Empat maut konsert ambang tahun baharu: Polis tak tolak kemungkinan ambil dadah ekstasi, datang berasingan


  • Podium
  • Khamis, 02 Jan 2025

Tangkap layar video tular memaparkan petugas kecemasan mengusung mangsa menuju ke arah ambulans untuk mendapatkan rawatan.

PUNCA kematian empat individu di sebuah konsert pada malam sambutan tahun baharu dikatakan akibat pengambilan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati kesemua empat mangsa didapati mengambil dadah jenis ekstasi semasa menghadiri konsert yang diadakan di Bandar Sunway, Selangor itu.

Selain daripada empat yang maut, polis juga mendapati tiga lagi mangsa lain menunjukkan simptom serupa ketika siasatan dijalankan.

Kesemua mangsa juga didapati datang berasingan dan bukan dari kumpulan yang sama.

BACA LAGI: Empat maut sambut tahun baharu: Pinkfish dakwa berlaku selepas acara berlangsung, sedia beri kerjasama kepada polis

BACA LAGI: [VIDEO] Empat maut ketika hadiri konsert 'countdown New Year' di Bandar Sunway

"Kami masih lagi menunggu laporan toksikologi. Selain daripada empat mangsa yang meninggal dunia, tiga yang lain turut menunjukkan simptom serupa.

"Ketujuh-tujuh mangsa semua tidak pergi sekali ke konsert dan pergi bersama-sama keluarga dan rakan masing-masing," katanya.

Dua daripada tiga mangsa itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara seorang lain sudah dibenarkan pulang.

Hussein turut membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

"Kami menerima enam laporan polis yang dibuat oleh PPUM serta Hospital Kuala Lumpur. Kami sudah membuka empat kertas siasatan untuk mengenal pasti apa-apa unsur jenayah atau keracunan.

"Kami akan memanggil beberapa orang untuk dirakamkan kenyataannya, termasuklah penganjur konsert dan rakan-rakan mangsa," ujarnya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram