PENEMUAN mayat seorang wanita di sebuah hotel bajet dekat Taman Mawar, Puchong, Selangor pada 31 Disember lalu dikenal pasti berpunca akibat kes cemburu.
Polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bersama pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Selangor menahan suspek yang merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 23 tahun.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai buruh binaan di Presint 20, Putrajaya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu jengkaut maut kena hempap kren angkut mesin kuari di India
BACA LAGI: 'Pemergian yang dicemburui', ustaz maut kemalangan selepas imamkan solat Jumaat di Kluang
"Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah kenalan mangsa dan mengaku membunuh wanita itu kerana cemburu.
"Suspek kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Mangsa dalam kes ini dikenal pasti sebagai seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun.
"Mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah dalam sebuah bilik hotel kira-kira pukul 10.15 malam pada 31 Disember lalu," katanya.
Terdahulu, mayat seorang wanita warga asing ditemui dalam keadaan berlumuran darah dalam sebuah bilik hotel di Puchong.
Dua lelaki warga asing berusia 39 tahun kemudiannya ditahan polis di Bukit Puchong pukul 3 pagi, Rabu lalu untuk membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram