PENDUDUK menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) segera menjalankan kajian dan penambahbaikan di persimpangan lampu isyarat dekat Sungai Choh, Serendah, Selangor susulan kekerapan kes kemalangan.
Kawasan berkenaan yang berterusan menjadi lokasi kerap berlakunya kemalangan, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut satu hantaran Facebook yang ditulis individu dikenali dengan nama Joen Joe, hampir setiap minggu akan berlaku kemalangan di lokasi berkenaan sama ada yang berskala besar ataupun kecil.
BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang maut tercampak dirempuh kereta dipandu warga Pakistan di Serendah
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki meraung kesakitan, patah kaki motosikal dirempuh warga asing di Serendah
"Hampir setiap minggu ada, daripada cedera ringan sampaikan cedera parah dan lebih menyedihkan (ada yang dilaporkan) maut!
"Sampai bila simpang 'maut' ini akan memakan mangsanya lagi? Tiada kajian atau tindakan susulan atas apa yang berlaku?
"Di mana majlis (perbandaran), JKR (dan) jabatan-jabatan yang mengkaji, menguatkuasa undang undang atau melakukan langkah langkah pembaikan?" soalnya dalam hantaran yang dikongsikan menerusi akaun Facebook Kemalangan Jalan Raya pada Ahad.
Individu berkenaan turut mempersoalkan punca sebenar kemalangan-kemalangan tersebut berlaku.
Ujarnya, ia termasuk faktor rekaan jalan raya dan susunan lampu isyarat yang mungkin menjadi punca kekeliruan pengguna jalan raya.
"Mungkin sekali dua (kemalangan) salah individu atau penguna (jalan raya), tapi kalau berlaku berkali-kali, salah siapa?" tambahnya lagi.
Majoriti sebelum ini melaporkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia akibat dirempuh sebuah kereta dipandu warga asing di Jalan Azalea 1/1 Sungai Choh pada Khamis.
Penunggang maut melambung dirempuh kereta dipandu warga Pakistan di Serendah pic.twitter.com/BSoYDtFEq1
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) January 4, 2025
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dipandu lelaki warga Pakistan berusia 50 tahun dengan penunggang motosikal tempatan, 48.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa meneruskan perjalanan sebaik lampu isyarat bertukar hijau sebelum kereta dari sebelah kanan melanggarnya secara tiba-tiba.
Pada Ahad pula, seorang lelaki dipercayai cedera parah di kaki kanan selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kenderaan lain di lokasi sama.
Mangsa didakwa dilanggar sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandu lelaki warga asing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram