Hantar barang guna LRT, Diolko makin berkembang di Lembah Klang


  • Bizz
  • Selasa, 07 Jan 2025

Barangan diambil dari gudang melalui van elektrik dan dibawa ke hab Diolko di stesen Putra Heights, yang mana ia disusun dan diletakkan di dalam troli proprietari syarikat direka khas untuk kegunaan pengangkutan awam.

SABAN hari sebuah gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) akan memulakan perjalanan dari platform Stesen Putra Heights Putra Heights, Selangor, merentasi Lembah Klang.

Bezanya, gerabak itu bukan sahaja sesak dengan jumlah penumpang yang selesa menaiki pengangkutan awam tersebut ketika waktu puncak, bahkan ia turut dipenuhi troli besar berisi bungkusan pelbagai saiz.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Sebaik sahaja tiba di stesen ditetapkan, barangan di dalam troli dipunggah keluar lalu diserahkan kepada pemandu yang akan menghantarnya ke lokasi-lokasi menggunakan motosikal atau van elektrik.

Perkhidmatan itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian penghantaran barangan jarak jauh diperkenalkan oleh Diolko, sebuah syarikat yang bermatlamat mengubah pengangkutan barangan di dalam bandar dengan memanfaatkan rangkaian pengangkutan awam dan kenderaan elektrik (EV) sedia ada.

Pertama seumpamanya di Asia Tenggara, sistem penghantaran hujung ke hujung berkenaan dibangunkan bagi menyediakan penyelesaian logistik bandar lebih cekap dan mapan untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon.

“Apa membezakan Diolko adalah pendekatan yang diambil. Kami melaksanakan inovasi dengan mengoptimumkan aset sedia ada di bandar seperti sistem pengangkutan awam untuk kecekapan dan impak lebih besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Bersama Diolko, Yoann Gueguen.

Idea untuk penyelesaian rintis itu tercetus apabila Yoann dan Pengasas Bersama, Onno Pfeiffer melihat keperluan menangani cabaran dalam industri masing-masing melalui kerjasama strategik.

YB Tuan Anthony Loke, Minister of TransportationOnno Pfeiffer (second from left), and Mohd Azharuddin Mat Sah, President & Group Chief Executive Officer of Prasarana (right) recently visited Diolko's hub.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (dua dari kiri) bersama Onno dan Presiden Prasarana merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mohd Azharuddin Mat Sah (kanan) ketika melawat hab Diolko.

“Yoann berasal daripada sektor pengangkutan awam yang mana terdapat banyak kapasiti. Walaupun kereta api sesak pada waktu puncak, namun luar waktu puncak permintaannya berkurangan,” jelas Onno yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi Diolko.

“Saya pula berasal daripada industri logistik yang mempunyai kekurangan kapasiti. Justeru, kami berpendapat, mengapa tidak menggunakan pengangkutan awam yang sudah bergerak di sekitar kawasan bandar, dan memanfaatkannya menyelesaikan masalah logistik?"

Sehubungan itu, hasil kerjasama berkenaan mewujudkan model penghantaran menggabungkan teknologi hab maya dan EV untuk memudahkan pengangkutan bungkusan berskala besar, sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Barangan diambil dari gudang melalui van elektrik dan dibawa ke hab Diolko di Stesen Putra Heights. Ia disusun dan diletakkan di dalam troli proprietari syarikat yang direka khas untuk kegunaan pengangkutan awam.

Pada waktu malam, kereta api khusus akan membawa barangan tersebut ke stesen paling hampir dengan destinasi akhir bungkusan.

Kemudian pada waktu pagi, bungkusan terbabit dihantar kepada penerima pesanan menggunakan EV.

Pada Julai 2024, Diolko bekerjasama dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan program rintis, LRT Parcel Project.

Berlangsung sehingga Januari 2025, inisiatif tersebut mengintegrasikan rangkaian rel Kuala Lumpur yang pantas, menggunakan stesen utama di sepanjang LRT Laluan Sri Petaling dan LRT Laluan Kelana Jaya.

Sejak pelancaran program itu, perkhidmatan terbabit dilaporkan mencapai pengurangan 70 peratus dalam pelepasan karbon.

Ia beroperasi pada kapasiti 2,500 bungkusan sebulan, dengan rancangan untuk mencapai 75,000 bungkusan setiap bulan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Onno berkata, pemilihan Malaysia sebagai tempat untuk pelancaran Diolko kerana permintaan e-Dagang yang kukuh dan infrastruktur rel bandarnya luas serta mampu menyokong penyelesaian itu.

"Kami juga memerlukan tempat yang mempunyai keterbukaan untuk berinovasi dan berubah. Malaysia memenuhi kesemua kriteria itu," jelasnya.

Rancangan sedia ada kini adalah untuk mengembangkan operasi Diolko kepada 15 stesen di seluruh Lembah Klang.

Untuk bergerak lebih jauh, syarikat itu sedang meneroka bagi membolehkannya meniru model berkenaan di bandar-bandar lain di Malaysia dan di negara Asia Tenggara lain.

“Buat masa ini, kami memberi tumpuan mengembangkan konsep di Lembah Klang dan mendapatkan lebih ramai pelanggan,” kata Onno.

Menurutnya, ketika ini pelanggan syarikat terbabit terdiri daripada pelbagai sektor seperti e-Dagang, runcit dan logistik.

"Mereka mempunyai keperluan berbeza, tetapi persamaannya mengutamakan penyelesaian lestari, perkhidmatan berkualiti, kebolehpercayaan dan ketelusan data yang mana semuanya kami mampu sediakan," ujarnya lanjut.

1729735566336

Diolko menggunakan motosikal elektrik untuk menghantar barangan kepada pengguna. — Diolko

Onno menegaskan bahawa penyelesaian berasaskan rel ditawarkan Diolko membolehkannya memenuhi keperluan pelbagai pelanggan termasuk aspek logistik terbalik atau reverse logistic.

"Uniknya tentang kereta api ia bergerak dari kedua-dua arah, jadi kami dapat mengoptimumkan penggunaannya," jelasnya.

Bagaimanapun, inisiatif melaksanakan inovasi konsep berbeza memberikan cabaran tersendiri buat Diolko.

Menurut Onno, bentuk troli digunakan pada masa ini perlu direka dari mula kerana tiada perkakasan tersedia untuk membawa barangan di atas kereta api ringan.

"Kami mencipta enam generasi troli, dan ia perlu mendapat kelulusan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Adalah sangat penting memastikan kemudahan ini digunakan dengan selamat di pengangkutan awam dan tidak akan bergerak atau menyebabkan sebarang kerosakan," katanya.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga perlu membangunkan perisian logistik sendiri kerana tiada pilihan perisian lain mengambil kira operasi berasaskan pengangkutan awam.

Satu lagi aspek penting dalam proses itu adalah menerusi kerjasama dengan Prasarana demi memastikan operasi berjalan lancar.

"Kami bersama-sama melakukan beberapa ujian dan menentukan prosedur operasi standard dengan pihak Prasana.

"Keutamaan pihak Prasana adalah penumpang. Jadi salah satu prinsip utama kami adalah memastikan tidak menjejaskan kerja mereka atau perjalanan penumpang," ujarnya.

Mengimbas perjalanan Diolko, Onno berkata, sokongan daripada Prasarana dan Kementerian Pengangkutan merupakan aspek penting dalam menjayakan perkhidmatan tersebut.

Selain itu, sambutan daripada pelanggan di pasaran juga amat menggalakkan.

"Menariknya, kini kami mempunyai pembuktian konsep, memenuhi KPI (petunjuk indeks prestasi) tanpa berlakunya sebarang insiden, kelewatan atau aduan.

"Ia meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk meyakinkan pengendali lain kerana kami mempunyai kes ujian sebenar yang boleh dilihat dan terbukti," jelasnya lagi. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram