POLIS sedang menyiasat motif kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai didera sehingga maut oleh ibu kandung dan teman lelaki di Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan masih dijalankan, termasuk mengenal pasti punca penderaan yang membawa kepada kematian mangsa.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa objek tumpul ketika tangkapan dibuat ke atas suspek dalam kes berkenaan.
BACA LAGI: Data adalah 'minyak' baharu, menteri saran guru dan pendidik kuasai teknologi terkini termasuk AI
BACA LAGI: [VIDEO] Dron pengesan haba bantu polis AS kesan budak hilang di tengah-tengah ladang jagung
“Bagaimanapun untuk mengesahkan ia senjata digunakan (dalam kes penderaan) bergantung kepada laporan pakar nanti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, pasangan kekasih itu ditahan di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang pada pukul 5.17 petang, Jumaat.
Menurut Mohd Azam, wanita itu menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 2.36 petang untuk membuat laporan mengenai anaknya yang tidak sedarkan diri di rumah mereka, sebelum anggota bertugas diarah ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun tersebut dipercayai didera oleh ibu kandungnya dan teman lelaki.
"Mangsa mengalami kecederaan seperti kesan lebam pada muka, leher, tangan dan kaki.
“Mangsa meninggal dunia di rumah dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah pendarahan di dalam kepala,” maklumnya.
Difahamkan, mangsa dibiarkan demam tanpa diberi rawatan sehingga mengalami sawan selain dipukul dengan rotan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram