KETERUJAAN seorang lelaki mengambil merakam videonya sendiri ketika menunggang motosikal di Sao Paulo, Brazil mengundang padah apabila dia terlibat dalam satu kemalangan ngeri baru-baru ini.
Walaupun kejadian itu berlaku pada 25 Disember lalu, namun insiden malang itu terus menjadi buah mulut dalam kalangan warga maya seluruh dunia apabila rakaman terakhir video mangsa menjadi tular sekali lagi pada Selasa.
Malah, kejadian itu sekali gus disifatkan menjadi pengajaran tragis tentang bahaya mengabaikan keselamatan ketika menunggang motosikal.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu jengkaut maut kena hempap kren angkut mesin kuari di India
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
Memetik laporan media antarabangsa, mangsa yang dikenali sebagai Jefferson Camargo Felix da Silva, 21, seorang penghantar motosikal yang aktif di media sosial, dilaporkan sedang merakam video selfie dengan memegang telefon bimbit di sebelah tangan dan hendal motosikal di tangan yang lain.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) awam pada ketika itu menunjukkan Da Silva menoleh ke belakang sambil menjelirkan lidah untuk kamera, tetapi gagal menyedari tiang elektrik di hadapannya.
Dalam detik-detik tragis yang dirakam, Da Silva melanggar tiang tersebut pada kelajuan tinggi.
Keterujaan seorang lelaki mengambil merakam videonya sendiri ketika menunggang motosikal di Sao Paulo, Brazil mengundang padah apabila dia terlibat dalam satu kemalangan ngeri baru-baru ini. pic.twitter.com/XOAKXmqAlQ
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) January 7, 2025
Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan dan telefon bimbitnya, yang masih merakam, berpusing beberapa kali sebelum kamera menghala ke langit.
Mangsa dikejarkan ke hospital terdekat oleh pasukan perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Namun, walaupun menerima rawatan intensif selama lapan hari, Da Silva akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 Januari akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Da Silva yang turut terkenal di kalangan peminat motosikal dan memiliki 10,500 pengikut di Instagram, dikebumikan pada 4 Januari.
Polis tempatan mengklasifikasikan insiden ini sebagai 'jatuh secara tidak sengaja dan kematian mencurigakan'.
Kejadian itu sekali lagi menimbulkan persoalan tentang keselamatan jalan raya, khususnya di kalangan golongan muda yang sering tergoda untuk mencipta kandungan media sosial di saat nyawa menjadi taruhan.
Masyarakat diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak mengambil risiko yang boleh membawa maut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram