Imej Petaling Street semakin hilang, Traditions In Transition langkah pulihara baki peniaga tradisi Chinatown


  • Bizz
  • Ahad, 05 Jan 2025

Tan Siew Keng (tengah), balu kepada pengasas perniagaan Chai Huat Hin iaitu Lim Boon Peng, mempertahankan legasi keluarga bersama anak perempuannya Lim Bee Bee (kiri) dan menantu lelaki Lem Hock Wah. Chai Huat Hin kekal sebagai salah satu kedai makanan laut kering tradisional terakhir di Petaling Street.

SEBUT sahaja nama Petaling Street, ramai daripada kita termasuk yang datang dari luar ibu kota pastinya mengetahui statusnya sebagai tempat tarikan utama pelancongan.

Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, Petaling Street yang mula wujud seawal abad ke-19 merupakan salah satu kawasan bersejarah dan mercu tanda utama di Malaysia.

Jalan ini turut dikenali sebagai 'Chinatown' kerana warisan budaya Cina yang kuat sejak zaman penjajahan British.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Sejarah jalan ini apabila pelombong bijih timah Cina mula menetap di kawasan tersebut.

Mereka membawa bersama budaya, makanan, dan tradisi yang kemudiannya membentuk identiti unik Petaling Street.

Pada masa itu, kawasan ini juga berfungsi sebagai pusat perdagangan dan perniagaan, terutamanya untuk barang kemas, tekstil, dan herba Cina.

6320904486670944803

Petaling Street yang mula wujud sejak abad ke-19 merupakan salah satu kawasan bersejarah dan mercu tanda utama di Malaysia.

Hari ini, Petaling Street terkenal sebagai destinasi membeli-belah meriah dengan menjadi pusat jualan pelbagai barangan, termasuk pakaian, jam tangan, beg tangan tiruan, cenderamata, dan perhiasan.

Salah satu tarikan utamanya ialah keupayaan untuk tawar-menawar, yang menjadikan pengalaman membeli-belah di sini lebih menarik.

Peniaga yang beroperasi di kawasan itu juga sudah mengalami perubahan dengan ia kini turut melibatkan pengusaha daripada pelbagai latar belakang dan tidak semata-mata daripada kaum Cina.

Evolusi yang terjadi kepada kawasan perniagaan bersejarah itu pada masa sama turut menyaksikan banyak perniagaan tradisional yang sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada imej Petaling Street beransur-ansur semakin hilang.

Disebabkan itu, terdapat usaha digerakkan beberapa individu memulihara sejarah tersebut dengan cara mendokumentasikan sejarah dan warisan oleh kumpulan peniaga tradisi yang sudah bertapak lama di situ.

Langkah pemuliharaan yang dijalankan menerusi penerbitan buku dan siri video dengan tajuk Petaling Street: Traditions In Transition di bawah inisiatif Project Future Malaysia.

Menurut salah seorang penggeraknya yang juga aktivis kebudayaan, Kevin Bathman, projek berkenaan bukan semata-mata untuk memelihara perniagaan yang kini sudah semakin dilupakan.

"...ia adalah campur tangan kreatif yang bertujuan memberi nafas baharu kehidupan ke dalam kawasan bersejarah Petaling Street.

"Anggaplah ia sebagai perayaan terhadap kepakaran, satu penghormatan kepada mereka yang telah mengharungi arus masa dan membawa kebijaksanaan bergenerasi," tambahnya yang juga pereka bentuk dan pengurus projek inisiatif berkenaan.

6320904486670944804

Kedai ubat Kien Fatt yang masih menjalankan operasi di Petaling Street.

Disokong PNB Merdeka Ventures dan Think City melalui program Geran Komuniti Merdeka 118, projek itu merupakan usaha kerjasama melibatkan pasukan penceritaan digital UNINESS, lima pengarang tempatan, Kuala Lumpur Urban Sketchers, Teaspoon Publishing, dan Imaginatif.

Secara bersama, kumpulan itu memberi penghormatan kepada kekayaan warisan Petaling Street.

Projek Petaling Street: Traditions In Transition merakamkan isi sebenar jalan bandar yang terkenal itu melalui lima peniaga tradisional iaitu pembuat kalungan bunga, gerai penjaja Sai Kee, kedai makanan laut kering dan runcit Chai Huat Hin, kedai roti artisanal Seong Ying Chai serta kedai ubat Kien Fatt.

Siri video naratif oleh UNINESS menghidupkan pengalaman ahli perniagaan, memaparkan perjalanan kehidupan sebenar daripada temu bual dengan pedagang tradisional tersebut.

Melengkapkan siri ini, buku edisi terhad itu mempersembahkan lima cerita fiksyen baharu diilhamkan daripada perniagaan tradisional Petaling Street yang ditulis pengarang tempatan iaitu Aizuddin H. Anuar, Chang Yan Yee, Francis Nantha, Robert J. Lesney, dan Sandiya Subramaniam.

Karya seni asli dari Kuala Lumpur Urban Sketchers menambah dimensi visual kepada projek terbabit.

Artis sketsa Li Wei, KC Lee, Sunny Sun, Yoon, Joyce Wong, Tiu Lean Kai, Gyen Lim dan Yong Kien Liew turut merakam dengan indah intipati aktiviti perniagaan melalui lakaran terperinci rupa bangunan dan bahagian dalam kedai.

Lapisan warisan

Kevin menjelaskan bahawa Petaling Street: Traditions In Transition ditonjolkan dalam pelbagai medium untuk menjalin hubungan lebih mendalam dengan sejarah kawasan itu.

“Kami memilih untuk menggunakan pendekatan pelbagai format atas beberapa sebab. Siri video ini mempersembahkan akaun peribadi yang jelas dan menawarkan pengalaman mengasyikkan untuk menyerlahkan kepentingan perdagangan melalui temu bual dan penceritaan visual.

“Cerpen ditampilkan itu juga diilhamkan oleh keinginan untuk menerapkan perspektif kreatif ke dalam usaha pemeliharaan.

"Pengarang tempatan ditugaskan untuk mencipta fiksyen diilhamkan oleh kehidupan sebenar peniaga dan konteks budaya mereka, memperkayakan projek dengan menggabungkan realiti sejarah dengan tafsiran kreatif," tambahnya.

6320904486670944805

Antara peniaga tradisi yang menjual kalungan bunga beroperasi di Petaling Street.

Kevin berkata, ilustrasi Kuala Lumpur Urban Sketchers meningkatkan kedinamikan Petaling Street, memberikan gambaran unik dan menggugah warisannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semua proses dilakukan berjalan lancar untuk pasukannya kerana pelaksanaan projek itu turut memberikan beberapa cabaran.

“Satu isu penting adalah pemilihan peniaga – ramai daripada mereka yang kami hubungi enggan mengambil bahagian.

"Mencari mereka yang bersedia dan sesuai untuk mewakili kepelbagaian warisan Petaling Street adalah satu proses yang kompleks,” kata Kevin.

Ujarnya, usaha bagi memastikan penyertaan kumpulan peniaga dipilih benar-benar mencerminkan warisan sebenar adalah antara cabaran utama dihadapi.

Kata beliau, ini kerana adalah sangat penting kepada pasukannya untuk memastikan mereka terlibat dapat menggambarkan setiap aktiviti perniagaan secara autentik dengan penghormatan yang sepatutnya.

Mereka juga perlu berhati-hati untuk tidak mengganggu operasi perniagaan harian peniaga semasa menjalankan temu bual dan mengumpul maklumat, serta berhati-hati dalam mengendalikan topik sensitif, seperti membincangkan ahli keluarga yang meninggal dunia.

“Kami terpaksa mendekati perbincangan ini dengan teliti untuk memastikan temu bual dijalankan dengan penuh hormat dan kandungannya dilayan dengan sensitiviti diperlukan.

"Mengimbangi aspek ini adalah penting untuk mencipta gambaran bermakna dan menghormati tradisi Petaling Street,” kongsinya.

+++ MAIN PIX +++ The 'Petaling Street: Traditions In Transition' book features fictional stories, tradespeople interviews, and sketches, celebrating the heritage and resilience of Petaling Street’s traditional trades. - UNINESS

Buku 'Petaling Street: Traditions In Transition' memaparkan cerita fiksyen, temu bual ahli perniagaan dan lakaran.

Semasa mengusahakan projek itu, pasukannya turut memperoleh ilmu berharga mengenai aktiviti perniagaan dijalankan dan kesukaran dihadapi untuk memastikan kesinambungannya.

“Kebanyakan peniaga ini telah dikekalkan selama beberapa dekad, sering diturunkan melalui generasi dalam keluarga.

"Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka menghadapi cabaran hari ini kerana mereka kekurangan waris untuk meneruskan legasi, yang membawa kepada kemungkinan penutupan mereka,” kata Kevin.

Satu lagi aspek menarik mereka pelajari adalah rasa bangga mendalam dimiliki peniaga terhadap hasil usaha dan peranan dimainkannya dalam memelihara identiti budaya.

“Walaupun menghadapi cabaran termasuk persaingan daripada perniagaan moden dan tekanan ekonomi yang pesat berubah, peniaga ini komited untuk mengekalkan tradisi mereka.

“Dedikasi mereka bukan sahaja mengekalkan perniagaan ini, tetapi juga berfungsi sebagai penghubung hidup ke masa lalu, menawarkan sambungan kepada sejarah Petaling Street.

"Perasaan kewajipan untuk mengekalkan warisan budaya untuk generasi akan datang adalah sesuatu yang kita tidak hargai sepenuhnya sebelum projek ini dimulakan," ujar Kevin. — The Star/HANIS MAKETAB

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram