SEORANG lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang makan tengah hari bersama rakan-rakannya di restoran sekitar Jalan Setia 3/2, Taman Setia Indah, Johor Bahru pada Rabu.
Berdasarkan kenyataan diberikan saksi, mangsa bersama beberapa orang lain sedang berada di kedai makan tersebut pada kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum ditembak individu tidak dikenali.
Pekerja bengkel yang enggan dikenali berkata, dia mendengar tiga bunyi tembakan sebelum motosikal meninggalkan lokasi kejadian.
BACA LAGI: Serangan jantung punca pemandu lori rempuh 4 kenderaan di Johor
BACA LAGI: Pelajar warga China di Singapura tak mengaku culik remaja 15 tahun di Johor Bahru
"Kami kemudiannya ternampak seorang lelaki terbaring di atas lantai di hadapan restoran," katanya sambil menjelaskan mereka pada awalnya beranggapan terdapat individu yang membakar bunga api.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan insiden tersebut yang melibatkan mangsa berusia 40 tahun.
"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa maut. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek, saksi kejadian dan motif kejadian.
"Polis juga sedang menunggu keputusan bedah siasat. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video kejadian dalam media sosial bagi mengelak spekulasi dan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya.
Insiden itu mencuri perhatian selepas sebuah video berdurasi 11 saat dimuat naik di media sosial memaparkan mangsa ditutup kain putih dan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makan. — The Star/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram