Kompeni 'bungkus' rugi cecah RM100,000, bekas jurutera bangkit cipta produk kopi halal 'laku keras' sampai ke Brunei


  • Bizz
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Produk minuman kopi pracampuran keluaran Dai World Sdn Bhd dikenali di negeri Utara Semenanjung Malaysia.

PERNAH mengalami kerugian mencecah RM100,000 apabila pelanggan gagal melunaskan pembayaran daripada bekalan diberikan menjadi antara cabaran terbesar pernah dihadapi Mohd Rumji Mohd Hasmuni yang merupakan pengeluar produk minuman halal tempatan, Daie World Sdn Bhd.

Malah akibat peristiwa berlaku pada 2010, dia juga terpaksa menutup syarikat pertamanya selepas kira-kira tujuh tahun kerana tidak mampu meneruskan operasi akibat masalah tersebut.

Pada waktu itu, Mohd Rumji yang juga bekas jurutera di kilang pembekal alat ganti industri automotif tempatan merupakan pembekal bahan mentah kepada sebuah pengeluar ubat gigi halal terkenal tempatan.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Dia menubuhkan syarikat pertamanya sekitar 2003 dengan memberikan fokus menjadi pembekal bahan mentah daripada luar negara kepada pengeluar produk halal tempatan.

Di sebalik dugaan yang membawa kepada penutupan operasi perusahaan sulungnya itu, ia sama sekali tidak melunturkan semangat anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu bagi terus meniaga.

WhatsApp Image 2023-04-10 at 12.51.34 PM (1)

Mohd Afiq (kiri) ketika turun ke lapangan untuk memperkenalkan produk minuman keluaran Daie World Sdn Bhd.

Dengan dorongan dan panduan daripada seorang kenalan, dia kemudiannya membuka kilang pengeluaran produk tulen (OEM) kopi pracampuran di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketika itu, dia yang juga bapa kepada lima orang anak bernasib baik selepas berjaya mendapat pelanggan yang mengeksport jenama kopinya ke Brunei dengan anggaran jumlah tempahan sebanyak 7,000 paket kopi pracampuran setiap bulan.

Bermula dengan langkah tersebut, Mohd Rumji yang juga graduan kejuruteraan bahan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkembang dengan turut menjadi pengeluar kopi pracampuran halal dengan jenama sendiri ke pasaran tempatan dan luar negara.

Selepas lebih sedekad, Daie World Sdn Bhd kini turut diterajui oleh anak sulungnya, Mohd Afiq sejak sekitar 2018.

WhatsApp Image 2023-03-04 at 3.51.19 PM

Produk Daie World Sdn Bhd yang dijual di Brunei.

Menurut Mohd Afiq, pada waktu ini, 80 peratus daripada produk dikeluarkan kilang syarikatnya adalah untuk pasaran tempatan manakala selebihnya adalah bagi tujuan eksport.

Produk minuman campurannya yang memfokuskan terhadap produk halal berkualiti keluaran syarikat Islam dan Bumiputera lebih dikenali di kawasan Utara Semenanjung termasuk di Kedah dan Perlis.

"Antara produk pertama kami adalah menggabungkan bahan ekstrak goji beri yang merupakan super fruit kaya dengan pelbagai nutrisi yang baik untuk kesihatan," katanya.

Kini, Daie World Sdn Bhd mempunyai beberapa produk terkenal antaranya minuman berasaskan coklat dikenali sebagai Manisco dan produk kopi, Lasuka Coffee.

Kedua-dua produk berkenaan menggabungkan ekstrak daripada bahan 'Arabic Gum' yang dikatakan baik untuk antaranya kesihatan penghadaman dan mengurangkan tahap kolesterol.

Untuk Lasuka Coffee, produk kopi terbabit turut menawarkan minuman pracampuran yang menggunakan gabungan susu kambing, goji beri, susu oat dan sacha inchi.

Lebih menarik, kopi pracampuran ini dikatakan turut menggunakan campuran tanpa gula putih dan krimer bukan tenusu.

6323156286484628399 (1)

Dua produk minuman keluaran Daie World Sdn Bhd yang mendapat sambutan di pasaran.

Perluas pasaran produk ke Lembah Klang

Sebelum mengambil alih pengurusan Daie World Sdn Bhd, Mohd Afiq, 30 merupakan graduan dalam bidang kejuruteraan penerbangan dari Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).

Dalam tempoh tersebut, dia turut pernah menyertai program di Ireland selama setahun sebelum pulang ke Malaysia dan menamatkan pengajian pada 2018.

Dengan pasaran pekerjaan industri penerbangan mencabar pada tahun tersebut, Mohd Afiq mengambil keputusan untuk mengambil alih pengurusan Daie World Sdn Bhd daripada ayahnya.

6321111302231146793

Kilang Daie World Sdn Bhd beroperasi di Kepala Batas.

Sebagai generasi kedua perniagaan keluarganya, Mohd Afiq berkata, dia kini menyasarkan untuk meluaskan pasaran produk minumannya ke kawasan Lembah Klang bermula tahun ini.

"Kita juga sekarang ini banyak menyertai pameran perniagaan dan juga acara jualan di sekitar Lembah Klang untuk memperkenalkan produk kami.

"Selain itu, kita juga sudah memulakan kehadiran kami di dalam talian dengan memasarkan produk kami menerusi platform tersebut," kongsinya.

Pada waktu ini, Mohd Afiq berkata, kilangnya yang turut mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan makanan selamat tanggungan industri (MeSTI) mengeluarkan 50,000 pek minuman pracampuran sebulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram