SELEPAS menamatkan pengajian diplomanya dalam bidang perniagaan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), di Petaling Jaya, Selangor, Nik Irwan Nik Mohamad tidak menunggu lama untuk terus berhijrah ke Cameron Highlands, Pahang untuk mula bekerja.
Pada waktu itu, dia berkhidmat dengan menolong saudaranya sebagai tukang masak yang menyediakan perkhidmatan katering dan masakan di kafe hospital serta kantin sekolah.
Cameron Highlands bukanlah tempat yang asing bagi Nik Irwan, 45, dan keluarganya.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Ini kerana sejak 1990-an, keluarga dan saudara-maranya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan sememangnya sudah bertapak dengan membuka perniagaan antaranya dalam sektor rumah inap dan juga restoran.
Nik Irwan sendiri pada ketika itu kemudiannya turut membuka kedai makan dan rumah inap di bandar pelancongan tersebut.
Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, bapa kepada tiga orang anak terbabit turut menyimpan keinginan yang dikongsikan bersama isterinya, Noor Azliana Md Ariffin, 40, bagi membuka perniagaan ladang strawberi.
Waktu itu, sebahagian besar ladang buah-buahan tersebut diusahakan oleh peladang berbangsa Cina.
"Dulu-dulu kalau naik motor 'kapcai' dengan isteri, kami akan pusing-pusing dekat atas untuk tengok ladang strawberi. Kami selalu cakap satu hari nanti kita juga akan buat ladang strawberi," kongsinya kepada Majoriti.
Dapat kepercayaan peladang Cina
Nik Irwan mula terlibat dalam perniagaan jualan strawberi sebagai peraih.
Peluang untuk Nik Irwan untuk terlibat dengan perniagaan strawberi mula terbuka selepas dia membuat keputusan bagi menjadi peraih dengan menjual buah-buahan tersebut ke pasaran di Lembah Klang pada 2014.
Pada awalnya, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, mereka mula membawa turun buah-buahan strawberi itu sebanyak kira-kira 20 kilogram (kg) hingga 30kg dengan menggunakan van yang sedia dimiliki mereka untuk perniagaan katering.
"Masa itu kita cuma ambil dan menumpang bekalan daripada ladang-ladang kenalan dan bawa turun sikit-sikit. Sebenarnya tak banyak sangat pun. Tapi benda itu seronok.
"Sebab kita pergi bukan berniaga, kita bawa turun sebab dah ada tempahan. Orang dah bayar," katanya.
Dalam pada itu, Nik Irwan mengakui, antara cabaran awal perlu dihadapi adalah bagi meyakinkan peladang khususnya berbangsa Cina untuk berurusan dengannya.
Ini kerana, rata-rata daripada mereka memerlukan peraih untuk mengeluarkan modal agak besar bagi mendapatkan bekalan daripada mereka.
"Peladang ini biasanya mereka perlukan kita bayar dahulu. Sebabnya risiko jual strawberi ini tinggi sebab dia cepat rosak.
"Macam kalau kita nak bawa turun 100kg turun ke Lembah Klang, kena buat bayaran dulu. Sebab takut nanti dah sampai KL, buahnya tak jadi, dah jadi isu dekat situ," ujarnya.
Dengan permintaan yang sudah sedia tinggi di Lembah Klang, jumlah strawberi yang dibawa turun oleh Nik Irwan terus meningkat sehingga mencecah 1 tan sehari bagi setiap satu perjalanan.
Dari kiri: Nik Irwan dan isterinya ketika membuka gerai di acara diadakan sekitar Lembah Klang.
Buka ladang ketika PKP
Melihat kepada potensi baik yang ditunjukkan perniagaan itu, Nik Irwan kemudiannya mengambil langkah berani apabila membuat keputusan bagi membuka ladang strawberi seluas empat ekar pada 2020 ketika negara dilanda Covid-19 dan negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada waktu itu juga, syarikatya sudah mendapat kebenaran untuk daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Jabatan Pertanian untuk membawa keluar buah-buahan tersebut dari Cameron Highlands.
Langkah itu disifatkan agak berani kerana masih tidak ramai peladang di bandar tersebut yang terdiri daripada Bumiputera dengan dia juga menjadi yang pertama dalam kalangan keluarganya membuat keputusan sedemikian.
Kecintaan mendalam terhadap perniagaan buah-buahan tersebut menjadi pendorong utama kepada bagi mengambil langkah tersebut.
Namun, Nik Irwan mengakui peralihan daripada menjadi peraih kepada peladang itu tidak hadir tanpa cabaran.
Malah katanya, dia juga mengalami kerugian di peringkat awal yang berpunca daripada faktor luaran seperti cuaca dan penggunaan baja.
Ladang milik Nik Irwan mengeluarkan sebanyak satu tan strawberi setiap hari.
"Bila mula itu memang ada kerugian. Macam juga seperti perniagaan lain. Kadang-kadang buah rosak. Dalam sehari itu 70kg sampai 80 kg kita terpaksa buang.
"Bayangkan kalau waktu itu sekilo kita jual RM10, dekat situ kita dah rugi RM800. Tapi itu kalau harga sekilo RM10. Sekarang ini harga dari ladang pun sekilo RM20.
"Jadi jika berlaku perkara macam itu, memang kita terpaksa tanggung juga," katanya yang kini turut dibantu dengan 18 orang pekerja di ladang.
Namun, untuk meminimumkan kerugian terbabit, Nik Irwan berkata, pihaknya akan memproses bahagian buah-buahan rosak yang masih elok itu untuk dijadikan sebagai bahan makanan antaranya seperti jem dan perisa air.
"Buah-buahan yang rosak tu kita boleh potong lagi, kita buang bahagian yang betul-betul rosak, sebahagian itu kita selamatkan dan bersihkan untuk dibekukan bagi diproses dijadikan jem dan perisa air," katanya.
Kini, ladang milik Nik Irwan mengeluarkan sebanyak sekurang-kurangnya 1 tan sehari dengan 200kg daripadanya akan dibawa keluar dari Cameron Highlands selain mereka turut membuka satu hab simpanan di Wangsa Maju.
Dalam pada itu, Nik Irwan turut membuka reruai di acara sekitar Lembah Klang bagi menjual berasaskan strawberi termasuk strawberi segar, strawberi coklat dan minuman jagung.
Operasi perniagaan jualan strawberi dan ladangnya, KWL Plantation dan ARASKA Plantation dijalankan bersama isteri dan dua orang adiknya, Md Azamzuri, 34 dan Jimmy, 37. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram