SEBUAH lori tangki membawa minyak sawit dan dua kenderaan lain terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.19 petang dan menggerakkan lapan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu melibatkan tujuh mangsa yang masing-masing berusia antara tiga hingga 68 tahun, dengan empat daripada mereka cedera, manakala tiga lagi selamat.
BACA LAGI: Elak dicekup polis, lelaki ditemukan lemas di Besut
BACA LAGI: Tukang masak maut, bayi 7 bulan kritikal terbabit nahas lepas hadir majlis tunang di Kluang
“Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan kereta Proton Saga.
"Pemandu lori tangki, pemandu Proton Saga dan dua lagi yang menaiki Toyota Alphard cedera, manakala dua kanak-kanak dan seorang wanita selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 2.20 petang.
Menurut Azaharudin, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 2 petang berlaku semasa pemandu lori tangki dari arah Tanjong Karang menuju ke arah Klang.
"Sebaik lori tangki tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang nombor pendaftaran kenderaan tidak pasti tiba-tiba datang dari lorong kanan cuba memotong dan memasuki laluan lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, pemandu lori tangki cuba mengelak, namun terbabas dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan Proton Saga yang sedang berhenti di lampu isyarat laluan sama.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai kejadian itu tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram