Katanya warga Singapura buat hal lagi, siap tukar nombor plat Malaysia sebelum isi minyak RON95


  • Tular
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Pemilik kenderaan dengan nombor plat berdaftar Singapura yang didakwa mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Malaysia. ― Facebook

SEORANG pemilik kenderaan dengan nombor plat berdaftar Singapura didakwa melanggar peraturan dengan mengisi minyak petrol bersubsidi (RON95) di sebuah stesen minyak di Malaysia baru-baru ini.

Menerusi hantaran dikongsikan pengguna Facebook Kabhi Morgan pada Jumaat, lelaki tersebut juga didakwa mengisi minyak petrol dengan memalsukan terlebih dahulu nombor plat keretanya bagi mengaburi pihak berkuasa dan pengusaha stesen minyak.

"Sila ambil perhatian bahawa ikuti dan hormati undang-undang Malaysia kita. Lelaki dalam gambar ini menukar nombor plat Malaysia semata-mata untuk mengisi minyak petrol.

"Selepas isi dia menggantikan nombor plat kepada plat Singapura. Saya melihatnya dan menyoalnya. Dia panik dan terus memandu kereta keluar dengan pantas," dakwanya.

BACA LAGI: Bapa Zulfarhan sedih lihat kes buli berulang, ramai desak rombak serta-merta pengurusan tertinggi UPNM

BACA LAGI: Jumpa bomoh di Kedah lepas syak 'roommate' mencuri, ramai nasihat jangan semberono bertindak, ambil iktibar kes Zulfarhan

Pengguna itu juga mendakwa bahawa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa mahupun stesen minyak berhubung dakwaan terbabit setakat ini.

Perkara itu sememangnya satu kesalahan dan pernah dilakukan oleh pemilik kenderaan warga asing lain sebelum ini.

Menurut arahan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 17 Jun 2022, stesen minyak dilarang menjual petrol RON95 kepada semua kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing.

Pengusaha stesen minyak yang ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan yang mengawal Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 juga boleh berdepan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, dan denda tidak melebihi RM2 juta untuk entiti atau syarikat. ― Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram