'Generasi sekarang perlu dibasuh', pasangan suami isteri didik anak seawal 4 tahun gali ilmu di pameran buku


  • Massa
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Program buku yang diselitkan dengan aktiviti ringan dapat memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak secara santai.

BAGI pencinta buku, dapat memegang setiap helaian kertas pastinya cukup memberi kegembiraan dan kepuasan selain dapat menimba ilmu pengetahuan.

Begitu juga dengan pensyarah Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Dr Alwi Daud yang merupakan antara pembaca tegar terutamanya buku-buku terpakai.

Berkongsi sedikit tentang pandangannya tentang budaya membaca, Alwi berkata, masyarakat generasi kini masih perlu kerap mempromosikal budaya keilmuan menerusi pembacaan.

BACA LAGI: Bukan lagi 'gajah putih', sinar baharu Hentian Kajang, kini pusat pertemuan pencinta buku

BACA LAGI: 'Kaji cerita seram sampai buru puntianak', bekas penulis Mastika dedah perjalanan sebagai pencandu buku

6318887277970965153

Alwi yang hadir bersama keluarganya di Hentian Buku Selangor di Hentian Bas Kajang, Selangor pada 21 Disember lalu.

Alwi yang juga merupakan bapa kepada seorang anak berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyokong usaha tersebut.

"Generasi yang ada sekarang ini perlu dibasuh minda mereka supaya tertarik bukan sekadar saja-saja, tetapi menggali lebih banyak ilmu yang ada di dalam buku," katanya.

Kongsinya, budaya membaca harus dipupuk sejak kecil agar dapat menggalakkan lebih ramai anak muda tertarik pada buku khususnya secara fizikal.

"Kalau bukan mereka, siapa lagi yang mahu teruskan. Untuk minat membaca ini, sebenarnya kita kena mulakan dari kecil supaya mereka dah terdedah dengan budaya keilmuan.

"Jadi, aktiviti seperti pameran buku juga antara cabang, ruang atau peluang untuk mereka bermula dari bawah.

"Macam saya pula memang sentiasa bawa anak ke mana-mana acara atau pesta buku supaya dia tahu bagaimana dunia dan alam buku ini.

"Kadang-kadang program ini ada selingan seperti aktiviti untuk kanak-kanak bermain," katanya kepada Majoriti.

6318887277970965154

Anak perempuan Alwi (kiri) yang sedang bermain permainan tradisional sambil membaca buku kanak-kanak.

Alwi juga berkata, dia dan isterinya sememangnya mendedahkan anak perempuannya yang berusia 4 tahun untuk melibatkan diri dalam pelbagai program buku.

Sebagai seorang pemerhati, Alwi turut mencadangkan agar program buku seperti Hentian Buku Selangor di Hentian Bas Kajang, Selangor untuk diperluas dan diperkembangkan menerusi media massa.

Menurutnya, langkah tersebut dapat menarik lebih ramai pengunjung serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya budaya membaca.

Dalam era digital ini, Alwi mengakui bahawa masyarakat kini juga semakin cenderung kepada bahan bacaan dalam bentuk maya.

Namun, baginya, memegang buku secara fizikal adalah dapat memberikan pengalaman bermakna buat pembaca.

"Memang ada orang yang suka yang bentuk maya. Tapi bagi pembaca yang lama ini lebih suka memegang.

"Kerana semakin kita erat memegang keilmuan, itu lebih mudah. Itu pada pendapat saya," jelasnya.

Katanya, budaya membaca, menurut beliau, bukan sahaja soal minat tetapi juga satu usaha kolektif untuk menghidupkan kembali nilai-nilai keilmuan dalam masyarakat.

"Dengan promosi yang lebih strategik dan sokongan padu daripada pelbagai pihak, diharap usaha tersebut dapat melahirkan generasi yang lebih berminda kritis dan berpengetahuan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram