Elak kes kematian berulang, kerajaan Selangor semak semula garis panduan penganjuran konsert


  • Primer
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Kerajaan Selangor akan mengkaji semula garis panduan konsert susulan kes kematian empat pengunjung ketika sambutan ambang tahun baharu pada Khamis. — Gambar hiasan

GARIS panduan penganjuran konsert akan dikaji semula kerajaan Selangor bagi mengelak kes kematian berkaitan penyalahgunaan dadah berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim bagi menangani isu tersebut.

BACA LAGI: Punca kematian 4 mangsa terbongkar, sempat ambil dadah sebelum pengsan di konsert Pinkfish

BACA LAGI: Empat maut konsert ambang tahun baharu: Polis tak tolak kemungkinan ambil dadah ekstasi, datang berasingan

"Kami amat kesal dengan kematian tragis baru-baru ini. Bagaimanapun, kami percaya pihak berkuasa telah menjalankan siasatan menyeluruh dan memuji tindakan polis untuk menangguhkan sementara kelulusan permit untuk konsert.

“Matlamat kami adalah untuk mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menggantung sementara kelulusan permit konsert sehingga siasatan kes kematian empat individu pada konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya pada Khamis, selesai.

Najwan pada masa sama turut menzahirkan harapan agar penganjur konsert menilai secara menyeluruh keberkesanan kaedah pelaksanaan mereka, khususnya berkaitan pencegahan penggunaan bahan terlarang pada acara sedemikian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram