SEORANG wanita memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki gitar berharga yang hilang dipercayai dicuri di rumahnya di Benut, Pontian, Johor baru-baru ini.
Menerusi hantaran pengguna akaun Facebook Noah Rohani, gitar tersebut merupakan milik arwah suaminya yang sering digunakan untuk menghiburkan anaknya.
"Aku beli balik dengan harga lebih daripada pencuri itu jual. Aku takkan tanya dia beli dengan siapa, aku tak nak tahu pun siapa yang jual.
"Aku tak nak buat apa-apa pun, sumpah tak marah, cuma nak gitar itu je.
"Gitar ni gitar kesayangan arwah suami aku dengan anak dia. Setiap hari mainkan gitar untuk anak. Antara memori yang tercipta antara arwah dan anak dia," tulisnya.
Pengguna itu berkata, anaknya kerap menangis apabila menonton video arwah bapanya sedang bermain gitar.
Meskipun ia sekadar gitar, namun kenangan yang tercipta melalui alat muzik itu tidak dapat menandingi kasih sayang antara bapa dan anak.
"Ramai tanya kenapa nak beli gitar ni lepas arwah dah tiada. Tetapi, aku simpan untuk anak-anak dia.
"Kadang-kadang anak saudara kumpul ramai-ramai dan akan main gitar, nyanyi sama-sama. Sangat sentimental gitar ni buat kami," luahnya.
Setakat ini, belum ada maklumat lanjut berhubung kecurian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram