[VIDEO] 'Tinggal dalam bilik sampai tak bernafas', ibu pilu bawa pulang anak 4 bulan sudah tak bernyawa dari taska di Saujana Putra


  • Tular
  • Rabu, 08 Jan 2025

Suasan pilu ketika pengebumian bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas pulang dari taska di Saujana Putra, Jenjarom, Selangor. — Twitter

PILU hati seorang ibu apabila membawa pulang anak lelakinya yang baru berusia empat bulan dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah taska di Saujana Putra, Jenjarom, Selangor pada Jumaat minggu lepas.

Menerusi perkongsiannya dengan akaun Instagram @yyunirahman baru-baru ini, bayinya yang dikenali sebagai Handzalah meninggal dunia tanpa diberitahu sebab atau punca secara terperinci oleh pihak taska.

Dakwanya, berlaku kecuaian dan pengabaian daripada pihak taska sehingga menyebabkan kematian anak kecilnya itu.

BACA LAGI: Terbabas langgar lembu tengah malam, tukang masak maut tak sempat pulang rumah di Tampin

BACA LAGI: 'Kami macam ibu bapa mereka', warden Rumah Aman belajar selami kehidupan kanak-kanak tiada keluarga

Dia turut mendakwa bahawa taska terbabit tidak mengambil sebarang tindakan lanjut atau bertanggungjawab selepas kejadian tersebut.

"Terima kasih buat semua pihak taska, saya mula 2025 dengan kehilangan satu nyawa dalam keluarga kecil kami.

"Kami berdua anak yatim piatu, yang ada cuma anak-anak kami. Tapi cikgu dah ambil hak itu. Dunia akhirat saya takkan maafkan.

"Anak saya tak bernafas cikgu boleh cakap tak tahu. Cikgu pengurus taska boleh ke hulu ke hilir. Tetapi datang lambat, balik awal, jadi siapa yang jaga 25 anak-anak? Dua cikgu jaga 25 anak?" dakwanya.

Dia turut mendakwa bahawa punca kematian anaknya hanya dimaklumkan sebagai Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).

"Kalau sebab kematian SIDS sekalipun, masih boleh dicegah kalau ada orang jaga sepanjang masa.

"Cikgu tinggal dalam bilik dan tahu tak berapa lama? Sampai anak saya susah nak bernafas? Sampai terbuang air besar sebab sakit?

"Akhirnya, saya tukar lampin semasa dia hidup sebelum saya hantar pergi taska pukul 9 pagi. Lapan jam kemudian, saya kena tukar lampin dia dalam keadaan sudah meninggal," luahnya.

Pengguna tersebut bagaimanapun dikatakan sudah membuat laporan polis dan kes masih dalam siasatan.

Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan taska mahu pun pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram