Zayn Rayyan: Pendakwaraya serah bukti laporan kimia dan CD


Zayn Rayyan: Pendakwaraya serah bukti laporan kimia dan CD.

PIHAK pendakwaan pada Jumaat menyerahkan laporan kimia dan cakera padat (CD) berkaitan kes melibatkan seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ibu bapanya didakwa atas pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh bahawa setakat ini tiada lagi dokumen-dokumen lain yang akan diserahkan kepada pihak pembelaan.

BACA LAGI: Kemalangan jadi titik tolak budak JB ubah laluan hidup, kejayaan di UPM bawa nama ke Universiti Oxford

BACA LAGI: Berkat dorongan ibu bapa, anak sindrom Down tonjol potensi luar biasa bercucuk tanam, kraf dan main piano

"Pada Jumaat, pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen (laporan kimia dan CD) kepada pihak peguam yang akan digunakan semasa perbicaraan kes berkenaan.

"Selain itu, senarai saksi termasuk pernyataan saksi sekiranya ada, akan diserahkan kepada pihak peguam sebelum tarikh perbicaraan melalui e-mel.

"Mohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini bermula 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac depan dikekalkan,” kata Raja Zaizul Faridah semasa sebutan kes itu.

Peguam, M.Haresh yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengesahkan pihak pembelaan telah menerima laporan kimia dan CD daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian mengekalkan tarikh-tarikh perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 15 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.

Pada 13 Jun tahun lepas, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram