[VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Ketagih rokok, vape, lemah iman


  • Massa
  • Isnin, 16 Dis 2024

Dalam proses mengeluarkan fatwa berhubung pengharaman rokok dan vape, jawatankuasa fatwa tidak hanya bergantung kepada teks agama atau nas syarak semata-mata, malah memerlukan sokongan data saintifik.

PERBINCANGAN berkaitan merokok dan vape mungkin topik membosankan, namun jangan pandang ringan. Pada 2022 Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis membuat keputusan tabiat ini haram termasuk pada tahun ini beberapa negeri juga mengikut langkah negeri Indera Kayangan.

Pernahkah kita terfikir apa akan jadi jika semua negeri mengikut langkah sama yang diambil oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan penggunaan vape? Bagaimana pula pandangan dari sisi agama? Adakah ia menggambarkan ‘kaki vape dan rokok’ ini sebagai golongan yang lemah iman atau sebenarnya mereka adalah golongan yang sedang ‘bertempur’ di medan perang hawa nafsu?

Dalam Islam, prinsip 'La Darar Wa La Dirar' menolak perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain, menjadikan isu ini relevan untuk diteroka dari sudut syarak.

BACA LAGI: [VIDEO] Hilang lebih seminggu lepas jumpa lelaki baru dikenali, wanita ditemukan mereput dalam longkang di Sarawak

BACA LAGI: 'Sekurang-kurangnya kena ada bakat', pelajar perlu lepas 'audition' untuk belajar muzik di UiTM

WhatsApp Image 2024-12-16 at 4.24.49 PM

Dr Mohammad Nidzam menyokong fatwa pengharaman vape, namun beliau berpendapat bahawa fatwa tersebut perlu diberi ruang kelonggaran.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ustaz Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, hukum rokok dan vape mengalami perubahan dari sudut pandangan ulama dan fatwa dengan kebanyakan fatwa terkini lebih menjurus kepada pengharaman.

"Penggunaan rokok ini, kalau kita lihat kepada pandangan lama atau pandangan turas, ia lebih kepada harus tetapi makruh. Ada pun pandangan-pandangan terkini kebanyakannya menjurus kepada tegahan dan juga haram.

"Manakala vape pula adalah benda yang baru sebenarnya dan kalau kita merujuk kepada fatwa rasmi, kebanyakannya menjurus kepada keharaman penggunaan vape itu sendiri," jelasnya kepada Majoriti.

Tambahnya, dalam proses mengeluarkan fatwa berhubung pengharaman rokok dan vape, jawatankuasa fatwa tidak hanya bergantung kepada teks agama atau nas syarak semata-mata. Walaupun terdapat prinsip umum dalam Islam yang menolak kemudaratan, isu ini memerlukan sokongan bukti saintifik untuk memastikan kesahihan mudarat yang dikaitkan dengannya.

Hal ini berbeza dengan perkara seperti arak, yang hukumnya jelas dalam nas, manakala rokok dan vape tidak memiliki rujukan langsung dalam teks agama.

Kajian saintifik membuktikan kesan buruk rokok terhadap paru-paru, selain kemudaratan vape yang juga telah didokumentasikan secara eksperimen. Data kesihatan ini digunakan oleh jawatankuasa fatwa untuk memberikan pandangan yang lebih tegas, selaras dengan kaedah Islam yang menolak bahaya kepada individu dan masyarakat.

"Kebiasaannya para ulama tidak bergantung pada teks agama atau nas syarak semata-mata kerana nas syarak itu jelas bahawa tidak ada kemudaratan di dalam Islam.

"Jadi di situlah perlu ada data-data sokongan misalnya dari sudut kesihatan dan dari situ jugalah jawatankuasa fatwa dapat membuat keputusan terkini tentang keharaman rokok dan vape," katanya.

Pendekatan tersebut menunjukkan proses pengeluaran fatwa adalah dinamik dan tidak terhad kepada teks agama semata-mata. Sebaliknya, ulama turut mengambil kira maklumat moden seperti hasil kajian perubatan untuk membuat keputusan yang lebih relevan dengan isu semasa.

Satu mujahadah

Kata Dr Mohammad Nidzam, ketagihan terhadap rokok dan vape tidaklah disifatkan sebagai lemah iman, namun ia adalah ujian yang memerlukan mujahadah atau perjuangan untuk mengatasinya.

“Mereka yang berusaha mengurangkan ketagihan seperti mengurangkan jumlah rokok atau vape sehari dianggap sedang bermujahadah, dan usaha ini boleh mendatangkan pahala, insyaALLAH," ujarnya.

Dalam Islam, prinsip 'La Darar Wa La Dirar' yang bermaksud "tidak memberi mudarat kepada diri sendiri dan orang lain" menjadi pegangan dalam menangani isu merokok dan penggunaan vape.

Tegas Dr Mohammad Nidzam, walaupun seseorang itu berhak memilih apa yang mereka lakukan dengan tubuh badan mereka, tidak seharusnya membahayakan orang lain di sekeliling mereka, terutamanya dalam kes perokok pasif.

"Dalam Islam kita tidak seharusnya melakukan perkara yang memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain. Misalnya, seorang ayah merancang untuk berhenti menghisap rokok tetapi sukar nak berhenti.

"Jadi, dia perlu memikirkan kenapa dia nak memudaratkan anak-anaknya pula yang tersedut asap itu tadi?" katanya.

Tidak terlalu menghukum

Menurutnya lagi, fatwa yang mengharamkan vape adalah langkah yang baik, namun beliau berpendapat bahawa fatwa tersebut perlu memberi ruang kelonggaran. Beliau mencadangkan penggunaan istilah “sesuatu yang dilarang” tanpa menyatakan ia haram sepenuhnya, bagi mengelakkan implikasi agama yang berat terhadap masyarakat yang terlibat.

Beliau menegaskan, jika vape difatwakan haram sepenuhnya di semua negeri, ia akan menyebabkan majoriti pengguna vape dikategorikan sebagai berdosa tanpa alternatif untuk memperbaiki keadaan mereka.

Cadangan itu bertujuan memberi peluang kepada pengguna untuk mencari jalan keluar secara berperingkat, sambil mengurangkan ketergantungan mereka terhadap vape dengan cara yang tidak terlalu menghukum.

"Saya ingat bagus kalau kita fatwakan haram tetapi mungkin perlu ada kelonggaran juga iaitu kita fatwakan ia sebagai sesuatu yang dilarang tanpa menyatakan hukum haram. Kerana apa? Kalaulah semua negeri sepakat menyatakan haram, maknanya mereka yang terlibat dalam tabiat ini adalah berdosa, maksudnya tidak ada jalan keluar," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ketagihan ini perlu diuruskan dengan sokongan komuniti dan bimbingan ke arah aktiviti yang lebih bermanfaat.

“Sebagai alternatif, umat Islam perlu menggantikan amalan negatif ini dengan sesuatu yang membawa kebaikan seperti memperbanyakkan masa bersama keluarga atau menyertai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

PIHvape071123 ZN12

Masyarakat sebaiknya tidak terlibat dalam aktiviti perniagaan rokok dan vape kerana ia tidak dapat menghalalkan perbuatan yang membawa mudarat kepada orang lain. — Gambar hiasan

Keberkatan rezeki

Dalam konteks perbelanjaan wang, ia jelas tidak memberi manfaat selain mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Namun, dari sisi penjual, ia seeloknya dielakkan berikutan beberapa negeri telah difatwakan haram.

"Sebaik-baiknya kita tidak terlibat dengan aktiviti perniagaan yang sebegini kerana satunya, fatwa itu sendiri dah ada beberapa negeri yang menyatakan haram dan kedua, kita menyumbang perkara yang mudarat kepada masyarakat.

"Ya kita nampak keuntungan dunia dari sudut nilai wang tetapi ia tidak dapat menghalalkan perbuatan yang membawa mudarat kepada masyarakat," katanya.

Dr Mohammad Nidzam menegaskan, pentingnya umat Islam menjaga kesihatan sebagai sebahagian daripada amanah sebagai hamba ALLAH.

“ALLAH melarang kita mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Orang beriman yang kuat lebih dikasihi ALLAH berbanding yang lemah. Maka, menjaga kesihatan adalah tanggungjawab agama yang tidak boleh diabaikan,” katanya.

Ketagihan rokok dan vape adalah satu cabaran besar kepada individu dan masyarakat, tetapi usaha berterusan untuk mengurangkan atau menghentikan amalan ini adalah satu bentuk jihad peribadi yang perlu dipandang serius.

Di sebalik cabaran ini, umat Islam digalakkan menggantikan tabiat negatif ini dengan amalan yang lebih bermanfaat, sekaligus mematuhi tanggungjawab menjaga kesihatan sebagai amanah daripada ALLAH. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram