POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang doktor yang memaklumkan menerima bayi daripada pengasuh sebuah taska pada pukul 3.29 petang pada Jumaat lalu.
Katanya, doktor berkenaan melaporkan bayi itu dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir serta kaki, tiada nadi, pernafasan serta gerakan anak mata.
BACA LAGI: Dua pengunjung Pinkfish disyaki ambil ekstasi stabil, masih terima rawatan di PPUM — Polis
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut ditembak ketika makan di Johor Bahru, polis siasat motif kejadian
“Pengadu kemudian melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk membawa bayi itu ke hospital.
“Pihak hospital yang kemudian menerima bayi itu sekitar pukul 4.35 petang juga melakukan CPR selama lebih 30 minit, namun tiada tindak balas dan doktor mengesahkan bayi lelaki itu meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian.
“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Akmalrizal berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pekerja dan pengusaha taska berkenaan selain menjelaskan siasatan mendapati premis berkenaan dalam permohonan untuk mendapatkan lesen.
“Kita akan lengkapkan siasatan dan merujuk perkara ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
“Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di 03-31872222,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram