MOT cadang tarif elektrik khas untuk sektor pengangkutan awam


  • Primer
  • Selasa, 07 Jan 2025

Pengusaha seperti MRT, LRT dan Prasarana membelanjakan 30 hingga 35 peratus kos operasi mereka.

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) mencadangkan tarif elektrik khas bagi sektor pengangkutan awam bagi mengurangkan beban kewangan pengusaha.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, caj elektrik semasa bagi pengusaha adalah sama seperti syarikat perniagaan biasa, yang menyebabkan cabaran kewangan kepada sektor tersebut.

Menurutnya, kadar khas bagi tenaga elektrik untuk pengangkutan awam merupakan antara hal yang sering diperjuangkan di Kementerian Pengangkutan.

BACA LAGI: Kesediaan Malaysia hadapi perubahan ke arah penggunaan motosikal elektrik

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan bergurau, remaja tergamam lihat rakan maut terkena renjatan elektrik di Indonesia

"Kita sedang melihat tarif khas untuk para pengusaha, awam dan swasta, untuk menggalakkan pertumbuhan pengangkutan awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam suatu forum pada Hari Korporat Malaysia Tahunan Antarabangsa CGS ke-17 yang dipengerusikan Pengarah Bebas CGS International Securities Malaysia, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.

Anthony dalam pada itu turut menekankan, caj semasa adalah tinggi dan tarif khas yang dicadangkan boleh meringankan beban kewangan ditanggung pengusaha secara ketara.

"Pengusaha seperti Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Prasarana membelanjakan 30 hingga 35 peratus kos operasi mereka untuk elektrik manakala Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan 35 kos operasi susulan sistem tarif sedia ada," jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram