[VIDEO] 'PBT patut cakna, dah lama suruh tebang,' 4 sekeluarga nyaris maut kereta dihempap pokok di Kluang


  • Massa
  • Ahad, 12 Jan 2025

Sekeluarga nyaris maut selepas kenderaan dinaiki dihempap sebatang pokok berhampiran Taman Desa, Kluang, Johor pada Ahad.

EMPAT termasuk tiga warga emas nyaris maut selepas kenderaan dinaiki dihempap sebatang pokok di Kilometer 48.5 Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Taman Desa, Kluang, Johor pada Ahad.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu melibatkan dua lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 58 hingga 63 tahun.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sebelum kejadian, mereka yang datang dari Melaka dalam perjalanan untuk melawat saudara di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

BACA LAGI: Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar

BACA LAGI: Keputusan SPM diumum 27 Mei

"Ketika di tempat kejadian, semasa berada di lorong kanan, sebatang pokok di tepi jalan tumbang dan menghempap Perodua Alza yang dipandu Mohamad Din Siron, 62.

"Akibat nahas itu, Mohamad Din, Aini Saleh, 63 dan Normah Za’Abah, 58, mengalami kecederaan dan dirawat di HEBHK, manakala Mokhtar Siron, 60, tidak cedera,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kejadian kemalangan itu turut dirakam pengguna jalan raya lain sebelum dikongsikan di media sosial.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook menggesa agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan mengambil tindakan segera susulan keadaan pokok-pokok besar di kawasan berkenaan yang difahamkan sudah reput dan tua.

kluang

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang bertugas untuk membersihkan kawasan kejadian. — APM Kluang

Menurut Azim Safwan, pokok tua besar adalah berbahaya dalam kawasan populasi bandar yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Turut bersetuju, Erul Haiman yang mengatakan bahawa kejadian pokok tumbang seperti itu sudah berlaku pada tahun lalu.

"Dengan musim hujan dan angin kuat sekarang ini, sepatutnya semua PBT ambil cakna, dah lama suruh tebang pokok besar di sepanjang jalan.

"Namun dengan pelbagai alasan, kebanyakannya (PBT) ambil sikap tunggu dan lihat.

"Sudah berlaku bencana baru terpaling buat kerja, yang kasihannya rakyat marhaen yang jadi mangsa. Buat tuntutan pun belum tentu berjalan lancar," tulisnya.

Bagi Razi Yahaya, PBT seharusnya menggantikan pokok tua besar dengan tumbuhan baharu yang lebih bermanfaat.

"Pokok dah tamat tempoh, tiba masanya untuk tebang pokok tepi jalan, gantikan dengan yang lebih bermanfaat dan tak berbahaya. Atau nak tunggu mangsa seterusnya?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram