Jual sambil bantu, pengasas Mobile Book Cafe nekad lancar trak buku bergerak di sebalik 'amukan' dunia digital


  • Massa
  • Isnin, 06 Jan 2025

Muhammad (kiri) yang mula menjalankan perniagaan buku bergerak menggunakan trak di Malaysia. — MBC

DUNIA buku bukanlah sekadar hobi atau minat secara pribadi, tetapi ia menjadi perjalanan hidup yang penuh makna buat Muhammad Ali.

Muhammad, pengasas kedai buku Mobile Book Cafe (MBC) di Kajang, Selangor itu memutuskan untuk mencuba sesuatu yang berbeza apabila mula melancarkan kedai buku bergerak pada 2013 sebelum menukar strateginya selepas pandemik Covid-19.

Mula menjual buku selepas bersara daripada pekerjaaannya sebagai penjawat awam, Muhammad berkata, trak buku bergerak merupakan konsep pertama yang diperkenalkan di Malaysia pada waktu itu.

BACA LAGI: Ahli Parlimen Sibu salur buku di 60 sekolah galak murid membaca, tambah koleksi perpustakaan

BACA LAGI: 'Generasi sekarang perlu dibasuh', pasangan suami isteri didik anak seawal 4 tahun gali ilmu di pameran buku

img_4886

Trak jualan yang digunakan untuk menjual buku di serata tempat. — MBC

Keputusan itu dibuat selepas terinspirasi oleh model Penguin Books di Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan trak untuk menjual buku di seluruh negara.

"Saya nampak potensi yang sama di Malaysia dan berbulan-bulan mencuba akhirnya saya mendapat kelulusan untuk memulakan operasi trak jualan ini.

"Trak MBC bukan sekadar menjual buku, tetapi turut berfungsi sebagai pusat aktiviti pendidikan.

"Kami selalunya akan bawa penulis, pelukis dan maskot untuk mengadakan aktiviti menarik di sekolah-sekolah seluruh Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Katanya, era sebelum pandemik, MBC sememangnya mendapat sambutan hangat sehingga dapat menggunakan lebih enam trak ke sekolah dari Perlis hingga ke Johor untuk mempromosikan buku serta aktiviti seni.

Muhammad pada masa sama menjelaskan bahawa niatnya adalah bagi memupuk minat membaca khususnya buat golongan pelajar sekolah.

6327778427209367981

Buku dijual menggunakan trak hijau di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. — MBC

Dia bagaimanapun tidak menafikan bahawa ia bukan perjalanan yang mudah untuk diteruskan sehingga ke hari ini.

Meskipun kini operasi MBC tidak lagi menggunakan trak dan hanya melalui pembelian dalam talian dan fizikal, namun ia sudah cukup membuatkan Muhammad bersykur.

"Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terpaksa hentikan operasi dan jual semua trak bersama lebih 10,000 naskhah buku.

"Kemudian, saya cuba jalan lain untuk teruskan perniagaan iaitu dengan menjual buku melalui platform e-dagang seperti Lazada, Shoppee dan sebagainya.

"Pendekatan baharu ini sangat membuahkan hasil yang cukup baik dan saya tak lagi bergantung sepenuhnya pada kedai fizikal," jelasnya.

Berdasarkan pengalaman itu, Muhammad mendapati bahawa masa kini, ramai memilih untuk membeli buku secara dalam talian kerana ia lebih mudah dan pantas.

Katanya, cara tersebut mampu membuatkan MBC menerima lebih 20 pesanan dalam talian dan ketika promosi.

img_5009

Penjualan buku menerusi trak yang dapat diteruskan sehingga sebelum pandemik melanda. — MBC

Angka itu juga boleh mencecah kepada lebih 500 pesanan sehari, lebih-lebih lagi apabila ketika pemberian baucar buku Madani yang memberi peluang kepada pelajar membeli buku dengan harga lebih murah.

"Sebagai contoh, untuk buku yang berharga RM10, saya hanya mendapat keuntungan sebanyak RM1.

"Walaupun keuntungan margin daripada buku kami jual sangat kecil, tetapi kepuasan yang saya rasakan adalah apabila dapat membantu masyarakat, terutamanya pelajar-pelajar di kawasan luar bandar untuk memperoleh buku mereka inginkan," ujarnya.

Bukan itu sahaja, Muhammad juga menjual buku terpakai dek banyak mendapat permintaan, terutamanya dari mereka yang tidak mampu membeli buku baharu.

Muhammad percaya bahawa membeli buku terpakai adalah lebih berpatutan untuk memupuk budaya membaca di samping memberi manfaat kepada semua pihak.

"Kami sekarang juga mengedarkan buku ke sekolah-sekolah yang kurang mampu seperti pelajar di kawasan pedalaman seperti di Papan, Perak untuk tujuan pembelajaran mereka.

"Dengan pengalaman ini juga, saya percaya bahawa pembacaan buku masih relevan di kalangan masyarakat walaupun zaman kini lebih bergantung pada teknologi dan media sosial.

"Oleh itu, saya bertekad untuk terus membantu memupuk minat membaca di kalangan generasi muda, bukan sahaja melalui penjualan buku, tetapi juga melalui pelbagai inisiatif pendidikan lain," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram