaya semula jadi atau lampu," ujarnya.
Dalam pada itu, bagi mengelakkan suasana di dalam kediaman tampak membosankan, ia boleh dilakukan dengan membangkitkan suasana dengan bermain tone warna terang terutama di bahagian dinding.
"Jika enggan dinding nampak kosong, ceriakan beberapa bahagian sahaja dengan cat warna.
"Selain itu, letakkan hiasan seperti bingkai gambar atau cermin untuk memberikan ilusi ruang kediaman kelihatan lebih luas," tutur Sheikh Mohamad Azrul.
Ini termasuk menggunakan tumbuh-tumbuhan antaranya 'snake plant', 'money plant' dan aloe vera. Selain menyerikan dan mendamaikan sudut kediaman, pokok jenis berkenaan juga mudah dijaga
Sempat menitipkan nasihat, Sheikh Mohamad Azrul berkata, "Pemilik rumah sebenarnya bebas memilih konsep dekorasi yang diingini
"Paling penting, fungsi yang diterapkan haruslah bersesuaian dengan ruang kediaman agar tidak mendatangkan masalah pada kemudian hari." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram