Banjir besar, gempa bumi tak jadi penghalang, tukang kemasan kayu terkenal Jepun bangkit bina semula perniagaan


  • Berita
  • Isnin, 06 Jan 2025

Tukang kemasan kayu, Takho Shoji sedang bekerja di studionya, Wajima Kirimoto di bandar Wajima, wilayah Ishikawa. — Agensi

DI Malaysia, banjir merupakan antara bencana yang paling kerap berlaku di dalam negara.

Malah, boleh dikatakan ia sudah seakan-akan menjadi acara tahunan di sesetengah tempat khususnya ketika musim Monsun Timur Laut yang berlaku antara November hingga Mac.

Seperti yang diketahui, kejadian ini bukan sahaja membawa kemusnahan harta benda, malah memberi kesan mendalam terhadap operasi perniagaan di kawasan terjejas.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Ini kerana, ketika berdepan bencana ini, peniaga bukan sahaja kerugian kerana tidak dapat beroperasi, mereka juga lazimnya kehilangan harta benda dan stok barangan.

Situasi itu sekali gus menyukarkan mereka meneruskan perniagaan selepas bencana kembali pulih.

Kos untuk memulakan semula aktiviti perniagaan bukanlah sedikit.

Isu sama turut dihadapi oleh perniagaan industri kemasan kayu di bandar Wajima, Ishikawa, Jepun.

6320904486670945067 (1)

Produk yang dikeluarkan dari Wajima dikenali sebagai Wajima-nuri, dan mangkuk sup biasa dijual pada harga AS$150 atau lebih. — Agensi

Sebuah bandar pesisir pantai dengan populasi lebih daripada 20,000 orang, Wajima terkenal sebagai tempat pengeluar barangan kemasan kayu halus dari Jepun.

Produk yang dibuat di sana dikenali sebagai Wajima-nuri, dan mangkuk sup biasa dihasilkan dijual pada harga AS$150 (RM672) atau lebih.

Namun, pada 2024, ketika kebanyakan keluarga bersiap untuk makan malam Tahun Baharu, gegaran dahsyat 7.5 magnitud diiringi gegaran susulan kuat memusnahkan rumah dan perniagaan.

Kebakaran, tsunami dan tanah runtuh melanda wilayah itu dan memaksa kebanyakan penduduk dan saudara mara mereka yang berada di bandar tersebut untuk lawatan melarikan diri ke pusat perlindungan.

Kemudian, ketika mereka cuba membina semula kehidupan mereka, hujan lebat menyaksikan bandar itu dilanda banjir pada September lalu dan memusnahkan lebih banyak rumah.

Bencana terbabit juga menghancurkan rangkaian kira-kira 700 tukang dan pekerja dalam industri kemasan kayu Wajima, dengan ramai antara mereka kehilangan pekerjaan sama seperti pekerja seni lain.

Kerosakan dialami bandar itu begitu meluas sehingga pegawai perbandaran gagal untuk mengenal pasti jumlah tukang kayu yang masih aktif.

Bagaimanapun, selepas hampir setahun kejadian bencana itu berlaku, tukang kemasan kayu, Takaho Shoji sedang tekun di atas meja kerjanya di bandar tersebut.

Dia ketika itu sedang menyapukan lapisan salutan pada kotak kayu gelap.

Cukup teliti dengan kerja dilakukan, lelaki berusia 53 tahun terbabit berazam menghidupkan kembali komuniti terpencilnya selepas kawasan tersebut mengalami gempa bumi dahsyat pada Hari Tahun Baharu 2024 yang diikuti dengan banjir teruk.

6320904486670945068

Foto ini diambil pada 11 Disember 2024 menunjukkan pemandangan umum laluan pejalan kaki yang rosak di hadapan studio, 'Wajima Kirimoto' di bandar Wajima, wilayah Ishikawa. — Agensi

“Saya perlu melakukan apa sahaja yang saya mampu untuk meneruskan pembinaan semula, dan meneruskan tradisi ini dan melanjutkannya kepada generasi akan datang.

"Kita perlu bekerja lebih keras bersama-sama, jika tidak industri kemasan kayu tempatan akan semakin merosot," kata bapa kepada dua anak itu.

'Kehangatan dan kesejahteraan'

Wajima-nuri terkenal dengan produknya yang memiliki ketahanan dan reka bentuk halus serta sering digunakan dalam pinggan mangkuk seperti mangkuk dan penyepit.

Dengan kecantikannya yang cukup bersahaja, teknik pembuatan sama juga digunakan untuk mencipta perabot mewah dan hiasan rumah.

Lebih daripada 100 peringkat proses terlibat dalam pengeluaran Wajima-nuri.

Tugas-tugas diagihkan dalam kalangan tukang khusus dengan ada yang menumpukan pada salutan kemasan kayu sementara yang lain pula fokus bagi aktiviti mengukir dan membentuk.

Antara pekerja profesional barangan kemasan kayu dari bandar tersebut yang cuba memulihkan rangkaian aktiviti pertukangan itu ialah Taiichi Kirimoto, pemilik generasi ketujuh studio Wajima-nuri.

6320904486670945069

Kirimoto, pemilik generasi ketujuh studio pengeluar produk kemasan kayu Wajima-nuri, bergambar di studionya di bandar Wajima, wilayah Ishikawa. — Agensi

Dia dan isterinya kini tinggal di ruang galeri syarikatnya selepas mereka kehilangan rumah.

Di sebalik dugaan itu, Kirimoto tidak mengambil masa lama untuk kembali bergerak ke hadapan.

Dia bekerja dengan arkitek terkenal Shigeru Ban untuk membina ruang kerja sementara dibuat dengan bahan kadbod, dan turut mengembara ke seluruh negara mempromosikan kerja studionya serta menyediakan tempat kerja untuk bertukang.

"Produk kemasan kayu memberikan rasa selesa dan kemesraan serta kesejahteraan kepada orang ramai.

"Mungkin ini berbeza daripada kemudahan moden.

"Saya sama sekali tidak nampak pilihan untuk meninggalkan bandar ini atau berpindah ke profesion lain," kata Kirimoto yang turut pernah bekerja dengan jenama terkenal termasuk Louis Vuitton.

Masa depan tidak menentu

Antara kakitangan tukang Kirimoto ialah Shoji, seorang pakar dalam seni tukang salutan.

Seorang yang memiliki kegemaran terhadap aktiviti memancing, Shoji sedang bersendirian di pelabuhan tempatan lewat petang apabila gempa bumi melanda.

Air laut bergelora dan surut dengan cepat, mendedahkan dasar laut sebelum ia kembali seperti mana proses tsunami berlaku.

Dengan tanah runtuh menghalang jalan pulang, dia memutuskan untuk bermalam di dalam keretanya di tempat yang lebih tinggi.

Keesokan harinya, dia disatukan semula dengan keluarganya tetapi rumahnya sudah tidak selamat untuk didiami.

6320904486670945070

Teknik pembuatan sama juga digunakan untuk mencipta perabot mewah dan hiasan rumah. — Agensi

Mereka berpindah ke tempat perlindungan pemindahan dan dia mula membantu orang lain dalam komunitinya.

Dengan bencana yang berlaku itu, Shoji tetap menggalakkan orang lain untuk tetap tinggal di bandar selepas gempa bumi.

Tetapi selepas banjir September, dia mempersoalkan sama ada ia adalah keputusan yang betul.

"Itulah yang paling membimbangkan saya -- apabila anda kehilangan penduduk, ia akan menjejaskan sesuatu masyarakat," katanya.

Shoji masih percaya tradisi Wajima-nuri yang merupakan sumber kebanggaan tempatan, boleh membawa tenaga kembali ke bandar asalnya ketika berdepan detik genting.

Dia juga kini sedang menguji kaedah baharu, yang diilhamkan tradisi berabad-abad lamanya, untuk membawa barangan kemasan kayu ke dalam era moden.

"Masa depan kita tidak menentu. Tetapi saya mahu melakukan sesuatu untuk memajukan bidang ini ke hadapan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram