[VIDEO] Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan


Ahmad Zahid menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada AGC sebagai asas pertimbangan agar kesemua pertuduhan terhadapnya digugurkan.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk berhenti, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

"Mahkamah ini membuat keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan. Sebelum saya tangguhkan, saya ingin menyatakan di sini bahawa, apa sekalipun kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa sebelum penghakiman dibuat, tidak boleh dipersoalkan.

"Andainya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pendakwaan, bahawa banyak masa kehakiman yang barharga akan terbuang di samping membazirkan banyak wang pembayar cukai, dan dengan ini, mahkamah ditangguhkan,” katanya.

Sebelum ini, pihak pendakwaan dalam kes Ahmad Zahid memohon kepada mahkamah supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Mohd Dusuki memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya ingin memberhentikan prosiding bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid, yang memberi kesan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

"Selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan ingin memberhentikan prosiding ke atas semua pertuduhan terhadap tertuduh (Ahmad Zahid) dengan mengemukakan 11 alasan,” katanya.

Prosiding ditangguh seketika untuk Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan, selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili yang Ahmad Zahid memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan.

Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar kesemua pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes itu kini di peringkat pembelaan. Pihak pembelaan setakat ini telah memanggil 15 saksi termasuk Ahmad Zahid untuk memberi keterangan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram