PELABUHAN kargo Malaysia berjaya meletakkan penanda aras baharu pada 2024 merekodkan pencapaian baharu terhadap aktivitinya.
Peningkatan prestasi belum pernah berlaku sebelum ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi, tetapi juga mempunyai implikasi ketara untuk pasaran hartanah, sekali gus memacu pertumbuhan sektor perindustrian, kediaman dan komersial di seluruh negara.
“Secara keseluruhannya, kami menganggarkan pelabuhan kargo Malaysia akan memindahkan kira-kira 778 juta tan barangan menjelang akhir tahun dan memberikan manfaat ekonomi bernilai RM657 bilion,” kata Penganalisis Penilaian Bertauliah dan Ketua Pegawai Eksekutif Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Momentum itu dijangka berterusan sehingga 2025, dengan pengeluaran kargo diunjurkan berkembang sebanyak 3 peratus hingga 5 peratus, dan berpotensi mencecah 817 juta tan serta memberikan hasil ekonomi RM690 bilion.
Sebagai negara yang memiliki pelabuhan berdaya saing di persada global, Ahmad menegaskan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menduduki tempat kelima dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena Bank Dunia, mengatasi Singapura yang berada di tempat ke-17.
“Penarafan ini menekankan kemajuan dan kecekapan luar biasa pelabuhan Malaysia,” katanya.
Penganalisis Penilaian Bertauliah dan Ketua Pegawai Eksekutif Irhamy Valuers International, Irhamy Ahmad.
Pada 2024, PTP menjadi pelabuhan Malaysia pertama yang mengendalikan lebih satu juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) dalam tempoh sebulan – menandakan satu peristiwa penting.
Di samping Pelabuhan Klang, yang mencapai jumlah sama, kedua-dua kemudahan terbabit kini berada di kedudukan antara 10 pelabuhan paling sibuk di seluruh dunia, malah mengatasi Rotterdam yang merupakan pelabuhan paling sibuk di Eropah.
Sebagai perspektif, Ahmad menambah, jumlah TEU yang dipindahkan di PTP dan Pelabuhan Klang setiap cukup banyak sehingga membolehkan ia mengelilingi bumi sebanyak dua kali sekiranya disusun merentang sepanjang garisan khatulistiwa.
“Hanya kira-kira 25 tahun lalu lebih separuh daripada kargo Malaysia dieksport ke dunia melalui Pelabuhan Singapura dan bukannya pelabuhan di Malaysia.
"Itu tidak lagi berlaku,” katanya sambil menegaskan bahawa hari ini, pelabuhan Malaysia beroperasi secara mandiri sepenuhnya dan berdaya saing di peringkat global.
Memacu permintaan hartanah
Pelabuhan merupakan antara aktiviti perdagangan penting kepada kejayaan ekonomi Malaysia khususnya dalam memudahkan pergerakan lebih 90 peratus daripada eksportnya.
Pergantungan kepada perdagangan maritim itu bermakna operasi pelabuhan, perkapalan dan pengangkutan marin menyumbang 40 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara, bersamaan dengan RM657 billion.
Pelabuhan Malaysia juga berfungsi sebagai hab pemindahan kapal, pengendalian kargo ditujukan ke negara lain dan menjana aliran pendapatan tambahan.
Peranan pemindahan kapal ini menarik pelaburan dalam pembuatan, logistik dan Zon Perdagangan Bebas (FTZ), yang mana barangan boleh diproses, dipasang atau dibungkus dengan kawal selia minimum.
Ahmad berkata, kewujudan hab logistik bukan sahaja meningkatkan ekonomi negara, tetapi juga memberi peluang kepada industri sampingan untuk berkembang maju.
Aktiviti ekonomi tersebut memberi impak langsung kepada permintaan hartanah, terutamanya hartanah perindustrian.
Keperluan untuk pergudangan, pusat pengedaran dan kemudahan storan sejuk berhampiran pelabuhan utama merekodkan lonjakan apabila jumlah dagangan meningkat.
Ini dibuktikan apabila permintaan lebih tinggi untuk hartanah perindustrian berhampiran pelabuhan utama seperti PTP dan Pelabuhan Klang yang mengalami pertumbuhan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Aktiviti ekonomi di pelabuhan tersebut memberi impak langsung kepada permintaan hartanah, terutamanya hartanah perindustrian. — Gambar hiasan
Sebagai contoh, harga tanah di Taman Sedenak Tech Johor yang terletak kira-kira 50 minit dari PTP meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh dua tahun, naik daripada RM40 setiap kaki persegi kepada RM80 setiap kaki persegi.
Trend ini dijangka berterusan apabila aktiviti pelabuhan terus berkembang, dengan pemaju akan bertindak pantas memenuhi permintaan untuk menyediakan ruang industri.
“Taman industri, hab logistik dan kemudahan gudang adalah tulang belakang ekonomi yang bergantung kepada perdagangan negara dan nilainya secara intrinsik terikat dengan prestasi pelabuhan kita,” kata Ahmad.
Pelabuhan yang lebih kecil juga menyumbang kepada ledakan hartanah setempat.
Walaupun mereka mengendalikan lebih sedikit kargo daripada pelabuhan yang lebih besar, pengembangan mereka mewujudkan peluang yang berkadar di wilayah mereka, memacu permintaan untuk hartanah perindustrian dan komersial.
Pertumbuhan kediaman
Impak aktiviti pelabuhan juga melangkaui hartanah perindustrian kerana ia memberi kesan ketara kepada pasaran hartanah kediaman dan komersial.
Peningkatan aktiviti di sekitar pelabuhan utama memacu penciptaan pekerjaan, terutamanya dalam logistik, perkapalan dan industri berkaitan.
Pertumbuhan pekerjaan ini menyemarakkan permintaan terhadap perumahan kelas pertengahan di bandar pelabuhan, kerana pekerja mencari penginapan berhampiran tempat kerja mereka.
Ruang runcit juga mendapat manfaat, kerana populasi yang semakin meningkat di kawasan terbabit mewujudkan peluang baharu perniagaan.
Pusat beli-belah, pasar raya dan tempat hiburan juga akan menerima tahap permintaan serupa untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang sedang berkembang di sekitar pelabuhan.
"Kesan limpahan pembesaran pelabuhan mengubah seluruh wilayah.
“Selangor, Johor dan Pulau Pinang – rumah kepada pelabuhan terbesar di Malaysia – bersedia untuk melihat manfaat terbesar, tetapi bandar pelabuhan yang lebih kecil juga mengalami kesan limpahan,” kata Ahmad.
Pelabuhan Malaysia adalah antara yang paling terhubung di dunia, menduduki tempat kelima di peringkat global dalam ketersambungan, hanya di belakang Amerika Syarikat.
Kesalinghubungan ini meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rangkaian perdagangan global.
Bagaimanapun, terdapat cabaran yang turut perlu dihadapi.
Ketiadaan terminal pelayaran yang mampu menampung kapal persiaran besar adalah menjadi satu batas yang menghadkan potensinya.
Walaupun pelabuhan kargo berkembang maju, ketiadaan infrastruktur sedemikian menghalang Malaysia daripada memanfaatkan sepenuhnya potensi pelancongan maritim, yang boleh menjana faedah ekonomi tambahan.
Selain itu, apabila jumlah perdagangan berkembang, pelabuhan mesti terus melabur dalam teknologi dan infrastruktur untuk mengekalkan kecekapan dan mengendalikan permintaan yang semakin meningkat.
PTP menduduki tempat kelima dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena Bank Dunia, mengatasi Singapura yang berada di tempat ke-17. — Agensi
Masa depan yang cerah
Perkembangan pesat aktiviti berkaitan pelabuhan memberikan peluang untuk pembangunan mapan.
Pemaju dan penggubal dasar sedang meneroka cara untuk menggabungkan amalan bangunan hijau ke dalam projek perindustrian dan kediaman berhampiran pelabuhan.
"Ini adalah peluang untuk menyelaraskan pertumbuhan dengan kemapanan.
"Dengan mengguna pakai reka bentuk cekap tenaga dan kaedah pembinaan mesra alam, kami dapat memastikan bahawa faedah ekonomi pembesaran pelabuhan adalah lebih lestari dan bertanggungjawab," ujar Ahmad.
Pelabuhan kargo telah menjadi asas kepada ekonomi negara, memacu pertumbuhan merentasi pelbagai sektor.
Pengaruh mereka terhadap pasaran hartanah tidak dapat dinafikan, dengan pembangunan perindustrian, kediaman dan komersial berkembang pesat seiring dengan perluasan pelabuhan.
Ujar Ahmad, pelabuhan juga berfungsi lebih daripada hab logistik dengan ia turut menjadi kuasa ekonomi yang memacu pertumbuhan hartanah dan pembangunan wilayah.
Dengan negara mula memasuki 2025 dan tahun-tahun seterusnya, sinergi antara perdagangan maritim dan hartanah menjanjikan untuk membentuk semula landskap ekonomi dan fizikal Malaysia, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju logistik global. — The Star/JOSEPH WONG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram