Hanya terjual 7 bungkus nasi lemak hari pertama, tidak patah semangat Siti Norhidaya, guna resipi unik suami


  • Bizz
  • Rabu, 08 Jan 2025

Siti Norhidaya dan suaminya mula berjualan nasi lemak sejak awal Disember lalu.

PADA sekitar awal Disember lalu, Siti Norhidaya Faizulan, 37, membuat keputusan mula menjual nasi lemak di tepi jalan bagi membantu menambah pendapatan keluarga.

Ketika itu, pendapatan suaminya bekerja sebagai tukang pendawaian secara bebas agak tidak menentu untuk menyara keluarga terdiri dua anak masing-masing berusia enam dan 18 tahun.

Bagaimanapun, hari pertamanya berniaga tidak memperolehkan hasil jualan seperti mana diharapkan.

"Hari pertama, tujuh bungkus sahaja terjual walaupun saya menyediakan satu tong sambal.

"Jadi, apabila pulang ke rumah baki jualan nasi lemak yang masih banyak saya berikan kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahan sekitar," kongsinya kepada Majoriti.

6334632817056660954

Hidangan nasi lemak disediakan Siti Norhidaya dan suaminya.

Bagaimanapun, kegagalan berjualan hari pertama sedikit pun tidak mematahkan semangat Siti Norhidaya untuk terus berniaga.

Pada hari berikutnya, wanita berasal dari Rantau Panjang, Kelantan itu kembali menjual nasi lemak di lokasi sama di Jalan PJU 3/27, Petaling Jaya, Selangor.

Hatinya sedikit berbunga dan mampu mengukir senyuman apabila 40 bungkus nasi lemak habis terjual.

Yakin resipi nasi lemak suami

Menurut Siti Norhidaya, sejak awal berhasrat menjual makanan tersebut, dia sememangnya yakin akan keunikan rasa nasi lemak yang merupakan resipi suaminya, Harris Saleh Johari berusia 40 tahun.

Bicaranya, resipi itu disifatkan unik seperti penggunaan bahan-bahan antaranya gula Melaka.

6334632817056660957

Siti Norhidaya (kanan) dan suami berniaga di Jalan PJU 3/27, Petaling Jaya, Selangor.

"Setiap peniaga mempunyai teknik masakan dan resipi sambal tersendiri, suami saya juga tidak terkecuali.

"Sebab itu, saya sedikitpun tidak berasa putus semangat dek pengalaman hari pertama berniaga. Tambahan pula, selepas sedekah baki nasi lemak (hari pertama jualan), ALLAH memberi lebih rezeki kepada kami," ceritanya.

Kini secara purata, perniagaannya Nasi Lemak HS yang beroperasi setiap hari kecuali Ahad sekurang-kurangnya sebanyak 50 bungkus nasi lemak terjual setiap hari.

Dia kini turut dibantu oleh suaminya akan berniaga hingga pukul 11 pagi.

Dalam pada itu, Siti Norhidaya turut menjelaskan, rata-rata pelanggannya turut memuji keenakan nasi lemak.

"Maklum balas pelanggan, nasi lemak yang saya jual rasanya lain. Nak cakap pedas tidak. Nak kata manis pun tidak. Apa yang penting mereka suka," ujarnya yang turut menyediakan lauk tambahan seperti rendang ayam, rendang daging, udang sambal petai dan kari ayam.

Mereka menjual harga serendah RM2 untuk nasi lemak biasa manakala antara RM5 hingga RM7 untuk hidangan berlauk.

fbfe37ef-6f2c-4aa3-8bc6-cde20e8c46ab

Menu yang disediakan di Nasi Lemak HS.

"Rutin kami biasanya bermula seawal pukul 3 pagi untuk masak dan buat persediaan. Kemudian mula berjualan sekitar 7 pagi sampai pukul 11 pagi. Kalau habis cepat, kami akan habis awal.

"Suami akan tolong di tapak sebelum dia pergi kerja," ujarnya yang memaklumkan bahawa pendapatan yang diperoleh sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan keluarganya.

Sementara itu, Siti Norhidaya mempunyai perancangan untuk membesarkan perniagaan jualan nasi lemaknya itu termasuk membuka restoran pada masa hadapan.

"Namun begitu, pesan suami kita cuba dari bawah. Tidak mengapa awal-awal ini susah dahulu.

"Mana tahu bermula dengan meniaga membuka payung di gerai, rezeki berpihak kami membuka kedai pula," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram