BERKHIDMAT di rumah kebajikan kanak-kanak bukanlah tugas mudah. Ia memerlukan kesabaran, dedikasi dan empati yang tinggi demi memastikan kesejahteraan mereka terpelihara.
Begitu juga dengan Ida Yasmin Mazlan, 35, yang bekerja sebagai warden di Rumah Aman Children's Home di Sungai Buloh, Selangor.
Bagi Ida, pengalaman bekerja sebagai warden in-house memberikannya perspektif mendalam tentang makna kasih sayang dalam kekeluargaan.
BACA LAGI: Bukan lagi 'gajah putih', sinar baharu Hentian Kajang, kini pusat pertemuan pencinta buku
Ida (kanan) bertugas sebagai warden dan tutor kepada kanak-kanak di Rumah Aman Children’s Home.
Memulakan tugasnya sebagai tutor atau guru tidak formal pada September 2023, Ida bersyukur diberi peluang istimewa untuk belajar menyelami kehidupan kanak-kanak yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Meskipun tanggungjawabnya kini sebagai warden, ia bukan sekadar mengajar, tetapi juga mengenali setiap kanak-kanak secara menyeluruh.
"Sebagai warden, saya dapat mengenali anak-anak secara lebih menyeluruh iaitu daripada perangai mereka, bakat terpendam, disiplin dan kebajikan mereka," katanya kepada Majoriti.
Kata Ida, mengendalikan kanak-kanak berbeza usia tidak semudah yang disangka.
Ida berkata, kanak-kanak berusia antara 7 hingga 17 tahun memerlukan pendekatan berbeza.
Bagi yang masih bersekolah rendah, cabarannya lebih kepada menangani telatah mereka yang aktif dan kerap meraih perhatian.
Manakala, pelajar sekolah menengah pula, cabarannya terletak pada usaha mendisiplinkan mereka serta memberikan semangat sebelum menempuhi alam dewasa.
Katanya, proses tersebut memerlukan kesabaran yang tinggi terutamanya apabila emosi mereka berada dalam keadaan tidak stabil.
Antara pengalaman paling menyentuh hati adalah apabila Ida dapat berinteraksi dengan anak-anak yatim yang tinggal di pusat jagaan tersebut.
"Mereka tidak ada ibu bapa untuk bergantung. Harapan mereka hanya pada kami.
"Mereka mungkin tidak menunjukkan emosi secara jelas, tetapi kami tahu mereka ada pendam perasaan,” jelasnya.
Kanak-kanak di Rumah Aman yang datang daripada pelbagai latar belakang.
Katanya, anak-anak yatim itu juga sering kesunyian apabila melihat rakan lain pulang bercuti ke rumah keluarga masing-masing.
Melihat situasi itu, pihak pengurusan mengambil inisiatif untuk membawa pulang kanak-kanak yang tiada saudara terdekat atau keluarga ketika hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau cuti umum.
Ketika ditanya tentang cara mengendalikan tekanan dalam pekerjaan, Ida Yasmin mengakui bahawa sabar adalah kunci utama.
“Kalau bekerja di sini, memang kena banyak sabar, terutama dengan latar belakang mereka yang mungkin ada kurang kasih sayang.
“Niat itu paling penting. Kalau kita letakkan niat yang betul, Insya-ALLAH kita tak rasa terbeban,” jelasnya.
Beliau juga percaya bahawa naluri keibubapaan membantunya berkomunikasi dengan kanak-kanak di rumah kebajikan itu.
Menurutnya, kasih sayang yang tulus dapat dirasai oleh kanak-kanak dan membantu dalam membentuk hubungan yang lebih rapat.
“Bekerja di sini memang susah untuk asingkan sepenuhnya antara tugas dan emosi.
“Sebab kami bukan hanya guru atau warden, tetapi juga seperti ibu bapa kepada mereka,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram