Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar


  • Massa
  • Khamis, 09 Mei 2024

Kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa mengorbankan nyawa seorang pemandu kereta yang berada di lokasi.

KEJADIAN pokok tumbang yang meragut nyawa seorang pemandu kereta di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada petang Selasa merupakan satu kejadian yang amat mendukacitakan buat negara.

Dalam insiden tersebut, pemandu lelaki yang maut terbabit dilaporkan sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah hotel bagi mengambil penumpang yang juga tetamu kepada syarikat tempatnya bekerja.

Video dikongsikan orang awam turut merakamkan detik-detik berlakunya kejadian tersebut.

BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

BACA LAGI: ISN akan pastikan Faisal Halim kembali bermain bola sepak, tanggung kos pemulihan sepenuhnya

Menerusi klip tersebut, pokok terbabit dilihat tumbang ketika berlakunya cuaca buruk di lokasi kemalangan.

Pada masa sama, jalan terbabit didapati turut sesak dipenuhi dengan kenderaan yang sedang beratur untuk bergerak.

Sebanyak 17 kenderaan mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut manakala seorang lagi mangsa dilaporkan cedera dan sudah dirawat di hospital.

Susulan daripada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menghasilkan garis panduan baharu dalam pengurusan pokok tua di bandar ini.

Tindakan tersebut adalah bertujuan bagi mengenal pasti risiko kemalangan khususnya bagi pokok yang sudah berusia mencecah puluhan tahun.

Beliau turut mengesahkan bahawa pokok tumbang dalam kejadian tersebut didapati berusia lebih 50 tahun dan berada di bawah pemantauan pihak swasta.

438161982_10229854262611468_97068786621953193_n

Tapak pokok besar berusia 50 tahun yang tumbang pada Selasa. — Facebook/AdeyIskandarJalaluddin

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan keperluan untuk meningkatkan kekerapan pemeriksaan terhadap pokok tua di sekitar ibu kota khususnya ketika cuaca tidak menentu yang berlaku ketika ini.

Ujarnya, pada waktu ini, kekerapan pemeriksaan yang dijalankan adalah sebanyak dua tahun sekali.

Cadangan dikemukakan Dr Zaliha itu turut dipersetujui oleh Presiden Persatuan Arborist Malaysia, Mohd Zailani Jamil.

"Pokok adalah benda yang hidup dan sentiasa membesar dan tumbuh. Jadi ini bermakna kita memang kena sentiasa pantau sebab akan berubah setiap hari, bulan dan tahun.

"Kalau pokok itu pembesaran lebih cepat, maka lebih keraplah kena periksa. Mungkin setahun sekali sekurang-kurangnya. Kemudian kalau pokok itu bermasalah dari segi kesihatan dan kesuburannya, maknanya lebih kerap lagi kita kena periksa," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Mohd Zailani berkata, punca kegagalan sesebuah pokok terbahagi kepada dua iaitu faktor luaran iaitu persekitaran tempatnya ditanam dan juga faktor dalaman iaitu keadaan kesihatan serta kesuburannya.

Katanya, kedua-dua faktor tersebut perlu diambil kira dalam menentukan tahap pemantauan yang perlu dilakukan.

"Kalau pokok itu berhampiran dengan orang, jadi kekerapan untuk pemantauan itu sangat penting. Sebabnya pokok ini boleh berubah mengikut keadaan tapak, tanah dan termasuk cuaca ekstrem yang boleh mengubah struktur tanah serta keadaan pokok," katanya.

Mengulas mengenai kejadian yang berlaku pada Selasa itu, Mohd Zailani tidak menolak kemungkinan ia berpunca akibat pembangunan yang dilakukan di sekitar pokok tersebut.

Ujarnya, ini kerana aspek terhadap kepentingan pemeliharaan pokok khususnya di bahagian akar sering dipandang sebelah mata oleh pihak yang melaksanakan pembangunan di sesuatu kawasan

"Kalau pokok itu besar, dia perlu struktur akar lebih besar dan kuat untuk menampung berat pokok.

"Jadi bila buat pembinaan, kita selalunya main simen sahaja atau bangunkan konkrit di kawasan tersebut. Tindakan itu boleh menyumbang kepada kecederaan atau penyakit kepada akar sehingga menyebabkan ia tidak boleh berkembang dengan baik dan berisiko tumbang," ujarnya.

Local residents Kalai Karupih, 62 (left), and Manoj Santhrasegran, 36, pointing to one of the overgrown trees lining Jalan 15/27b at Desa Setapak, Kuala Lumpur.

Pokok besar antara lain berperanan meningkatkan kualiti kehidupan bandar dengan menyediakan tempat teduh dan meningkatkan kualiti udara. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, kejadian yang berlaku pada Selasa itu turut menarik perhatian orang ramai di media sosial.

Malah, ada antara mereka turut menggesa agar DBKL menebang kesemua pokok besar 'tua' yang menghalang laluan jalan raya sebelum lebih ramai nyawa terkorban akibat kejadian serupa.

Mengulas mengenai isu tersebut, Mohd Zailani berkata, pokok seharusnya dilihat sebagai aset hidup yang mampu memainkan peranan penting terhadap perbandaran di dalam negara.

Ujarnya, pokok besar memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti kehidupan bandar dengan menyediakan tempat teduh, meningkatkan kualiti udara, mengurangkan pencemaran bunyi, dan meningkatkan daya tarikan estetik persekitaran.

Dalam menangani perkara itu, beliau berkata, adalah lebih baik untuk pihak berkuasa menilai semula cara pengurusan pokok besar termasuk dalam menangani risiko kemalangan melibatkan tanaman tersebut.

"Kalau kita boleh simpan (pelihara) sesuatu yang bernilai tinggi, tua dan berumur, maknanya ia tunjukkan bahawa kita ada pengurusan yang cekap.

"Jadi itu yang penting. Di bandar-bandar lain ada pokok yang mampu jadi tarikan sebab ada pokok yang dah berusia 300 hingga 1,000 tahun masih berdiri," jelasnya.

Pada masa sama, Mohd Zailani berkata, jumlah pokok di Kuala Lumpur juga disifatkan masih jauh daripada mencukupi khususnya bagi mewujudkan suasana yang berkualiti kepada penduduk.

"Kalau kita ajak orang berjalan 100 meter di bandar, anda rasa mereka ini rasa selesa atau tidak. Jadi sebenarnya benda ini kita semua tahu jawapannya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram