KUALA Kubu Bharu (KKB) di Selangor semakin menjadi tumpuan pelancong yang mencari pengalaman sukan lasak dan keindahan alam semula jadi.
Dari paragliding yang mendebarkan hingga aktiviti rafting di sungai deras, KKB menawarkan pelbagai aktiviti menarik di samping pemandangan semula jadi yang menakjubkan.
Pengalaman Paragliding di KKB Paragliding Park
"Lari, lari, lari!" jeritan jurulatih paragliding, Mohd Nazri Sulaiman terngiang-ngiang di telinga Gisele So saat dia berlari bersama rakannya menuju ke tebing Bukit Batu Pahat.
Tak lama kemudian, mereka terbang melintasi pergunungan hijau di kawasan tersebut untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan.
BACA LAGI: Bumbung Indochina antara 5 gunung beriklim sejuk sesuai jadi 'port latihan' kaki hikers
Paragliding adalah sukan unik yang patut dicuba apabila berada di KKB.
KKB Paragliding Park, yang sudah beroperasi selama lebih 10 tahun merupakan destinasi popular bagi pencinta sukan paragliding.
Penerbangan tandem yang biasanya berlangsung antara lima hingga 10 minit membolehkan pengunjung merasai sensasi terbang pada ketinggian melebihi 1,200 meter.
Bagaimanapun, bagi pemula, penerbangan biasanya dilakukan pada ketinggian yang lebih rendah.
Nazri berkata, salah satu petua yang berguna bagi mereka yang takut ketinggian adalah dengan memfokuskan pandangan pada horizon kerana dengan melihat ke titik jauh dapat membantu mengatasi rasa mabuk udara.
“Setelah berada di udara, pandang perlahan-lahan ke bawah dan nikmati pemandangan sekitar," pesan Nazri.
Aktiviti berakit popular di KKB.
Rafting di Sungai Selangor
Selain paragliding, KKB juga terkenal dengan sukan lasak lain, iaitu rafting di Sungai Selangor.
Sungai itu terkenal dengan jeram-jeramnya yang mencabar dan memberikan pengalaman mengujakan bagi pengunjung yang berani.
Gisele So, yang turut mencuba aktiviti rafting mengakui bahawa pengalaman selama empat jam di sungai yang berliku sangat mencabar.
Kadangkala, rakit yang dikemudi terlanggar gelombang besar atau batu menyebabkan ada peserta terjatuh ke dalam air.
Mohd Shafiq Azmi, seorang pemandu rafting yang berpengalaman menjelaskan bahawa setiap pengalaman rafting di Sungai Selangor adalah unik dan memberi kepuasan tersendiri.
Selain KKB, beliau turut berkongsi lokasi terkenal lain untuk rafting di Malaysia, termasuk di Ulu Slim, Gopeng dan Padas di Sabah.
Belajar mencari makanan adalah kemahiran hidup yang penting.
Trekking dan Air Terjun Chilling
KKB juga menawarkan keindahan alam semula jadi yang tidak boleh dilepaskan.
Selain paragliding dan rafting, pengunjung boleh mencuba aktiviti mendaki di trek-trek seperti Bukit Batu Pahat dan Bukit Batu Belah yang menyediakan pemandangan menakjubkan.
Namun, Gisele yang teruja dengan aktiviti lain di KKB tidak sempat untuk mencuba banyak trek mendaki disebabkan kekangan masa dan cuaca yang tidak menentu.
Bagi mereka yang suka berkelah, Air Terjun Chilling yang terletak sekitar satu jam perjalanan dari KKB adalah destinasi yang popular.
Dengan trek yang mudah dan pemandangan yang indah, ia merupakan tempat yang ideal untuk berenang di kolam air sejuk atau sekadar menikmati ketenangan alam semula jadi.
Pengunjung di Jungle School Gombak juga boleh belajar bermain alat muzik tradisional, seperti seruling hidung.
Mendalami aktiviti masyarakat Orang Asli di Jungle School Gombak
Satu lagi tarikan menarik di sekitar KKB adalah Jungle School Gombak, sebuah program yang membolehkan pengunjung mempelajari kemahiran bertahan hidup di alam semula jadi serta mendalami budaya masyarakat Orang Asli Semelai.
Ditubuhkan oleh Major (R) Kalam Pie dan isterinya, Dr. Norzalifa Zainal Abidin, sekolah itu bertujuan memperkenalkan warisan budaya masyarakat Orang Asli kepada orang ramai.
Di sini, pengunjung dapat mempelajari teknik menyalakan api menggunakan alat tradisional membuat anyaman atap dari daun bertam dan mempelajari cara mencari makanan di hutan.
Program itu turut menyediakan hidangan tradisional Orang Asli, termasuk ayam masak dalam buluh sebagai sebahagian daripada pengalaman budaya yang ditawarkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram