TIDAK dapat meliha bukan penghalang seorang lelaki berusia 77 tahun melawan ketakutan terhadap ketinggian apabila berjaya melakukan aktiviti luncur udara atau paragliding tandem (ditemani seorang jurulatih berpengalaman).
Meskipun dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) penglihatan (buta), Tam Wong Teng tetap bersyukur diberi peluang menikmati keindahan alam dengan menggunakan deria rasanya di sekitar Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 15 September lalu.
Wong yang pernah bekerja sebagai pakar terapi urutan badan itu memberi inspirasi kepada orang ramai apabila mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk program dan kategori OKU penglihatan.
BACA LAGI: Dipuji pimpin penumpang buta suami isteri pergi tandas, dapat gelaran 'Pemandu Bas Of The Year'
Wong melawan rasa takutnya pada ketinggian ketika melakukan paragliding. — The Star
Menjadi antara 34 lagi peserta, Wong tidak menyangka dapat merasai pengalaman baharu di udara yang tingginya lebih 400 meter (m) dari laut selama lima minit.
"Ia merupakan satu pengalaman paling menakjubkan. Saya boleh terbang! Saya tak pernah bayangkan dapat terbang di udara pada usia 77 tahun.
"Hidup ini terlalu singkat untuk tidak ambil peluang meneroka perkara baharu tanpa mengira umur dan kemampuan.
"Saya agak takut pada mulanya, tetapi tidak kisah untuk mencubanya. Dapat merasakan angin menyapa muka saya dan melayang di permukaan udara adalah luar biasa. Saya suka sahut cabaran baharu," katanya.
Dengan kemunculannya, bapa kepada seorang anak itu membuktikan bahawa individu buta juga mampu mencari pengalaman berharga seperti orang lain.
Wong (duduk, kanan) bersama peserta OKU penglihatan lain yang melakukan paragliding. — The Star
Lebih mengejutkan apabila dia memberitahu bahawa terdapat sukan lain yang gemar dilakukannya walaupun dalam keadaan diri tidak sesempurna dari mata kasar.
"Sebenarnya, beberapa tahun lalu, saya sertai acara berbasikal tandem (ditemani jurulatih) sejauh 120 kilometer (km) di Manjung, Perak.
"Bukan itu sahaja, saya berjaya tamatkan larian 21 km dalam acara PJ Half Marathon di Petaling Jaya, Selangor dan tetap terus menyertai banyak lagi maraton akan datang," jelasnya.
Sementara itu, program paragliding itu dianjurkan oleh Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dengan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Prihatin Negeri Selangor serta Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk George Thomas berkata, pihaknya menganjurkan acara tersebut bertujuan mempamerkan keupayaan luar biasa individu OKU buta dalam sukan lasak.
George (dua dari kiri) menerima sijil daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records, Christopher Wong (dua dari kanan). — The Star
"Ia jelas menyerlahkan pencapaian yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Pencapaian ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kemampuan dan menunjukkan bahawa mereka boleh cemerlang dalam sebarang aktiviti serta menghapuskan stereotaip (tanggapan negatif terhadap seseorang yang boleh menghindar mereka daripada mencapai keterlibatan penuh di dalam masyarakat seperti individu normal lain).
"Melalui acara ini, kami ingin menyampaikan mesej kuat tentang kepentingan keterangkuman dan menekankan bahawa individu buta harus disertakan dalam semua aktiviti dan bukannya diketepikan atau diasingkan," ujarnya.
Selain pencapaian itu, MAB juga memaklumkan, seramai lapan individu OKU penglihatan berjaya mendaki Gunung Tahan di Pahang, mempamerkan semangat pengembaraan dan keazaman mereka dengan pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2007.
Manakala, pada 2023, MAB dengan sokongan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Florida Water Recreation merekodkan bahawa peserta buta paling ramai dalam program berkayak.
"Pencapaian ini menjadi bukti komitmen MAB untuk memperkasakan komuniti OKU penglihatan, membolehkan mereka mengejar minat serta impian tanpa halangan.
"Misi kami adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi golongan istimewa bergerak maju seperti manusia normal," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram