'Dulu mudah dapat RM1,000, hari ini cecah RM500 pun susah', pemandu bot kelip-kelip gusar perniagaan merosot


  • Bizz
  • Khamis, 09 Jan 2025

Kampung Kuantan sudah menjadi tarikan pelancongan untuk melihat kelip-kelip sejak 1970-an. — Visiti Selangor

SEJAK lebih tiga dekad lalu, Kampung Kuantan di Kuala Selangor, Selangor, merupakan destinasi pelancongan yang terkenal dengan pemandangan kelip-kelip mempesona di sepanjang sungai paya bakau.

Tarikan keindahannya menawarkan pengalaman luar biasa, sekali gus memikat hati pengunjung tempatan dan pelancong luar negara.

Tambahan pula, pembangunan di tempat tersebut sebagai kawasan tarikan turut memberi kelebihan buat penduduk di kampung terbabit.

Antaranya menambah pendapatan dengan berkhidmat sebagai bot membawa pengunjung menyusuri sungai untuk melihat kelip-kelip.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Salah seorang daripadanya ialah Mohamad Rizwan Shah Saian, 39, yang merupakan generasi kedua penduduk kampung berkenaan bekerja sambilan sebagai pemandu bot.

Dia yang juga berkhidmat sebagai penjawat awam berkata, pekerjaan membawa pelancong melihat kelip-kelip bermula daripada bapanya sekitar 1970-an meskipun ketika itu kawasan tersebut belum dikomersialkan.

Menurut Mohamad Rizwan, pada waktu itu bapanya bekerja sebagai tukang kebun di sekolah menjalankan aktiviti membawa pelancong melihat kelip-kelip demi mencari wang tambahan untuk menampung keluarga.

Kampung_Kuantan_Fireflies_Park_Signboard_Tourism_Selangor

Lokasi melihat kelip-kelip terkenal di Kuala Selangor kini dikenali sebagai Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan. Selangor.travel

Pun begitu, selepas melihat potensi pendapatan yang diperoleh hasil aktiviti pelancongan sedemikian mendorong Mohamad Rizwan, mengikut jejak langkah bapanya menjadi pemandu bot secara sambilan pada 2010.

"Alhamdulillah, kami menerima ramai pengunjung hampir setiap malam.

"Waktu itu seorang pemandu boleh memperoleh lebih RM1,000 sebulan. Bagi kami orang kampung, jumlah itu besar, apatah lagi dilakukan secara sambilan," katanya kepada Majoriti.

Hasil pendapatan merosot

Bagaimanapun, Mohamad Rizwan berkata, sambutan terhadap tempat terbabit yang kini dikenali sebagai Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan mula menunjukkan kemerosotan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

Jika dahulu kawasan pelancongan itu saban hari dikunjungi pelancong, kini ia hanya menjadi tumpuan musim cuti sekolah ataupun musim perayaan.

"Sebelum ini, hari-hari biasa kami menerima sejumlah pelancong luar negara seperti Korea Selatan, Jepun, Pakistan dan Rusia. Kemudian, bertambah dengan kedatangan pelancong dari China sekitar 2018.

"Lazimnya, rombongan ini (pelancong luar negara) berkunjung ke sini dengan menaiki bas, namun hari ini berbeza hanya menggunakan van. Pendek kata, jumlah pelancong tidak ramai.

"Justeru, kami banyak bergantung kepada kehadiran pelancong tempatan misalnya, musim cuti," katanya yang memaklumkan pemandu bot memperoleh RM20 bagi satu perjalanan berdurasi 20 minit.

Berikutan situasi berkenaan, bicaranya sesetengah pemandu bot hilang motivasi sehingga membuat keputusan mencari pekerjaan sampingan lain.

Kampung_Kuantan_Fireflies_Park_Night_Tourism_Selangor

Keindahan pemandangan kelip-kelip yang menjadi tarikan pengunjung. — Selangor.travel

Ujarnya, dalam kalangan 28 pemandu bot yang berkhidmat di pusat tersebut sebahagian besarnya mula mencari kerja sambilan lain bagi menjana pendapatan tambahan.

"Disebabkan jumlah pelancong semakin berkurangan, hasil pendapatan cecah RM1,000 untuk sebulan memang sukar. Saya sendiri pernah memperoleh RM500, jika dibandingkan dengan hasil sebelum ini. Memang kami terjejas.

"Apabila jadi macam ini, motivasi bekerja merosot sehingga ramai cari kerja sambilan seperti menjadi pemandu e-hailing," katanya yang turut mengakui kewujudan persaingan syarikat pelancongan swasta menyediakan perkhidmatan serupa di lokasi berdekatan turut memberikan kesan terhadap jumlah pelancong di pusat tersebut.

Sehubungan itu, Mohamad Rizwan, berharap agar jumlah pengunjung di Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan kembali dipertingkatkan, sekali gus membantu penduduk kampung menambah pendapatan menerusi kegiatan pelancongan.

Pada masa sama, dia turut mengakui bahawa perubahan cuaca dan alam sekitar turut memberi kesan terhadap habitat kelip-kelip di kawasan tersebut.

"Kelip-kelip itu sendiri sedang berdepan masalah. Serangga ini akan berkurangan apabila cuaca terlampau panas.

"Dahulu cuaca siang panas, malam pula dingin dan petang kadangkala hujan. Keadaan itu membantu proses pembiakan.

"Tapi beberapa tahun terakhir ini cuaca tak menentu dan ada masa terlampau panas berpanjangan. Jadi kelip-kelip semakin berkurang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram