Masa kecil sanggup jalan jauh ke perpustakaan di Kelantan, Abdul Halim tak sangka 'abdi diri' beri kehidupan kedua buat buku terpakai


  • Massa
  • Rabu, 08 Jan 2025

Abdul Halim menghabiskan waktunya dengan menjual buku-buku terpakai di Hentian Kajang, Selangor.

INDUSTRI buku terpakai di Malaysia kini semakin mendapat perhatian, terutama dalam kalangan pengguna yang mencari bahan bacaan dengan harga rendah.

Meskipun buku terpakai kebanyakannya terlihat suram, namun masih mendapat tempat di hati para penggemarnya.

Tidak terkecuali mengembangkan lagi industri itu, pengasas kedai Coretan Buku Terpakai, Abdul Halim Ismail berkesempatan berkongsi pengalamannya sepanjang menceburi perniagaan buku.

BACA LAGI: Anugerah MiSHA ke-4 bakal saksikan 150 pengiktrafan sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan

BACA LAGI: Tanah runtuh di Cameron Highlands, jalan utama Simpang Pulai-Lojing ditutup

WhatsApp Image 2025-01-07 at 14.58.19

Lebih 10,000 buku terpakai yang dijual di kedai Abdul Halim.

Berbekalkan semangat dan cinta terhadap bahan bacaan tersebut, Abdul Halim memulakan perjalanan dalam industri buku terpakai.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang kini menetap di Puchong, Selangor itu juga mengabdikan diri dalam bidang itu sejak 1998.

Katanya, minat yang digilap itu bermula sejak di bangku sekolah lagi.

"Memang saya minat baca buku, baca di perpustakaan, pinjam buku kawan-kawan.

"Ketika itu nak beli bukan ada duit sangat.

"Memang daripada kecil minat membaca sampai sanggup jalan kaki pergi perpustakaan kampung yang jauh-jauh," katanya kepada Majoriti.

Bermula dengan menjual koleksi peribadinya, Abdul Halim mendapat ilham untuk membuka perniagaan buku terpakai secara kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.

WhatsApp Image 2025-01-07 at 15.01.51

Buku terpakai yang selalunya akan dibeli daripada kedai buku lain.

Abdul Halim berkata, kejayaan awal tidak hadir tanpa cabaran.

Pernah membuka kedai buku fizikal di Shah Alam, Selangor tetapi terpaksa mengundurkan diri dek tidak dapat menanggung kerugian yang besar.

Demi meneruskan hidup dan menyara keluarga, dia bekerja di sebuah kilang Jepun untuk menguruskan logistik dan kitar semula barang terpakai.

Ironinya, pengalaman itu mengingatkannya kepada kepentingan memberi 'kehidupan kedua' kepada buku-buku lama.

"Semasa saya jaga logistik, saya suka jaga barang-barang yang tak boleh dijual. Barang yang kitar semula.

"Jadi tiba-tiba minat juga kepada buku terpakai dan itu titik mula saya jual buku terpakai di platform e-dagang iaitu eBay.

"Kalau ada kedai-kedai buku yang dah tutup, saya tawar untuk beli buku mereka," katanya.

Ujarnya, melihat kegagalan peniaga buku tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.

"Orang kata, kena belajar daripada orang berjaya.

"Tetapi, saya juga terfikir kita kena belajar juga orang tak berjaya.

"Sebab banyak dia cakap itu betul, tetapi dia tak mampu nak buat. Jadi, kita yang masih mampu ini perlu teruskan," ceritanya.

WhatsApp Image 2025-01-07 at 15.05.49

Antara buku terpakai yang paling mahal pernah dijualnya setakat ini.

Walaupun masih bertahan dengan kedai buku kecil di Hentian Kajang, Selangor, dapat meneruskan legasi buku terpakai dalam kalangan masyarakat menjadi kepuasan buat dirinya.

Menurutnya, menjual buku terpakai bukanlah sekadar mengaut keuntungan, tetapi melihat pelbagai keistimewaan yang mungkin tidak dimiliki orang lain.

Antaranya adalah kebolehan menemui buku-buku 'rare' atau jarang ditemui seperti manuskrip lama serta bersejarah yang mempunyai nilai tinggi.

Walaupun tidak fokus kepada pasaran eksklusif, buku-buku itu menjadikan Abdul Halim rujukan penting bagi pengumpul dan penjual lain.

"Saya pernah jumpa buku daripada tokoh terkenal seperti ahli politik dan daripada pejabat-pejabat menteri.

"Antara buku paling lama dan saya jual dengan harga RM700 adalah The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of the 'Aqa'id of Al-Nasafi," jelasnya.

Bukan sekadar seorang penjual buku terpakai, Abdul Halim menjadi simbol ketabahan, inovasi, dan minat yang mendalam terhadap dunia literasi.

Dengan wawasan yang tinggi, Abdul Halim berazam untuk terus mengangkat industri buku terpakai ke tahap yang dihormati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram