PADA 2019, Aisyah Jasmee, 34, mengambil keputusan besar meninggalkan pekerjaannya sebagai pembantu pengurus di pusat khidmat komuniti masyarakat bagi menumpukan perhatian terhadap perniagaan makanan dari Jepun, takoyaki yang diusahakan bersama suaminya di sekitar Melaka.
Langkah itu dibuat selepas hampir lima tahun dia menjalankan perniagaan makanan secara sambilan sejak 2014 dengan suaminya, Nurul Faiq Ramli, 36, yang ketika itu berkhidmat sebagai anggota polis.
Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, sebelum mula menjual takoyaki pada 2018, dia dan suaminya terlebih dahulu cuba menjual pelbagai jenis makanan.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
"Waktu mula itu kami cuba macam-macam. Meniaga air balang dekat acara, jual karipap dan burger.
"Kami buat 'trial and error' sampailah akhir sekali kami buat sendiri produk takoyaki sendiri yang berjaya meraih minat ramai orang.
"Lagipun saya dan suami sendiri memang suka takoyaki," katanya kepada Majoriti.
Sejak itu, selain mengadakan jualan, mereka turut membuat keputusan membekalkan tepung goreng hidangan makanan tersebut dengan bermula dari dapur rumah menerusi jenama Takoyaki Jalanan.
Aisyah (kiri) dan Nurul Faiq (dua dari kiri) mula meniaga makanan sejak 2014.
Menurut Aisyah yang juga anak jati Masjid Tanah, Melaka, resipi tepung tersebut berjaya diperoleh selepas beberapa kali percubaan.
Dalam tempoh tiga tahun, perusahaan bekalan tepung takoyaki diusahakan suami isteri itu berkembang dengan pantas sehingga membolehkannya membuka kilang pengeluaran bahan tersebut pada 2020.
Kini, kilang tersebut yang beroperasi menerusi sebuah premis kedai dapat memproses kira-kira 10 hingga 12 tan tepung sebulan selain turut mengeluarkan sos hidangan takoyaki.
Aisyah berkata, penghasilan tepung dari kilangnya pernah mencapai kemuncak mencecah 20 hingga 30 tan sebulan ketika tempoh negara berdepan pandemik.
Dalam pada itu, Takoyaki Jalanan pada waktu ini juga memiliki kira-kira 200 ejen jualan di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Banyak daripada ejen kami berpangkalan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor dan Pahang," kongsinya yang turut memaklumkan suaminya mengambil keputusan untuk berhenti berkhidmat sebagai anggota polis pada 2020 bagi memberikan fokus terhadap perniagaan tersebut.
Tepung dan sos merupakan dua bahan pembuatan takoyaki yang dikeluarkan oleh Takoyaki Jalanan.
Aisyah berkata, sejak dari awal, dia dan suaminya menjalankan perniagaan menggunakan modal sendiri dengan permulaan sekitar RM5,000.
Ujarnya, untuk membuka kilang yang melibatkan kos kira-kira RM50,000, sebahagian daripadanya dikumpul ketika mereka masih memiliki pekerjaan tetap.
Operasi kilang terbabit turut dibantu dengan 11 orang pekerja.
Serap kos kenaikan bahan mentah
Sementara itu, Nurul Faiq berkata, sejak awal ditubuhkan, Takoyaki Jalanan sememangnya mempunyai misi utama iaitu membantu mewujudkan usahawan bumiputera.
Menurutnya, bagaimanapun, sejak tujuh tahun lalu, mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk dalam menangani faktor kenaikan harga bahan mentah yang meningkat dengan agak cepat terutamanya selepas negara berdepan pandemik Covid-19.
Kilang pengeluaran Takoyaki Jalanan di Melaka.
"Tapi dalam tempoh tujuh tahun itu, hanya sekali kami naikkan harga. Sebabnya kami tak mahu bebankan peniaga dan ejen.
"Alhamdulillah kami masih lagi catatkan untung walaupun tak besar," katanya.
Dalam pada itu, Nurul Faiq berkata, dia juga sangat bersyukur apabila dapat membantu melahirkan ramai usahawan dengan ada antara ejennya pernah memperoleh pendapatan mencecah RM10,000 hingga RM15,000.
"Tapi pendapatan itu bergantung kepada tempat. Kalau penduduk di situ tak ramai, mungkin sikit pendapatannya.
"Tapi ejen kami biasanya keuntungan mereka tidak pernah bawah RM3,000," ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Faiq berkata, mereka sentiasa menekankan kualiti produk tepung dihasilkan.
Ujarnya, dia juga menggunakan bahan diimport dari Jepun antaranya dalam pembuatan ramuan tepung dan juga sos digunakan.
"Bagi saya, kalau kita meniaga, makanan yang dijual itu patutnya adalah sama seperti makanan yang kita sendiri makan dekat rumah.
"Jadi itu yang kami terapkan apabila meniaga," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram